Cari @ Amanz

Pada penghujung Oktober 2012, syarikat gergasi Microsoft telah melancarkan Windows 8, sistem operasi yang direka untuk membawakan evolusi kepada penggunaan PC serta pada masa yang sama membawakan pengoptimasian sepenuhnya bersama-sama dengan peranti skrin sentuh. Hanya selepas 12 bulan selepas pengenalan Windows 8 Release Preview, nampaknya Microsoft komited dalam pembangunan Windows secara pantas dan pihak Microsoft kini hadir dengan pengenalan Windows 8.1 Preview untuk memenuhi tuntutan pemodenan dunia pengkomputeran.

Dengan menggunakan kod nama ‘Windows Blue’ pada permulaannya, Windows 8.1 direka untuk menambahbaik fungsi serta pengalaman pengguna yang sedia ada pada Windows 8. Arbitrari yang dilakukan mendapati bahawa syarikat gergasi dari Redmond ini membawakan perubahan signifikan pada Windows 8.1 seperti mana yang telah diumumkan pada persidangan Build 2013 yang lalu. Kini tibalah giliran kami di Amanz untuk membawakan ulasan penuh mengenai Windows 8.1 Preview.

Antara muka

Start Screen

Windows 8.1 - Start Screen

Windows 8.1 - Size TilesFungsi Start Screen pada Windows 8.1 Preview telah diberikan tetapan baru yang mana pengguna boleh menetapkan wallpaper pada desktop untuk digunakan pada latar belakang Start Screen. Fungsi ini dikira amat menarik dalam menjadikan Start Screen kelihatan lebih segar dan dramatik disamping pengguna boleh menggunakan latar belakang yang sedia ada seperti mana yang hadir pada Windows 8.

Tetapan untuk mengubah latar belakang Start Screen pada Windows 8.1 Preview juga telah dipermudahkan dan pengguna tidak lagi dibawa ke satu paparan baru untuk mengubahnya. Pengguna hanya perlu ke Settings pada Charm Bar, seterusnya klik pada Personalize dan tetapan mengubah warna tema dan latar belakang Start Screen muncul dengan serta merta pada bahagian kanan skrin.

Selain kebolehan untuk menetapkan wallpaper desktop pada latar belakang Start Screen, Windows 8.1 Preview juga hadir dengan kebolehan mengubah saiz tile kepada saiz Small, Medium, Wide, dan Large. Pada Windows 8, saiz tile hanya boleh diubah kepada saiz Medium dan Wide sahaja dan perkara ini menyekat kebebasan pengguna untuk mengubah saiz tile, lebih-lebih lagi icon aplikasi desktop yang kelihatan agak tidak menarik jika dibiarkan pada tile yang bersaiz besar.

Kehadiran Semula Start Button

Windows 8.1 - Butang StartSalah satu fungsi legasi Windows sejak sekian lama ialah butang Start Button yang menjadi fungsi ikonik Windows sejak Windows 95. Sejak pengenalan Windows 8, fungsi ini dibuang kerana ia telah digantikan dengan thumbnail kecil pada penghujung bawah kiri skrin untuk ke Start Screen. Pembuangan fungsi ini telah mengakibatkan sesetengah pengguna baru Windows 8 berasa janggal dan kekok sekaligus mengurangkan kadar mesra pengguna pada sistem operasi Windows. Oleh disebabkan itu, Microsoft telah menghadirkan semula fungsi Start Button ini bersama-sama dengan Windows 8.1.

Kehadiran semula Start Button ini dilihat positif kerana membantu pengguna baru untuk mengakses fungsi tersebut dengan lebih mudah lagi. Walau bagaimanapun, fungsi Start Button pada Windows 8.1 Preview tidak hadir dengan fungsi Start Menu seperti mana yang ada pada sistem operasi Windows sebelum ini. Apabila pengguna menekan butang Start Button pada sistem operasi ini, ia akan dibawa ke Start Screen semula. Namun begitu, pengguna boleh mendapatkan pengalaman seakan Start Menu dengan menetapkan tetapan daripada Start Screen ke All Apps apabila Start Button ditekan.

Pada paparan All Apps, pengguna diperlihatkan dengan senarai penuh aplikasi yang berada di komputer termasuk aplikasi desktop. Melalui Windows 8.1 Preview, pengguna juga boleh menetapkan aplikasi yang mana perlu dipaparkan terlebih dahulu melalui pilihan tetapan seperti ‘by name’, ‘by date installed’, ‘by most used’, dan ‘by category’.

Windows Store

Windows 8.1 - Store

Selain penambahbaikan kawalan Start Screen serta kehadiran Start Button pada desktop, fungsi yang turut diberi perhatian Microsoft ialah Windows Store. Antara perkara yang diberi perhatian ialah antara-muka Windows Store kini telah diberi nafas baru bersama-sama dengan Windows 8.1 Preview. Antara-muka baru ini dilihat lebih memudahkan pengguna untuk mencari aplikasi sekaligus memudahkan pembangun aplikasi memasarkan aplikasi mereka pada Windows Store.

Lock Screen

Windows 8.1 - LockScreenPaparan lock screen pada Windows 8 membawakan paparan yang kemas serta menarik dan kini pihak Microsoft memberi penambahbaikan pada fungsi tersebut. Pada Windows 8.1 Preview, pengguna boleh menetapkan fungsi slide show pada paparan lock screen selain menggunakan satu gambar sahaja seperti mana yang digunakan pada Windows 8. Apabila fungsi slide show diaktifkan pada versi Windows terbaru ini, pengguna akan dihidangkan dengan tiga gambar yang berlainan yang ditayangkan serentak pada paparan lock screen.

Selain daripada itu, lock screen pada Windows 8.1 Preview turut membawakan akses pantas untuk ke fungsi kamera. Pengguna hanya perlu menatal paparan lock screen dari atas ke bawah untuk mengaktifkan fungsi ini. Selain itu, satu lagi fungsi yang turut sama hadir adalah kebolehan menjawab panggilan Skype terus daripada lock screen tanpa perlu membuka paparan lock screen terlebih dahulu.

Carian

Integrasi Bing Search

Windows 8.1 - Bing SearchSalah satu fungsi menarik yang hadir pada Windows 8.1 Preview adalah pengintegrasian Bing Search secara sepenuhnya pada sistem operasi Windows. Pengintegrasian ini membolehkan carian dibuat serta merta daripada fungsi Search pada Windows tanpa perlu menggunakan pelayar web. Perkara ini dilihat membantu pengguna untuk mencari maklumat dengan lebih pantas selain menggunakan kaedah lama iaitu melalui laman web untuk menjalankan carian.

Selain daripada itu, fungsi carian ini turut hadir dengan hasil carian yang telah disesuaikan dengan carian pengguna dalam satu paparan yang begitu menarik. Apabila pengguna terlintas untuk mencari maklumat tentang seseorang, Bing Search akan memberikan hasil carian dalam satu paparan menarik bersama-sama dengan biodata, gambar, video, senarai lagu, dan senarai laman web yang berkaitan dengan carian itu.

Penambahbaikan Carian Terbina

Pada Windows 8, carian terbina pada sistem operasi ini dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu ‘Apps’, ‘Files’, dan ‘Settings’. Perkara ini membuatkan pengguna berasa agak leceh dan perlu menekan salah satu tetapan carian tersebut untuk memaparkan carian yang berlainan.

Dengan pengenalan Windows 8.1 Preview, fungsi carian dihadirkan dengan satu tetapan sahaja iaitu dengan tetapan carian ‘Everywhere’. Tetapan ini membolehkan carian seperti ‘Apps’, ‘Files’, dan ‘Settings’ dipaparkan dalam satu paparan carian sahaja tanpa perlu menekan tetapan lain seperti sebelum ini.

Aplikasi

Sound Recorder, Calculator, dan Alarms

Windows 8.1 - App BaruDengan penggunaan Windows 8 yang semakin meluas pada komputer tablet, kemas kini Windows 8.1 Preview turut hadir dengan fungsi asas dalam bentuk aplikasi Modern seperti sound recorder, calculator, dan alarms. Sebelum ini, aplikasi asas ini hanya tersedia dalam bentuk aplikasi desktop dan tidak beberapa begitu intuitif bagi penggunaan paparan skrin sentuh.

