Di pasaran pada hari ini, nama Android dan iOS terus gah, disamping BlackBerry dan juga Windows Phone menyusul dibelakang. Namun, dengan dunia peranti mudah-alih yang semakin berkembang meluas setiap hari, ia turut membuka kepada ramai pembangun lain untuk hadir dengan platform operasi alternatif.
Untuk tahun 2013 ini, beberapa platform operasi alternatif mula menarik perhatian ramai pengguna seluruh dunia, termasuk antaranya adalah Ubuntu Touch, Sailfish OS, Firefox OS dan juga Tizen.
Ubuntu Touch
Ubuntu Touch dibangunkan oleh pihak Canonical yang sedia menyediakan sistem operasi Ubuntu untuk pengguna desktop. Daripada apa yang diperlihatkan setakat ini, dan maklumbalas daripada para pengguna, ramai yang menyukai antaramuka yang dibawakan oleh Ubuntu Touch.
Ubuntu Touch juga boleh dikatakan akan menjadi pilihan power user, memandangkan elemen Linux yang dibawakan olehnya akan membolehkan ramai pengguna untuk mengubah pelbagai perkara yang disertakan bersama-sama dengannya, sekaligus membolehkan pengguna untuk mengubah ia mengikut citarasa masing-masing.
Namun, salah satu kekurangan yang boleh dikatakan adalah dimana pengeluar yang telah menyatakan sokongan untuknya masih sedikit buat masa ini.
Dari segi aplikasi pula, selain menawarkan sokongan aplikasi natif, platform operasi ini juga turut membawakan sokongan aplikasi berasaskan kepada HTML5. Ubuntu Touch juga dilihat akan didatangkan dengan kedai aplikasi tersendiri, yang mana selain menawarkan aplikasi, mereka juga akan menawarkan pelbagai kandungan seperti video dan sebagainya.
Mengikut jadual pembangunannya, pihak Ubuntu mengatakan peranti menjalankan sistem operasi Ubuntu Touch ini akan hadir sekitar Oktober atau November kelak. Dan bagi para pembangun yang ingin menggunakannya, mereka mungkin boleh mendapatkan fail pemasangan untuk Nexus 4 dan juga Nexus 7 yang disediakan oleh pihak Ubuntu.
Sailfish
Sailfish OS pula dibangunkan oleh Jolla, dimana ia hadir sebagai evolusi untuk platform operasi MeeGo yang digunakan pada Nokia N9 sebelum ini.
Sailfish OS membawakan cara penggunaan berasaskan gesture, selain turut menyertakan heptic feedback pada peranti dalam memberikan pengalaman penggunaan telefon pintar yang lebih baik.
Dari segi aplikasi, Sailfish OS menyokong beberapa bahasa pengaturcaraan, disamping turut membolehkan pengguna untuk menjalankan fail APK dari Android terus pada peranti Sailfish OS.
Buat masa ini, satu peranti telah diumumkan daripada Jolla menjalankan sistem operasi ini, tetapi ia masih tidak diketahui akan dipasarkan di Malaysia ataupun sebaliknya.
Firefox OS
Firefox OS hadir daripada pihak Mozilla yang sedia menawarkan pelayar web dengan nama lebih kurang sama. Firefox OS memfokuskan kepada platform operasi berasaskan HTML5, sekaligus membolehkan para pengguna dengan mudah pin akan sesuatu laman web dalam bentuk aplikasi pada skrin utama peranti mereka.
Namun, dari segi antaramuka, ia tidak membawakan perbezaan yang drastik berbanding pelbagai platform operasi yang sedia terdapat dipasaran pada hari ini. Daripada percubaan awal kami untuk platform operasi yang masih dalam pembangunan ini, ia tidak berfungsi dengan begitu baik, dan terdapat lengah masanya tersendiri.
Daripada apa yang dapat dilihat, ia kelihatan peranti ini disasarkan untuk peranti dengan spesifikasi rendah, sekaligus mensasarkan pengguna dari negara-negara membangun.
Buat masa ini, pelbagi pengeluar telah menyatakan sokongan untuk mengeluarkan telefon berasaskan Firefox OS ini, termasuk pihak ZTE dan Alcatel yang telah mengeluarkan peranti mereka, disamping Huawei dan LG yang akan hadir dengan peranti masing-masing tidak lama lagi.
Tizen
Tizen telah dalam pembangunan sejak beberapa tahun yang lepas, dimana ia menerima sokongan daripada beberapa nama besar, termasuk pihak Intel, Samsung, Linux Foundation dan banyak lagi. Namun, sehingga kini, ia masih tidak dipasarkan secara meluas dan hanya satu peranti sahaja diumumkan buat masa ini dan hanya di Jepun sahaja.
Tizen turut mengekalkan ciri-ciri sumber terbuka, disamping membawakan fungsi seumpama kebanyakkan platform mudah-alih pada hari ini. Daripada apa yang dilihat, Tizen turut dioptimasikan untuk penggunaan pelbagai saiz peranti, dimana selain telefon pintar dan tablet, ia turut menyokong komputer riba.
Dari segi aplikasi, Tizen turut menawarkan sokongan untuk aplikasi natif dan juga berasaskan HTML5. Beberapa aplikasi telah diperlihatkan pada platform tersebut, dan sekiranya ia menerima sokongan penuh pemasaran Samsung, maka mungkin ia akan menjadi salah satu platform yang digunakan ramai pengguna.
Kesimpulan
Dengan hadirnya beberapa sistem operasi alternatif ini, ia memberikan lebih pilihan kepada pengguna, selain daripada iOS, Android, Windows Phone dan juga BlackBerry. Namun, salah satu perkara yang akan menjadi persoalan utama para pengguna adalah berkenaan dengan aplikasi. Beberapa pengeluar telah mengambil langkah menyokong aplikasi berasaskan HTML5 – sekaligus membolehkan kebanyakkan web hari ini di pin dalam bentuk aplikasi pada platform tersebut.
Daripada apa yang dilihat buat masa ini, Firefox OS dan juga Tizen sedia menerima sokongan ramai pengeluar dan syarikat telekomunikasi, namun daripada permintaan pengguna pula, kelihatan lebih ramai ingin mencuba Sailfish dan juga Ubuntu Touch.
Jadi, bagi anda, apakah platform yang ingin dicuba oleh anda? Adakah platform operasi alternatif ini boleh bersaing untuk menduduki tempat ke-empat atau ketiga di pasaran hari ini?