Cari @ Amanz

TMgo - HyppMe!Dengan pelbagai syarikat yang menawarkan perkhidmatan permesejan, kini nampaknya Telekom Malaysia tidak ingin ketinggalan, dimana ia kelihatan mereka sedang menguji salah satu aplikasi permesejan baru dinamakan sebagai HyppMe!.

Daripada apa yang kelihatan melalui terma perkhidmatan untuk HyppMe!, aplikasi ini kelak dijangka akan ditawarkan untuk peranti iOS, Android dan juga BlackBerry, selain mungkin diperluaskan kepada beberapa platform lain dari semasa ke semasa. Buat masa ini, mereka telah pun sedia menerbitkan aplikasi HyppMe pada Google Play Store, tetapi tidak boleh digunakan memandangkan ia hanya terhad untuk kegunaan secara dalaman oleh pembangun mereka.

Melalui perkhidmatan HyppMe! ini, daripada apa yang diketahui, ia dijangka akan mengabungkan SMS, IM (Instant Messaging), dan juga kemudahan untuk menerima panggilan, menghantar gambar dan video serta beberapa yang lain dalam satu aplikasi. Namun, apakah yang akan dibawakan sepenuhnya oleh aplikasi tersebut masih tidak diketahui buat masa ini. Memandangkan pada terma dan syarat perkhidmatan tersebut, ia turut menyertakan perkataan “HyppMe Postpaid” dan juga “HyppMe Reload”, maka berkemungkinan ia akan turut menawarkan perkhidmatan berbayar kepada para pengguna mereka.

TM HyppMe! Beta

Untuk rekod, pihak TM juga sebelum ini telah menguji aplikasi yang dinamakan sebagai TMgo Dialer secara dalaman, dan masih tidak mengumumkan dan melancarkan ia kepada umum sehingga hari ini.

Selain daripada Telekom Malaysia, pihak Maxis juga sedia menawarkan perkhidmatan permesejan mereka, dinamakan sebagai Toot! Messenger. Tetapi ia tidak dipasarkan secara meluas buat masa ini, dan hanya terhad kepada pengguna Android sahaja.

Pada minggu lepas juga, pihak Telekom Malaysia telah berkongsi bersama kami yang mana mereka kelak akan melancarkan aplikasi iOS dan Android untuk perkhidmatan IPTV mereka – HyppTV. Mungkinkah dengan penggunaan nama yang sama, kita mungkin akan dapat melihat perkhidmatan HyppMe! ini diintegrasikan ke HyppTV?

Apa pun, sama-sama kita nantikan bilakah mereka akan memperkenalkan perkhidmatan permesejan ini kepada para pengguna umum.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd