Penggunaan SMS pada hari ini boleh dikatakan semakin menurun dari hari ke hari, apatah lagi dengan pelbagai perkhidmatan permesejan seperti WhatsApp, WeChat, LINE, KakaoTalk dan maca-macam lagi. Perkara ini boleh dikatakan mungkin tidak begitu digemari oleh ramai syarikat telekomunikasi di seluruh dunia.
Menurut Celcom, buat masa ini, hanya sekitar 35% pengguna mereka sahaja yang menggunakan telefon pintar, sebaliknya 65% yang lain masih menggunakan telefon bimbit biasa.
Mengambil fokus perkara ini, pihak Celcom mengatakan “SMS tidak pernah dimanfaatkan sepenuhnya”, dan mengatakan mereka merancang untuk melancarkan beberapa produk baru berasaskan teknologi SMS pada pertengahan kedua 2013 ini.
Apakah yang akan dibawakan oleh mereka masih tidak diketahui sepenuhnya lagi. Sebagai perbandingan, pihak Maxis sedia menawarkan sebuah aplikasi permesejan, dinamakan sebagai Toot! Messenger – yang mengintegrasikan sokongan SMS dan juga permesejan melalui internet.
Pihak Telekom Malaysia juga dilihat melakukan perkara yang lebih kurang sama dengan menguji perkhidmatan yang dinamakan sebagai HyppMe! dalam bentuk beta tertutup buat masa ini.
Apa pun, ia tidak diketahui sama ada apakah yang akan dibawakan oleh pihak Celcom kelak. Adakah ia hanya sekadar sebuah aplikasi permesejan baru, ataupun adakah mereka akan hadir dengan sesuatu yang baru dan menarik minat pengguna dalam menghantar SMS?
Sama-sama kita nantikan apakah yang bakal diumumkan oleh pihak Celcom.