Pandang Pertama : Sony Xperia Z Ultra

Pandang Pertama : Sony Xperia Z Ultra

Diterbitkan pada June 28, 2013 oleh .

Selasa lalu Sony memperlihatkan phablet pertama mereka yang dinamakan Sony Xperia Z Ultra. Ianya sebuah peranti dengn skrin sebesar 6.4” HD Penuh, pemproses 2.2 GHZ empat teras Snapdragon 800, RAM sebesar 2 GB, storan dalaman sebsar 16GB, kamera utama 8 Megapixel dan ketahanan air IP 58. Xperia Z Ultra bolehlah dianggap sebagai jawapan Sony kepada Samsung Galaxy Note yang kini mengungguli pasaran phablet dunia.

Kami sempat menggunakan peranti ini majlis pelancarannya di Shanghai pada hari Selasa lepas, dan kami rasakan Xperia Z Ultra ialah sebuah peranti yang bagus tetapi mempunyai beberapa kelemahan yang boleh dielakkan. Tetapi ada baiknya jika kita mulakan pandang pertama dengan apa yang kami suka dengan Xperia Z Ultra.

Rekabentuk
Spesifikasi Sony Xperia Z Ultra
Cip 2,2GHz (empat-teras) Snapdragon 800
Kamera Utama 8 Megapixel (Tiada Flash)
Kamera Hadapan 2.1 Megapixel
Storan Terbina 16 Gigabyte dengan sokongan mikro SD
RAM 2 Gigabyte
Skrin 6.4 inci HD Penuh dengan teknologi Triluminos
Bateri 3050 mAh

Tiada perubahan drastik dilakukan Sony pada rekaan Xperia Z Ultra, Ia masih mengekalkan rekaan yang sama seperti Xperia Z, ZL dan Xperia Tablet Z.

Butang kuasa dan suara terletak pada bahagian kanan peranti. Slot mikro-USB masih lagi terletak di bahagian kiri-atas peranti dan begtu juga sambungan dock pengecasan. Slot SIM dan mikro-SD kini diletakkan pada bahagian kanan di bawah satu pintu kalis air. Pada peranti sebelum ini setiap slot mempunyai pintu kalis airnya yang tersendiri. Jack fon kepala pula dibiarkan terbuka dan juga terletak pada bahagian kanan peranti. Dengan ketebalan hanya 6.4 mm, Z Ultra adalah lebih nipis dari Xperia Z. Walaupun saiz Z Ultra adalah agak besar, namun kami rasakan ianya masih selesa dipegang. Bagi memudahkan penggunaan sebelah tangan ,Sony menyediakan fungsi one-handed pada skrin tetapan phablet ini.

Skrin

Skrin 1080p 6.4-inci pada Z Ultra Nampak jauh lebih terang dengan penghasilan warna yang lebih hidup berbanding Xperia Z. Untuk pertama kalinya Sony menggunakan teknologi Triluminos yang sebelum ini digunakan pada televisyen LED mereka. Masalah warna yang sedikit kusam pada Xperia Z sebelum ini berjaya diatasi dengan penggunaannya. Skrin Ultra juga berbeza kerana anda tidak perlu membeli stylus khas untuk melakar dan menulis di atasnya. Anda boleh meggunakan mana-mana pensel dan pen biasa sebagai stylus asalkan ianya mampu mengalirkan elektrik.

Antaramuka

Antaramuka peranti ini juga membawakan beberapa fungsi baru. Pada skrin tetapan terdapat pilihan “personalisation” yang membolehkan anda meletakkan seberapa banyak pintasan pada talam notifikasi. Sebelum ini pengguna peranti Xperia dihadkan kepada 5 pilihan iaitu kawalan bunyi, Bluetooth, Wifi, data dan menu tetapan. Fungsi ini boleh dikatakan sama seperti yang ada pada antaramuka Touchwiz Samsung Galaxy S4.

Kamera

Dari segi kekurangan perkara pertama yang kami sedari ialah saiz kamera utama yang kecil. Z Ultra hanya dilengkapi kamera sebesar 8 Megapixel tanpa flash pada bahagian belakang dan 2 Megapixel pada bahagian hadapan. Menurut Sony, Z Ultra direka sebagai sebuah peranti pemain media. Kamera yang bersaiz besar dan flash dirasakan bukan keutamaan untuk pengguna Xperia Z Ultra. Oleh sebab ini juga butang kamera khas yang ada pada Xperia ZL juga tidak diletakkan pada Z Ultra. Menurut Sony juga butang kamera khas tidak disertakan kerana mahu mengekalkan kenipisan Ultra. Kami rasakan alasan yang diberikan kurang kuat dan kami berharap apabila Sony menghasilkan Xperia Z Ultra 2 kelak, butang kamera , flash dan kamera dengan sensor lebih besar dapat disertakan.

Tambah mengecewakan gambar pada ratio 16:9 hanya boleh diambil pada resolusi maksimum 5 megapixel. Kami berharap had resolusi ini dapat dibaiki sebelum Ultra muncul di pasaran seawal hujung Julai ini. Umum diketahui HTC One dan Samsung Galaxy S4 mempunyai fungsi suntingan membuang objek secara terus terbina serta fungsi Drama Shot.  Kami mendapati dua fungsi menarik ini tidak ada pada aplikasi kamera Ultra. Agak canggung melihat fungsi terbaru ini tiada pada peranti terkini Sony.

Fungsi Tambahan

Seperkara lagi sungguhpun Sony mewarwarkan perkhidmatan Sony Movies Unlimited, Music Unlimited dan PlayStation Mobile pada majlis pelancaran Z Ultra, kami difahamkan Sony masih tiada perancangan untuk melancarkan perkhidmatan ini di Malaysia. Umum ketahui Playstation Store ialah perkhidmatan yang sudah wujud sejak Xperia Play dilancarkan pada tahun 2011. Sehingga kini pengguna peranti Xperia Malaysia masih tidak boleh mengakses perkhidmatan ini.

PRO dan Kelebihan
  • Mempunyai ketahanan air dan debu pada standard IP58
  • Rekaan butang kuasa dan suara yang ergonomik bagi memudahkan pengendalian oleh pengguna. Peranti juga selesa dipegang sungguhpun mempunyai saiz yang besar
  • Paparan skrin HD Penuh dengan teknologi Triluminos yang memaparkan imej yang lebih terang dan warna yang lebih bermaya
  • Pemproses 2.2 Ghz empat teras dari keluarga Snapdragon 800 memastikan kesemua aplikasi berjalan lancar tanpa masalah lengah masa.
  • Kebolehan melakukan kustomasi pada pilihan pintasan talam notifikasi. Tidak lagi terhad kepada hanya 5 pintasan
KONTRA dan Kekurangan
  • Pada resolusi maksimum, gambar diambil hanya pada nisbah 4:3 dan bukannya 16:9
  • Beberapa perkhidmatan ekslusif Sony seperti Movies Unlimited, Music Unlimited dan Playstation Mobile tidak mendapat sokongan sepenuhnya di Malaysia buat masa ini.

Xperia Z Ultra dijangka memasuki pasaran Malaysia seawal hujung Julai atau awal Ogos ini


TIPS & ULASAN