Setelah mengadakan Transit On Tour di Pulau Pinang dan Kelantan, pada 30 Mei yang lepas berlangsungnya acara sama di 1337 Accelerator, KDEC Cyberjaya. Sebanyak 13 startup telah mempersembahkan idea mereka pada acara tersebut.
Socialwalk – Syarikat ini telah menunjukkan pertumbuhan pesat mereka dan kini sedang melebarkan sayap operasi ke negara-negara lain. Mereka juga telah melibatkan diri didalam penganjuran acara di luar negara dan mahu memasuki pasaran negara lain.
My Concierge – Syarikat ini mengetengahkan sistem direktori untuk membantu kawasan setempat mencari penyedia khidmat seumpama Yelp. Walaubagaimanapun, tiada prototaip ditunjukkan mereka dan pitching mereka lebih kearah konsep idea.
SecondCRM – Syarikat yang pernah bertanding di Echelon 2011 dan mendapat banyak merit ini menunjukkan sasaran mereka untuk tahun ini disamping memerlukan perbelanjaan untuk menampung kos pemasaran mereka.
iKahwin – Syarikat yang baru ditubuhkan tahun ini menunjukkan direktori penyedia perkahwinan dan ingin membantu pasangan yang ingin berkahwin melalui fungsi kalkulator bajet perkahwinan disamping menyediakan senarai semak keperluan untuk pasangan pengantin.
Gecko Idol – Pembangun solo ini menunjukkan ideanya untuk membuat permainan mudah alih seakan-akan Dance-Dance Revolution dan membolehkan artis dan penggubah lagu memuatnaik lagu mereka dan akan dikeluarkan sebagai permainan.
Billplz – Syarikat ini mengetengahkan fungsi untuk membuat bayaran bil pada satu platform sahaja berbanding cara konvensional yang merumitkan keadaan. Melalui sistem mereka, pembayaran bil dengan mudah akan memupuk literasi pembayaran atas talian.
iPrinz – Syarikat ini memudahkan pengguna aplikasi mereka untuk menghantar poskad terus dari telefon bimbit mereka. Buat masa ini, aplikasi mereka tersedia dalam platform iOS dan menyediakan 3 poskad percuma buat para pengguna.
Neighbors.my – Aplikasi Android yang dicipta ini memudahkan untuk kawasan kejiranan setempat berhubung antara satu sama lain. Ia dilihat sebagai satu platform rangkaian sosial kejiranan dan turut membawakan fungsi verification untuk kawasan kejiranan.
Hungry Hippie – Syarikat ini membawakan idea menarik dimana sekiranya anda tidak sukakan pakej pelancongan ke tempat asing, anda boleh berhubung dengan orang awam tertentu di tempat tersebut dan mereka akan menjadi pemandu pelancong anda. Berbeza dengan sistem konvensional dimana syarikat pemandu pelancong berkemungkinan akan membawa anda ke tempat yang ada udang disebalik batu, sistem ini lebih telus.
Ellipsis – Syarikat ini mengetengahkan teknologi yang sangat menarik dimana sekiranya kita terpaksa mengimbas Kod QR untuk sesuatu perkara, kad khas yang dibawakan oleh teknologi mereka mampu berinteraksi dengan telefon pintar anda melalui sentuhan kepada skrin.
TableApp – Syarikat ini membawakan fungsi untuk menempah tempat di restoran secara langsung. Untuk pengguna anda boleh menyemak tempahan yang tersedia dan untuk pemilik restoran, ini mempercepatkan proses tempahan mereka.
Joota – Syarikat ini memerlukan dana untuk memasarkan plugin perkongsian mereka yang dikatakan merupakan paten baru didalam teknologi perkongsian kandungan. Plugin mereka dikatakan membantu syarikat kecil dan sederhana untuk memasarkan produk mereka.
Betanomics – Syarikat ini ingin memperkenalkan penggunaan BitCoin di Malaysia dan juga ingin menjadi penyedia perkhidmatan transaksi tersebut. Penggunaan pembayaran berasaskan elektronik masih belum mencapai tahap matang dan mereka ingin menyelesaikan masalah tersebut.
Keputusan berkenaan 5 startup pilihan yang akan diperkenalkan kepada Dave McClure akan diberitahu melalui e-mel dari pihak penganjur. Dan bagi kami setelah mengikuti ketiga-tiga siri pitching ini, kami mendapati banyak startup yang mengusahakan sesuatu projek menarik disekitar Malaysia dimana lebih 20 daripadanya hadir untuk pitching ini. Kami harap lebih banyak penyertaan dimasa akan datang.