Carian
Apple Memfailkan Paten Untuk Sokongan Melaporkan Trafik Seumpama Waze
July 6, 2013 Aman

Apple sejak memperkenalkan perkhidmatan pemetaan mereka, telah menerima kritikan ramai pengguna. Dan dalam usaha untuk menambah-baiknya, Apple dijangka akan hadir dengan beberapa fungsi baru, dan melalui paten baru yang difailkan, ia kelihatan mereka akan membawakan sokongan melaporkan trafik seumpama Waze.

Daripada apa yang diperlihatkan, ia akan membolehkan pengguna untuk menghantar laporan trafik semasa daripada peranti mereka sekaligus berkongsi mengenainya bersama-sama rakan yang lain.

Apple Paten Maps

Selain itu, dokumen fail paten tersebut juga memperlihatkan pengguna akan memboleh memilih laluan perjalanan mengikut tetapan mereka, termasuk memilih laluan yang mempunyai pemandangan yang menarik.

Buat masa ini, ia hanya pemfailan paten sahaja, dan tidak diketahui sama ada ia akan diimplementasikan ataupun tidak.

Pihak Waze sebelum ini telah menawarkan fungsi seumpamanya, dan ia telah diambil-alih oleh Google baru-baru ini. Untuk menjayakan fungsi tersebut, Waze hadir pada pelbagai platform membolehkan pengguna untuk berkongsi data trafik semasa bersama-sama yang lain. Sekiranya pihak Apple memperkenalkan fungsi ini pada Apple Maps untuk iOS sahaja, maka mungkin ia akan sedikit sukar untuk mendapatkan data daripada pelbagai lokasi di seluruh dunia sepertimana yang telah dicapai oleh Waze pada hari ini.

Komen