Cari @ Amanz

Google Reader merupakan salah satu perkhidmatan pembaca RSS yang digunakan ramai pengguna seluruh dunia. Pengumuman pihak Google untuk menghentikan perkhidmatan tersebut esok – 1 Julai, telah membuatkan ramai yang beralih kepada beberapa perkhidmatan alternatif lain.

Feedly

Feedly telah hadir sebagai salah satu alternatif popular sejak pengumuman pihak Google tempoh hari. Feedly sebelum ini sedia mengintegrasikan sokongan Google Reader, dan dengan pihak Google yang akan menghentikannya, mereka telah pun beralih kepada pelayan sendiri, dibawah nama Feedly Cloud.

Feedly Cloud

Disamping menyediakan aplikasi mudah-alih, Feedly juga turut sama kini menyediakan versi web, memudahkan pengguna untuk mengikuti pelbagai kemaskini semasa dengan mudah.

Digg Reader

Digg telah pun memperkenalkan perkhidmatan pembaca RSS mereka tersendiri pada minggu lepas, dinamakan sebagai Digg Reader. Melaluinya, ia membawakan paparan yang kemas dan ringkas, membawakan beberapa fungsi asas kepada pembaca RSS berkenaan.

Digg Reader

Pihak Digg juga turut sama mengatakan mereka akan terus menambah pelbagai fungsi baru pada perkhidmatan mereka. Buat masa ini, selain versi web, pihak Digg juga turut menyediakan aplikasi iOS, dan akan memperkenalkan aplikasi Android dalam beberapa minggu lagi.

Mengakses RSS Pada Desktop

Selain daripada berasaskan web, pihak pengguna yang berminat juga turut sama boleh mengikuti pelbagai kemaskini semasa RSS terus daripada desktop. Untuk pengguna Windows, terdapat perisian seperti FeedRoller dan juga FeedNotifier. Untuk pengguna Mac pula terdapat Monotony, selain FeedNotifier yang turut disediakan untuk platform tersebut. Pengguna Linux juga terdapat beberapa pilihan, dan salah satunya adalah Liferea.

Mengakses RSS Pada Peranti Mudah-Alih

Kebanyakkan perkhidmatan sedia menawarkan aplikasi mudah-alih mereka untuk pengguna peranti mudah-alih. Perkara ini sedia dilakukan oleh pihak Feedly, disamping Digg juga turut menawarkan Digg Reader untuk iOS buat masa ini.

Disamping itu, beberapa perkhidmatan turut sama menyediakan sokongan untuk mengimport langganan RSS daripada Google Reader, dimana salah satunya adalah Flipboard.

Lain-lain

Selain daripada kesemua ini, beberapa laporan turut mengatakan pihak Facebook turut sama akan hadir dengan sebuah perkhidmatan dinamakan sebagai Facebook Reader. Bagi mereka yang masih inginkan produk Google, mungkin boleh menggunakan satu lagi produk mereka yang memfokuskan kepada pembacaan, dinamakan sebagai Google Currents.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd