Dell Vostro 5460 – Komputer Riba Dengan Pilihan Sistem Operasi Ubuntu

Dell Vostro 5460 – Komputer Riba Dengan Pilihan Sistem Operasi Ubuntu

Diterbitkan pada July 13, 2013 oleh .

Terdapat pelbagai komputer riba di pasaran yang hadir dengan sistem operasi Windows, tetapi yang menjalankan sistem operasi Ubuntu Linux adalah masih terhad. Salah satunya adalah Dell Vostro 5460, yang mana didatangkan terbina dengan Ubuntu 12.04 LTS, serta rekabentuk yang amat nipis dan menarik berbanding kebanyakkan komputer riba lain di pasaran.

Dell Vostro 5460

Spesifikasi
Spesifikasi Vostro 5460
Pemprosesan Intel Generasi Ke-3
Memori 4GB DDR3 1600MHz
Cipset Intel Mobile HM77
Kad Grafik Intel HD / NVIDIA GeForce
Skrin 14-inci
Storan 500GB SATA
Berat 1.54kg
Sistem Operasi Ubuntu 12.04

Dell Vostro 5460 boleh dikatakan sebagai antara komputer riba dengan sistem operasi Ubuntu Linux dan juga tawaran spesifikasi menarik pada harga yang lebih rendah berbanding kebanyakkan komputer riba lain.

Dell Vostro 5460 ditawarkan dalam beberapa variasi, tetapi untuk versi Ubuntu Linux, ia hadir dengan pilihan Intel Core i3 dan juga Intel Core i5.

Perbezaan antara Intel Core i3 dan juga Intel Core i5 adalah dari segi penggunaan kad grafik, dimana versi Intel Core i3 hadir dengan Intel HD Graphics, sementara Intel Core i5 pula hadir dengan sokongan grafik NVIDIA GeForce GT630M 2GB DDR3.

Komputer riba ini menyertakan memori sebanyak 2GB DDR3 RAM, kamera hadapan 1.0-megapixel, ruangan storan sehingga 500GB, serta bateri Lithium Ion 3-sel.

Ia turut menyertakan ruangan untuk HDMI, USB 3.0, pembaca kad terbina, sokongan WiFi, dan juga ethernet. Dari segi skrin pula, ia dilengkapi dengan skrin bersaiz 14-inci dengan paparan 1366×768 pixel.

Versi Intel Core i3 dijual pada harga RM1549 manakala versi Intel Core i5 pula dijual pada harga RM1899.

Dell Vostro 5460

Papan Kekunci & Touchpad

Dell Vostro 5460 menyertakan sokongan papan kekunci & TouchPad yang amat baik, dan lebih kurang sama dengan pelbagai komputer riba di pasaran pada hari ini. Kadang-kala ketika menggunakan sesetengah komputer riba, kami menghadapi masalah dengan keselesaan menggunakan TouchPad, tetapi pada Dell Vostro 5460 ini, kami tidak menghadapi sebarang masalah. Pada versi Ubuntu, pengguna dikehendaki menggunakan tap dua jari untuk mengakses menu klik-kanan. Perkara ini agak kurang digemari kami, tetapi tiada masalah untuk menyesuaikan penggunaannya.

Sokongan papan kekuncinya juga amat selesa untuk digunakan. Namun, kami agak kurang berkenan dengan penggunaan logo Windows pada butang akses pantasnya, dan lebih mengemarkannya sekiranya pihak Dell boleh mengantikannya dengan butang Ubuntu pada kemaskini akan datang.

Skrin, Speaker dan Port

Skrin bersaiz 14-inci yang didatangkan bersama-sama dengan Dell Vostro 5460 menawarkan paparan yang baik ketika digunakan didalam bangunan, dan kelihatan sedikit silau ketika digunakan di luar bangunan. Resolusi paparan yang dibawakan adalah 1366×768 pixel, membolehkan pelbagai perisian dan aplikasi berjalan tanpa sebarang masalah.

Untuk speaker pula, kami mendapati ia tidak memberikan pengalaman yang memuaskan untuk kami, dan kualiti audio dilihat lebih baik dengan menggunakan headset. Komputer riba ini juga menyertakan beberapa port utama, termasuk sokongan HDMI, port Ethernet, dan juga USB 3.0. Ruangan untuk pembaca kad-SD terbina juga amat berguna pada komputer riba ini untuk tujuan pemindahan fail media dengan lebih mudah tanpa memerlukan sebarang card-reader tambahan.

Dell Vostro 5460

Penggunaan Dan Pandangan Kami

Sebaik sahaja kami mendapat komputer riba ini, kami telah menaik-taraf sistem operasinya kepada versi terkini, iaitu Ubuntu 13.04. Tiada sebarang masalah yang dihadapi ketika proses menaik-taraf, dan cuma kami mendapati kualiti bunyi tidak begitu baik selepas proses penaik-tarafan, berbanding dengan penggunaan versi asal. Memandangkan versi asal adalah versi LTS, maka mungkin pengguna tidak perlu bimbang mengenai sokongan daripada pihak Ubuntu untuknya.

Dell Vostro 5460 menggunakan sistem operasi Linux, maka mungkin ramai yang akan was-was berkenaan dengan sokongan perisian padanya. Dari penggunaan kami selama beberapa minggu, tiada sebarang masalah dihadapi, dimana terdapat pelbagai perisian alternatif, disamping kebanyakkan pembangun telah mula menyokong Linux akhir-akhir ini.

Bagi para pencinta permainan, mungkin boleh mendapatkan versi Intel Core i5, kerana ia hadir dengan sokongan kad grafik, disamping pada masa yang sama pihak Valve juga kelihatan semakin hari semakin menambah tawaran permainan mereka melalui Steam untuk Linux.

Salah satu perkara yang mendukacitakan kami adalah masa penggunaan bateri padanya. Daripada penggunaan kami, ia mampu bertahan sehingga 3 jam lamanya, dan masanya boleh dikatakan agak singkat jikalau dibandingkan dengan kebanyakkan komputer riba berbentuk Ultrabook di pasaran pada hari ini. Selain itu, kami juga mendapati masa yang agak lama diambil untuk menghubungkan beberapa sambungan WiFi ketika menggunakannya.

Dan seperti dikatakan pada awal artikel ini, sekiranya pihak Dell boleh mengubah butang “Windows” pada kekunci kepada butang Ubuntu, maka kami akan lebih menyukainya.

Secara keseluruhan, komputer riba ini boleh dikatakan antara yang menawarkan pengalaman penggunaan yang baik pada harga jualannya di pasaran pada hari ini.


TIPS & ULASAN