Bing Health & Fitness

Selain daripada aplikasi asas, pihak Microsoft turut sama menekankan aplikasi yang berasaskan kesihatan dengan pengenalanan aplikasi Bing Health & Fitness. Aplikasi ini membolehkan pengguna melihat dan mengemaskini cara pemakanan harian mereka melalui fungsi Diet Tracker selain melihat tips penjagaan dan berita kesihatan yang dibekalkan melaluinya. Apabila seseorang menghidapi serangan penyakit, pengguna boleh menggunakan fungsi Symptoms Checker yang tersedia pada aplikasi Health & Fitness ini. Selain itu, aplikasi ini turut hadir dengan pengeksplorasi anggota badan manusia dalam bentuk 3D dan bagi yang gemar mengikuti senaman gym, aplikasi ini turut menyediakan senarai aktiviti semasa ‘workout’ serta ‘exercises’ yang berguna untuk dijadikan panduan kepada pengguna.

Bing Food & Drink

Pihak Microsoft juga tidak ketinggalan untuk memperkenalkan aplikasi Bing Food & Drink untuk panduan resepi serta sebagai satu alat pengurusan makanan yang dikira amat sesuai digunakan terutamanya oleh golongan suri rumah. Aplikasi ini membolehkan pengguna membuat perancangan untuk masakan seterusnya selain kebolehan untuk menambah resipi baru padanya. Beberapa senarai resipi makanan turut disediakan pada aplikasi ini dan apa yang menariknya, ia turut hadir dengan kebolehan gesture untuk pergi ke halaman seterusnya tanpa menyentuh skrin. Perkara ini dijayakan dengan melabai tangan di hadapan kamera komputer untuk menavigasi halaman aplikasi sekaligus mengelakkan tangan pengguna menyentuh skrin ketika sedang sibuk menyediakan makanan.

Reading List

Windows 8.1 - Readling List

Satu fungsi menarik yang turut hadir bersama pada Windows 8.1 Preview ialah aplikasi Reading List yang membolehkan pengguna mengumpulkan senarai bacaan daripada pelayar web untuk dibaca kemudian dalam satu bentuk aplikasi yang mudah. Fungsi ini dapat membantu pengguna untuk menyimpan dan menyusun atur senarai bacaan yang berguna dalam satu aplikasi dan boleh dibaca semula sebagai rujukan pada masa-masa yang akan datang.

Xbox Music dengan Sokongan ‘Radio’ dan Pengstriman Percuma

Windows 8.1 - Xbox MusicSebelum ini kita mungkin telah sedia mendengar Spotify, satu perkhidmatan yang membolehkan kita mendengar lagu secara percuma pada desktop. Kini, Xbox Music pada Windows 8.1 Preview turut hadir dengan perkhidmatan yang lebih kurang sama seperti Spotify yang mana membenarkan pengguna memainkan kesemua lagu secara percuma dengan sokongan iklan padanya.

Antara muka Xbox Music turut diberi nafas baru dan kini ia kelihatan lebih kemas berbanding sebelum ini. Sejumlah besar antara muka Xbox Music pada Windows 8.1 Preview telah diberi fokus dengan fungsi ‘radio’ dan pengstriman percuma yang mana sejumlah besar lagu ‘streaming’ kegemaran pengguna dimuatkan dalam satu paparan ‘Collection’. Sama seperti Spotify, aplikasi ini turut hadir dengan kebolehan membawa masuk playlist daripada komputer pengguna dan Xbox Music akan memadankan lagu yang sedia ada berada di ‘cloud’ dengan playlist pengguna tersebut.

Lain-lain penambahbaikan

Penambahbaikan Fungsi Snap View

Windows 8.1 - AppSnapMelalui Windows 8.1 Preview, fungsi Snap View telah diberi peningkatan yang mana aplikasi kini boleh di’snap’ pada kadar yang berlainan seperti 50/50 dan 40/60 berbanding sebelum ini 30/70. Penambahbaikan ini membolehkan pengguna menjalankan aplikasi Modern secara penuh walaupun disnap pada 50% atau 40% paparan skrin.

