Google Glass, adalah salah satu peranti yang kini dinanti-nantikan oleh para pengemar teknologi seluruh dunia, seiring dengan “smartwatch” yang kini kerap di bicarakan. Peranti -peranti tersebut bertujuan untuk mengelakkan seseorang daripada hanya menumpukan perhatian kepada skrin peranti telefon pintar atau tablet mereka sepanjang masa. Tabiat yang kurang menyenangkan ini sering menjadi masalah terutama semasa di meja makan dan majlis-majlis rasmi.
Pengunaan:
Sewaktu di Google I/O 2013 yang lepas, saya telah mencuba set demo Google Glass. Boleh dikatakan informasi bukan lagi di hujung jari, tetapi sebaliknya kini hanya di depan mata. Setiap carian dilakukan menggunakan arahan suara. Untuk mengaktifkannya, pengguna Glass perlu menyebut, “Okay, Glass”, membolehkan ia mengambil gambar, merekod video, membuat carian ataupun meminta arahan navigasi ke sesuatu tempat. Carian walaubagaimanapun perlu terperinci, ianya belum lagi dapat memproses carian meluas seperti pada aplikasi Google Now pada telefon pintar dan tablet hari ini.
Google Navigation, aplikasi GPS daripada Google antara aplikasi terbaik dalam Glass. Ianya ibarat mempunyai “Heads Up Display (HUD)” atau sebuah skrin yang terus berada di hadapan anda yang menunjuk jalan ke destinansi anda. Pada pendapat saya, ia lebih baik daripada kerap melihat skrin GPS atau skrin telefon anda. Glass membolehkan sesorang menumpukan perhatian mereka terus kehadapan, lantas boleh mengurangkan risiko penguna tersebut daripada terbabit dalam kemalangan.
Binaan:
Glass dibina dengan kerangka besi titanium dan plastik polikarbonat. Bahan-bahan binaan tersebut membuat Glass terasa seperti bingkai kaca mata yang berkualiti tinggi. Kualiti skrin LCD yang terletak dalam kaca prisma agak baik untuk sesuatu yang lut cahaya.
Disebelah kanan Glass terdapat sebuah bar atau jalur. Jalur ini berfungsi sebagai “trackpad”, sepeti yang ada pada laptop. Ia berfungsi sebagai cara untuk berinteraksi dengan antaramuka (user interface) yang dibawakan oleh Glass.
Dibelakang “trackpad” tersebut terdapat speaker konduksi tulang (bone conduction). Kualiti suara agak rendah, terutama di kawasan yang hingar-bingar. Harap masalah akan di selesaikan dalam Glass versi akhir untuk pengguna umum kelak.
Konklusi
Walaupun ianya hanya sebuah peranti pencubaan buat masa ini, potensi Glass sebagai peranti aksesori terserlah. Tetapi, kadangkala pengunaan Glass mungkin tidak sesuai pada waktu-waktu tertentu dan mungkin menganggu privasi orang lain. Google Glass adalah satu langkah besar bagi peranti boleh-pakai, tetap ianya mungkin terlalu drastik bagi sesetengah individu ataupun organisasi dalam masyarakat.