Ramai pengguna iOS yang menantikan perubahan pada antaramuka platform operasi tersebut, dan setelah lama dinantikan, akhirnya pihak Apple kini hadir dengan iOS 7 yang membawakan beberapa perubahan dari segi antaramuka dan juga rekabentuk ikon aplikasi yang lebih berwarna-warni berbanding sebelumnya.
iOS 7 Beta buat masa ini hanya dikeluarkan untuk para pembangun sahaja, dan akan hadir kepada peranti-peranti yang disokong sekitar Oktober kelak.
Skrin Kunci
Perubahan dapat dilihat oleh para pengguna daripada skrin kunci (lockscreen) pada iOS 7. Melaluinya, pengguna boleh mengakses kepada beberapa perkara, termasuk melihat notifikasi baru daripada beberapa aplikasi, disamping mengakses kepada Control Centre dengan meleret dari bahagian bawah.
Bahagian Slide to Unlock juga mengalami perubahan, dimana kelihatan Apple menggunakan antaramuka berasaskan Flat UI secara menyeluruh.
Ikon dan Latar
Pada iOS 7 juga, pihak Apple membawakan salah satu efek kepada gambar latar belakang, dimana ia membawakan efek parallax, membolehkan pengguna melihat gambar latar dari pelbagai perspektif berbeza, sekaligus menjadikan ikon kelihatan tertimbul terkeluar.
Bercakap mengenai ikon, pelbagai aplikasi diberikan kemaskini dengan ikon baru yang selari dengan rekabentuk baru ini. Walaupun kami mengemari rekaan antaramuka baru, namun rekaan ikon boleh dikatakan agak kurang menarik berbanding sebelumnya.
Control Center
Sebelum ini, pada iOS, sekiranya pengguna ingin melakukan sebarang perubahan, mereka terpaksa melalui pelbagai halaman untuk dapat mengubahnya. Perkara ini membuatkan penggunaan aplikasi seperti SB Settings agak popular pada iOS.
Namun, melalui iOS 7, pihak Apple kelihatan memberikan perhatian untuknya, menambah sokongan yang dinamakan sebagai Control Center. Untuk mengaksesnya, pengguna hanya perlu meleret daripada bahagian bawah skrin, dan sebuah panel khas akan hadir, membolehkan pengguna mengubah beberapa tetapan asas, seperti WiFi, BlueTooth, lampu Flash, menetapkan kecerahan skrin, mengakses AirDrop, dan beberapa perkara yang lain.
Notification Center
Sekiranya meleret dari bahagian bawah kita dapat melihat Control Center, sebaliknya daripada bahagian atas pula, kita akan dapat melihat pelbagai notifikasi semasa dari pelbagai aplikasi.
Selain melihat semua notifikasi, kini ia turut dikategorikan untuk melihat hanya notifikasi yang anda terlepas pandang, ataupun notifikasi untuk hari ini sahaja. Sokongan ini juga turut sama boleh diakses daripada skrin kunci (lockscreen) peranti.
Multitasking
Bahagian multi-tasking juga diberikan perhatian oleh pihak Apple, dimana kini aplikasi tidak dihentikan disebalik latar, tetapi boleh berjalan, membolehkan pengguna dengan mudah mengikuti perkembangan apabila membukanya kembali. Bahagian multi-tasking juga kini turut memaparkan tetingkap aplikasi, dan bukan hanya sekadar ikon sahaja seperti sebelumnya.
Kamera
Sebelum ini, pihak Apple telah memperkenalkan sokongan rakaman Panorama pada aplikasi kamera. Melalui iOS 7, selain membawakan paparan antaramuka yang amat minimalis, pihak Apple juga turut menambah sokongan rakaman gambar dalam bentuk segi-empat-sama, selain pada masa yang sama menawarkan sokongan penambahan filter dan kesan khas pada gambar.
Walaubagaimanapun, sokongan penambahan filter pada gambar hanya terhad kepada peranti iPhone 5 dan juga iPod Touch 5 sahaja. Memandangkan pelbagai aplikasi terdapat di iOS dengan sokongan yang sama, mungkin ia tidak memberikan kesan yang menyeluruh kepada pengguna peranti iOS lain.
Siri
Google Now sebelum ini telah hadir dengan sokongan ucapan audio yang lebih natural, dan kini pihak Apple turut sama memberikan kemaskini kepada ucapan melalui Siri, dimana kini lebih natural dan tidak lagi robotik seperti sebelumnya.
Disamping itu, pihak Apple turut sama menambah beberapa penambahan kandungan pada Siri, membolehkan pengguna bukan sahaja membuat carian melalui Wikipedia, tetapi turut sama melakukan carian di Twitter dan juga Bing. Pengguna turut sama boleh melakukan beberapa tugasan tambahan seperti mengakses Voicemail dan sebagainya.
Photos dan AirDrop
Pada hari ini, telefon pintar dan tablet turut sama digunakan dalam merakamkan pelbagai detik-detik menarik dalam hidup. Mengambil perhatian perkara ini, pihak Apple tidak lagi hanya sekadar memaparkannya dalam bentuk grid seperti sebelumnya, tetapi turut sama memaparkan beberapa data seperti lokasi yang dirakamkan dan juga tarikh ia dirakamkan. Pengguna juga kini dengan mudah boleh melihat paparan gambar mengikut tahun, bulan dan sebagainya dengan mudah.
Selain Photos, pihak Apple melalui iOS 7 turut membawakan salah satu fungsi baru dinamakan sebagai AirDrop. Menggunakan fungsi tersebut, pengguna dengan mudah boleh berkongsi pelbagai jenis media kepada rakan-rakan mereka yang menggunakan sistem operasi Mac OS X ataupun iOS. Fungsi ini juga mungkin salah satu fungsi yang dinantikan ramai, apatah lagi dengan ketiadaan sokongan perkongsian Bluetooth yang sering menjadikan kritikan ramai selama ini.
Safari dan AppStore
Pada iOS, pelayar web utamanya adalah Safari, dan ia turut menerima kesan positif dari segi antaramuka, penggunaan tab dan sebagainya. Namun, sekiranya anda menggunakan pelayar web seperti Chrome, mungkin anda tidak akan melihat perubahan yang drastik padanya, selain seperti iCloud Keychain dan juga Reading List.
AppStore turut menerima beberapa perubahan kecil, termasuk sokongan dari segi melihat aplikasi yang popular disekitar lokasi anda, selain sebuah bahagian khas yang memaparkan aplikasi untuk para pengguna kanak-kanak.
Peranti Yang Disokong
iOS 7 versi akhir kelak akan hadir sekitar Oktober atau November kelak, dan akan ditawarkan untuk beberapa peranti terpilih. Apple juga turut berkongsi yang mana bukan semua fungsi akan hadir ke semua peranti, memandangkan berkemungkinan sesetengahnya tidak dapat menyokongnya disebabkan kuasa operasi yang berbeza.