Pada paparan resolusi tinggi, Snap View pada Windows 8.1 Preview turut membolehkan lebih banyak aplikasi disnap dalam satu-satu masa berbanding di Windows 8 yang hanya terhad kepada dua aplikasi. Contohnya pada paparan 1600×900, fungsi ini membolehkan tiga aplikasi disnap dalam satu paparan skrin pada kadar 30/30/40.

Selain itu, fungsi Snap View kini boleh dijalankan pada skrin yang beresolusi 1024×768 berbanding di Windows 8 yang memerlukan resolusi minima 1366×768 untuk menjalankan fungsi ini. Pengenalan resolusi minima 1024×768 ini dapat memberi ruang kepada pengeluar untuk menghasilkan tablet Windows yang lebih kecil seperti saiz 7 dan 8-inci.

Tetapan Boot-to-Desktop

Antara kritikan pengguna desktop mengenai Windows 8 adalah tiada tetapan untuk boot terus ke desktop yang mana pengguna terpaksa di bawa ke Start Screen terlebih dahulu sebelum ke paparan desktop. Perkara ini membuatkan ramai yang memasang aplikasi pihak ketiga untuk membolehkan Windows untuk terus ke desktop selepas proses boot tanpa dihidangkan dengan paparan Start Screen.

Menyedari hakikat ini, Microsoft kini menampilkan tetapan boot-to-desktop ini bersama-sama dengan Windows 8.1 Preview. Fungsi ini tidak ditetapkan secara default dan pengguna boleh mengaktifkannya dengan membuat right click pada taskbar dan klik pada ‘Properties’. Satu window baru akan muncul dan klik pada tab ‘Navigation’. Dari situ pengguna boleh menetapkan tetapan boot-to-desktop dengan menandakan pada kotak ‘Go to desktop instead of Start when I sign in’.

Internet Explorer 11

Selain sistem operasi, pembangunan pantas Microsoft turut disaksikan bersama dengan pelayar Internet Explorer yang kini telah mencapai versi ke-11 pada Windows 8.1 Preview.

Windows 8.1 - Internet Explorer 11

Internet Explorer 11 hadir dengan beberapa fungsi baru seperti smooth scrolling yang menjadikan paparan scrolling pada pelayar web ini lebih menarik selain beberapa fungsi di belakang tabir seperti WebGL yang turut disertakan bersama. Untuk ujian HTML 5 daripada halaman html5test.com, Internet Explorer 11 Preview pada Windows 8.1 Preview berjaya mencatatkan bacaan sebanyak 355 mata.

Tiada sebarang perubahan antara-muka dibuat pada Internet Explorer 11 Preview versi desktop dan pada versi Modern, ada sedikit perubahan dari segi kawalan tab. Kedudukan tab pada Internet Explorer versi ini telah berada bersama-sama dengan URL bar di bahagian bawah skrin berbanding sebelum ini yang berada di bahagian atas skrin.

Fungsi Pengeditan Gambar Secara Terbina

Windows 8.1 - Image Editor

Windows 8.1 Preview turut didatangkan dengan sokongan pengeditan gambar secara terbina pada aplikasi Photos. Fungsi ini hadir dengan alatan penyuntingan gambar yang dikira agak menarik seperti kebolehan untuk menetapkan fokus pada gambar. Selain daripada fungsi tersebut, turut hadir bersama dengan aplikasi ini kebolehan untuk mengubah warna, cahaya, crop, rotate, pembuangan red eye, dan auto fix.

Aplikasi Kamera Hadir dengan Fungsi Photosphere

Microsoft turut mengambil langkah untuk meningkatkan pengalaman pengguna pada fungsi kamera dengan menghadirkan fungsi Photosphere dalam Windows 8.1. Fungsi ini membolehkan pengguna menangkap gambar dalam bentuk 360 darjah dengan hanya menggerakkan kamera yang berada pada peranti berpandukan panduan yang tertera pada paparan skrin.

“My Computer”, “Computer”, dan kini “This PC”

Windows 8.1 - This PCSejak pengenalan Windows 95 sehingga Windows XP, istilah ‘My Computer’ telah digunakan untuk memaparkan beberapa peranti yang berada di komputer selain membuat perubahan setting melaluinya. Pada Windows Vista sehingga Windows 8, istilah digantikan dengan “Computer” sahaja dan fungsinya masih sama seperti sebelumnya.

