Carian
4 Aplikasi Menarik Untuk iOS Sepanjang Bulan Ramadhan
July 9, 2013 Ikhwan Nazri

Dengan bulan Ramadhan yang akan menjelang tiba esok, ramai pembangun aplikasi telah sedia mengoptimasikan aplikasi mereka bersempena dengannya, dan menambah kandungan eksklusif untuk Ramadhan. Sekiranya sebelum ini kami kongsi akan berkenaan aplikasi pilihan untuk Android dan Windows Phone, kini kami kongsi akan beberapa pilihan untuk pengguna iOS.

Muslim Pro – Azan, Quran, Qibla

Muslimpro

Aplikasi yang dicipta untuk iPhone dan iPad ini merupakan aplikasi yang sesuai pada semua bulan dan pembangunnya telah menambah kandungan dan juga fungsi sempena bulan Ramadhan kali ini. Aplikasi yang turut menyertakan kandungan penuh Al-Quran ini, turut mempunyai kompas kiblat yang membantu mereka yang selalu bermusafir.

Aplikasi ini juga dikatakan mampu untuk mengesan lokasi masjid berhampiran dan lokasi restoran halal berhampiran. Namun begitu, dari apa yang kami uji, data lokasi restoran halal dan masjid berhampiran adalah berdasarkan hasil carian dari data Foursquare dengan kata kunci ‘halal’ dan ‘masjid’. Oleh itu surau dan gerai tidak tersenarai dalam aplikasi ini.

Selain itu, aplikasi ini juga turut menyertakan fungsi untuk menghantar kad ucapan dan juga mempunyai kandungan 99 Nama Allah. Jam penggera yang disertakan pula dikatakan mampu berbunyi walaupun peranti iOS anda berada dalam keadaan mod senyap. Aplikasi percuma ini mempunyai iklan dan versi berbayar membawa banyak fungsi tambahan.

Ramadan 2014

ramadhan2013-brit

Aplikasi minimalis ini akan menunjukkan waktu sahur dan waktu berbuka apabila aplikasi ini dibuka. Ia juga menunjukkan jadual waktu sahur dan waktu berbuka sepanjang bulan Ramadhan ini. Selain itu, aplikasi percuma ini menyertakan doa, info untuk puasa, serta 99 Nama Allah.

Pada aplikasi yang menyertakan iklan ini juga terdapat ruang ‘Missed Days’. Buat masa ini tidak dapat diuji bagaimana ‘Missed Days’ berfungsi kerana tiada butang khusus untuknya dan berkemungkinan ianya dikira seandainya pengguna tidak bangun sahur. Apapun ia merupakan satu fungsi yang berguna untuk anda mengira hari yang anda tidak berpuasa.

Ramadan Pro

ramadhanpro

Aplikasi berbayar ini pada harga USD 1.99 didatangkan dengan 8 aplikasi penuh yang didatangkan dalam antaramuka yang minimalis. Selain dari hanya menunjukkan waktu sahur dan waktu berbuka apabila aplikasi ini dilancarkan, ia turut memaparkan tempoh sebelum waktu solat yang seterusnya dan juga bentuk bulan.

Namun begitu dari apa yang kami cuba, aplikasi Quran yang disertakan hanya menyenaraikan surah berkaitan bulan Ramadhan dan bukan keseluruhan juzuk Al-Quran. Aplikasi ini juga menyenaraikan tips pemakanan semasa bulan Ramadhan disamping turut menyertakan tips kesihatan untuk mengelak gejala-gejala normal semasa berpuasa.

Ramadan Tracker

ramadhantracker

Aplikasi yang menarik ini menambah elemen yang membolehkan pengguna memantau amalan yang dilakukan disamping menambah amalan sepanjang bulan puasa. Antara amalan yang boleh dipantau adalah Solat Sunat, Bacaan Harian, kegiatan sosial dan juga pemberian sedekah.

Dari apa yang kami cuba, senarai amalan yang dicadangkan sangat banyak dan sangat berguna untuk dilakukan termasuklah melawat dan menghubungi ibubapa, melawat dan menghubungi sanak-saudara, dan juga melawat orang sakit. Terdapat butang untuk mengesahkan sekiranya kita telah melakukan amalan tersebut.

Aplikasi ini juga mampu untuk mengandaikan berapa jumlah keseluruhan amalan yang telah dilakukan dan pengguna boleh menetapkan markah sasaran yang ingin dicapai dalam tempoh yang diberikan.

Kemaskini 28 Jun 2014 – Salah satu aplikasi dibuang kerana tidak dikemaskini.

Komen