Mungkin umum sedia mengenali akan Tencent, iaitu syarikat disebalik perkhidmatan permesejan popular, WeChat. Kini, mengikut salah satu laporan baru daripada pihak Astro Awani, syarikat tersebut dikatakan ingin membeli pegangan sebanyak 15% pada syarikat tempatan – Patimas Computers Bhd.
Ia dikatakan, perkara ini mungkin akan berlaku pada minggu ini, seawal hari Rabu – 12 Jun ini. Patimas adalah salah satu syarikat tempatan yang menawarkan perkhidmatan dalam industri informasi dan komunikasi di Malaysia, dimana meliputi perkhidmatan pusat data, perkhidmatan telekomunikasi, dan beberapa yang lain.
Menurut Awani, pihak Tencent juga turut sama telah membeli pegangan sebanyak lebih kurang 5% pada awal tahun ini pada syarikat Patimas melalui salah satu firma ekuiti. Ia tidak diketahui lagi sama ada pihak Tencent akan membuat pembelian pegangan terus pada kali ini, ataupun melalui salah satu firma ekuiti yang lain.
Sebelum ini, pihak Tencent juga pernah berkongsi mengenai perancangan mereka untuk membuka sebuah syarikat tempatan dalam memfokuskan kepada perkhidmatan permesejan mereka – WeChat. Mungkin sekiranya laporan ini benar, maka pembelian pegangan pada Patimas adalah sekadar pelaburan, dan mungkin akan dikekalkan sebagai syarikat berasingan.