Pada Windows 8.1 Preview, istilah berubah kepada “This PC” memandangkan zaman ini komputer bukan sahaja hadir dalam bentuk PC malah dalam bentuk form-factor yang lain. Oleh sebab yang demikian, istilah “Computer” tidak lagi digunakan bermula Windows 8.1 ini dan digantikan dengan istilah “This PC” yang dikira lebih sesuai dengan era kini. Fungsinya juga tidak jauh beza daripada sebelumnya cuma ada beberapa perubahan dilihat daripada fungsi ini. Kini “This PC” tidak lagi hanya memaparkan peranti yang berada pada komputer sebaliknya turut hadir bersama-sama dengan folder pengguna.

PC Settings yang Diperbaharui

Dengan lambakan Windows 8 pada peranti tablet dan peranti skrin sentuh, mengawal tetapan pada Control Panel tidak beberapa efisien pada peranti jenis ini kerana antara mukanya lebih kepada penggunaan desktop. Pada Windows 8.1 Preview, hampir kesemua tetapan utama telah dimasukkan dalam PC Settings dan pengguna boleh menetapkan beberapa tetapan seperti resolusi, melihat status activation pada Windows terus dari PC Settings yang dioptimasikan untuk paparan skrin sentuh.

Windows 8.1 - PC Settings

Sokongan 3D Printing

Sejak akhir-akhir ini, trend 3D printing semakin mendapat perhatian daripada pengguna dan perkara ini sedikit sebanyak menarik minat pengeluar untuk menghasilkan pencetak 3D untuk pasaran umum. Pada Build 2013, Microsoft mengumumkan Windows 8.1 adalah platform yang pertama di dunia yang hadir dengan sokongan 3D Printing ini. Melaluinya pengguna boleh melihat terlebih dahulu bagaimanakah rupa bentuk 3D yang bakal dicetak terus dari paparan peranti Windows 8.1.

Sokongan Paparan Berpiksel Tinggi

Selain daripada 3D printing, turut sama mengikut trend kini adalah kehadiran peranti dengan paparan berpiksel tinggi pada pasaran umum. Melalui Windows 8.1 Preview, pihak Microsoft telah menyertakan sokongan paparan berpiksel tinggi secara natif dalam Windows ini tanpa perlu mendapatkan pihak pembangun aplikasi mengubah apa jua jenis tetapan terlebih dahulu.

Kebolehan Mengawal Tetapan Tetikus & Touchpad Gesture

Sejak pengenalan sistem operasi Windows 8, setiap penjuru skrin didatangkan dengan fungsi yang berbeza seperti Charm Bar apabila kursor diletakkan di kawasan tersebut. Selain mengguna kursor dengan tetikus, touchpad juga berperanan dalam mengeluarkan fungsi Charm Bar selain kebolehan menukar aplikasi lain dengan kawalan gesture. Perkara ini kadang kala membuatkan pengguna tidak selesa kerana mengeluarkan fungsi Charm Bar secara tidak sengaja atau terlakukan gesture untuk mengubah aplikasi ketika menggunakan touchpad.

Bagi pengguna yang tidak berasa senang dengan fungsi ini, tetapan tetikus & touchpad gesture boleh diubah melalui PC Settings dan klik pada PC & Devices. Apabila paparan PC & Devices muncul pada paparan, klik pada Mouse & Touchpad untuk mengubah kawalan gesture.

Integrasi Skydrive pada Desktop

Sebelum pengenalan Windows 8.1 Preview, fungsi Skydrive pada Windows 8 hanya terhad pada antara-muka Modern dan pengguna perlu memasang aplikasi yang berlainan untuk versi desktop. Pada versi Windows terbaru ini, Skydrive untuk desktop didatangkan secara default dan melaluinya pengguna boleh mengurus fail terus menerus daripada File Explorer dengan mudah.

Pandangan Editor dan Konklusi

Motif Pengeluaran Kemas Kini Windows 8.1

Secara tipikalnya, mungkin ramai yang merasakan kehadiran Windows 8.1 seolah-olah hanya untuk mengembalikan fungsi Start Button yang sekian lama menjadi ‘trademark’ dan fungsi legasi pada sistem operasi Windows. Bermain-main dengan Windows 8.1 selama beberapa hari, secara peribadi, editor merasakan Windows 8.1 dicipta jauh lebih dari perletakkan Start Screen itu sendiri dan cukup jelas kelihatan di sini Microsoft komited untuk memberi penambahbaikan yang signifikan terutamanya dari segi penambahbaikan pengalaman dan kadar mesra pengguna.

Beberapa fungsi di dalam Windows 8.1 Preview telah diberi penaiktarafan seperti Start Screen yang kini hadir dengan tetapan yang lebih bebas untuk keselesaan pengguna. Selain daripada Start Screen, Microsoft juga turut menambahbaik ‘hidden features‘ yang menyukarkan pengguna pada awalnya kepada yang lebih mudah dilihat daripada pandangan pengguna. Perkara ini boleh diambil contoh daripada perletakkan butang All Apps yang kini sudah kelihatan pada bahagian bawah Start Screen dan pengguna tidak lagi perlu untuk menekan right click yang agak tersorok pada Windows 8. Premis ini membuktikan Microsoft mahu menjadikan Windows 8.1 lebih mesra pengguna dan mudah digunakan untuk kesemua golongan khususnya golongan yang berusia.

Windows 8.1 - Aplikasi

Pada pandangan lain, Microsoft juga ingin menyelamatkan Windows 8 dengan kemas kini Windows 8.1 untuk menarik kembali golongan pejabat yang mahukan pengalaman pengkomputeran yang pantas tanpa sebarang gangguan. Pandangan editor sendiri, antara muka Modern dan cara penggunaan Windows 8 tidak beberapa sesuai digunakan pada pejabat dan institusi pendidikan kerana sedikit sebanyak akan mengurangkan kadar produktiviti. Oleh disebabkan itu, kita dapat lihat ramai golongan pejabat masih setia untuk menggunakan Windows 7. Sistem operasi Windows keluaran 2009 itu masih digunakan kerana tiada Start Screen yang melecehkan bagi sesetengah pengguna dan sejumlah besar pengguna juga masih mahukan akses pantas Start Menu.

Jadi, bagaimana Windows 8.1 dapat kembalikan golongan pejabat ini?

Windows 8.1 -  Boot OptionDengan pengenalan fungsi boot-to-desktop, pengguna dapat mengelakkan antaramuka Start Screen daripada muncul selepas proses boot dan terus ke desktop seperti mana yang dilakukan pada Windows 7. Perletakkan semula Start Button pada mod desktop sedikit sebanyak membantu untuk mengembalikan ‘look and feel’ Windows 7 walaupun ia tidak hadir dengan akses pantas Start Menu. Namun yang demikian, pengguna boleh mendapatkan akses pantas ala Start Menu dengan mengubah tetapan untuk memaparkan paparan All Apps sahaja selain ke Start Screen pada kebiasaannya apabila Start Button pada Windows 8.1 ditekan.

Tetapan ini boleh diubah dengan membuat ‘right click’ pada taskbar dan klik pada ‘properties’. Apabila window ‘Taskbar & Navigation Properties’ muncul pada paparan, klik pada tab ‘navigation’ dan tandakan pada tetapan yang anda mahukan.

Prestasi dan Stabiliti untuk versi Preview

Secara peribadi, kepantasan Windows 8.1 Preview secara umumnya sangat pantas seperti mana versi akhir Windows 8 dan editor tidak mempunyai sebarang masalah menggunakannya sejak hari pertama Windows 8.1 Preview dilepaskan pada pengguna umum.

Kadar masa proses pemasangan Windows 8.1 Preview melalui kaedah ‘upgrade’ pun tidak mengambil masa yang lama dan kurang dari satu jam, komputer editor telah dinaik taraf ke Windows 8.1 Preview secara sepenuhnya. Apa yang menarik lagi, proses pemasangan ‘clean install’ Windows 8.1 Preview ternyata jauh lebih pantas daripada pemasangan Windows 8 dengan catatan masa kurang dari 20 minit pada komputer Intel Pentium Dual-Core dengan memori 2GB dan storan dalaman menggunakan HDD SATA biasa.

Dari segi stabiliti umum Windows 8.1 Preview juga kelihatan amat baik dan tidak menunjukkan sebarang permasalahan crash ketika menggunakan sistem operasi ini secara seharian. Walau bagaimanapun, stabiliti Internet Explorer 11 Preview pada versi desktop masih lagi tidak memuaskan dan editor kerap kali menerima masalah crash ketika membuka sesetengah laman sesawang. Untuk makluman umum, permasalahan crash pada Internet Explorer 11 hanya melibatkan satu tab sahaja dan tab lain tidak terkesan.

Ketidakhadiran Fungsi Windows Experience Index (WEI)

Windows 8.1 - WEIFungsi yang diperkenalkan sejak Windows Vista ini membolehkan pengguna melihat ‘rating’ yang diberikan oleh Windows untuk perkakasan yang digunakan pada komputer. Pada versi Windows 8.1 Preview ini fungsi Windows Experience Index tidak menunjukkan kehadiran pada bahagian Properties “This PC” seperti Windows sebelum ini dan masih tidak diketahui adakah fungsi ini akan dibuang secara rasmi pada versi akhir kelak memandangkan lebih banyak peranti berspesifikasi rendah bakal hadir bersama-sama dengan Windows versi ini.

Windows 8.1 Preview: Panduan Pemasangan

Bagi yang gemar mencuba perkara baru, Windows 8.1 Preview sememangnya berbaloi untuk dicuba dan ia akan membawa pengguna ke satu dimensi baru Windows yang tidak pernah anda kecapi sebelum ini. Kepantasan dan elemen tarikan sistem operasi Microsoft ini cukup menampilkan nilai keterujaan dalam menggunakan sistem operasi Windows 8.1 Preview ini secara seharian.

Windows 8.1 Preview boleh dipasang pada Windows XP, Vista, 7, serta Windows 8 dan sistem operasi percubaan ini ditawarkan secara percuma oleh pihak Microsoft bersama-sama dengan fail pemasangan ISO dan key percubaan selama beberapa bulan.

Untuk panduan kemas kini ke versi Windows 8.1 Preview, beberapa perkara perlu diketahui sebelum mencuba Windows 8.1 versi Preview ini. Sebagai langkah awal, perlu diingatkan sebarang penaiktarafan yang berjaya ke Windows 8.1 Preview tidak boleh diturun taraf semula ke sistem operasi Windows sebelumnya.

Windows 8.1 - AppSnapBagi pengguna Windows XP dan Vista, penaiktarafan ke Windows 8.1 Preview ini tidak akan menyimpan fail dan data peribadi serta aplikasi yang berada pada komputer Windows anda. Segala penaiktarafan dilakukan secara automatik dengan kaedah ‘clean install’, bermakna, kesemua data anda akan dihapuskan dengan serta merta. Bagi pengguna Windows 7, hanya fail peribadi anda sahaja akan disimpan dan segala aplikasi yang dipasang pengguna akan dibuang semasa proses pemasangan.

Bagi pengguna Windows 8, pengguna dinasihatkan untuk menyimpan key Windows 8 asal sebelum menaik taraf ke Windows 8.1 Preview. Ini berikutan kerana Windows 8.1 Preview adalah percuma dan untuk menaik taraf ke versi akhir, pengguna perlu memasang semula Windows 8 sebelum boleh menaik taraf ke versi Windows 8.1 akhir kelak. Berlainan pula dengan Windows RT, setiap pemasangan Windows RT 8.1 Preview yang berjaya boleh dinaik taraf ke versi akhir Windows 8.1 tanpa sebarang masalah.

Untuk mengelakkan sebarang kesulitan, pasang Windows 8.1 Preview secara dual-boot atau gunakan aplikasi virtualization seperti VMware atau VirtualBox untuk proses pemasangan.

Kemas kini Windows 8.1 dijangka akan menjengah pengguna pada lewat tahun ini dan kemas kini ini akan diedarkan secara percuma untuk pengguna Windows 8 melalui saluran Windows Update. Bagi yang berminat untuk mencubanya terlebih dahulu, boleh memuat turun mendapatkan fail pemasangan ISO serta key pemasangan Windows 8.1 Preview secara percuma di bawah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd