Carian
Pandang Pertama : HTC Butterfly S
July 14, 2013 Aman

Pada tahun lepas, HTC menawarkan Butterfly sebagai antara telefon pintar pertama yang menggunakan paparan 1080p. Terkini, pada tahun ini, mereka mengemaskini tawaran tersebut, dengan memperkenalkan HTC Butterfly S.

Rekabentuk

HTC Butterfly S

Spesifikasi HTC Butterfly S
Cip Empat-Teras 1.9GHz
Kamera Utama HTC Ultrapixel (4MP)
Kamera Hadapan 2.1 Megapixel
Storan 16 GB dengan sokongan mikro SD
Memori 2GB RAM
Skrin 5-inci (1080×1920 pixel)
Bateri 3200 mAh

HTC Butterfly S masih mengekalkan rekabentuk dan binaan lebih kurang sama seperti peranti asal mereka, disamping membawakan beberapa kemaskini bersama-sama dengannya.

Seperti biasa, pada bahagian kanan HTC Butterfly S – ia menyertakan butang kawalan suara (volume, disamping menyertakan rekaan bahagian tepi yang menyerupai Butterfly sebelum ini. Pada bahagian bawah pula, HTC Butterfly S membawakan ruangan pengecasan mikro-USB yang tidak lagi berpenutup, dan pada bahagian atas pula ia menyertakan ruangan audiojack, butang kuasa yang diintegrasikan dengan sokongan IR, dan juga ruangan untuk mikro-SD dan juga kad-SIM.

HTC Butterfly S menyertakan kamera belakang dengan sokongan HTC Ultrapixel, manakala pada bahagian hadapan pula ia menyertakan kamera dengan sokongan rakaman wide-angle. Pada bahagian hadapan, HTC Butterfly S masih mengekalkan tiga butang untuk kawalan, disamping menyertakan dwi-speaker untuk kualiti bunyi yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Bateri

Pada HTC Butterfly S, salah satu perkara yang menjadi tumpuan adalah kapasiti bateri yang disertakan bersama-sama dengannya. HTC Butterfly S menyertakan bateri bersaiz 3200mAh, sekaligus menawarkan masa penggunaan peranti yang lebih lama berbanding sebelumnya.

Walaupun ia menyertakan bateri berkapasiti besar, namun, dari segi ketebalan peranti, ia tidak jauh beza, dan menurut pihak HTC hanya sekitar 1mm sahaja. Daripada percubaan kami sendiri, ia tidak begitu beza berbanding HTC Butterfly yang asal.

HTC Butterfly S - Bateri

Antaramuka

HTC Butterfly S dijana menggunakan Android 4.2 serta menyertakan antaramuka HTC Sense 5. Perkara ini sekaligus membolehkan pengguna menikmati pelbagai fungsi sama seperti yang didatangkan bersama-sama HTC One sebelum ini.

HTC Butterfly SMelaluinya, pengguna ditawarkan dengan sokongan HTC Blinkfeed, membolehkan pengguna untuk mengikuti perkembangan daripada pelbagai laman-laman kegemaran mereka termasuk laman sosial terus pada skrin utama.

Disamping itu, pihak HTC Butterfly S turut hadir dengan sokongan HTC Zoe, membolehkan pengguna merakamkan gambar dan video, serta mempersembahkannya dalam bentuk menarik. Ia juga boleh turut digunakan dalam membuat penyuntingan pada gambar, termasuk membuang objek-objek yang tidak diminati terus daripadanya.

Selain itu, memandangkan ia hadir dengan Android 4.2, maka pengguna boleh menambah widget pada lockscreen, disamping turut boleh mengakses dengan lebih pantas ke beberapa tetapan daripada panel notifikasi.

Perbandingan Dengan HTC Butterfly

Dengan pelancaran HTC Butterfly S, semestinya ramai yang ingin ketahui perbezaan antara HTC Butterfly asal dengan versi baru ini. Dari segi rekaan, kedua-duanya adalah lebih kurang sama, dan dari segi luaran, perbezaan yang tampak jelas adalah pada bahagian hadapan, dimana dua speaker diletakkan pada bahagian hadapan melalui HTC Boomsound, manakala versi sebelumnya tiada.

Disamping itu, HTC Butterfly S juga tidak lagi menyertakan ruangan panel pengecasan yang bertutup seperti sebelumnya. Ini mungkin kerana ramai yang tidak menyukainya, apatah lagi ia menyukarkan proses pengecasan peranti. Namun, perkara ini juga membuatkan peranti ini mungkin tidak lagi kalis air seperti sebelumnya.

HTC Butterfly S vs Butterfly

Dari segi sokongan pula, HTC Butterfly S menyertakan sokongan HTC Sense 5 yang membawakan pelbagai fungsi baru bersama-sama dengannya – termasuk BlinkFeed dan juga Zoe. Walaupun HTC Butterfly mungkin akan menerimanya, tetapi bilakah kemaskini tersebut akan hadir masih tidak diketahui lagi buat masa ini.

Untuk fungsi-fungsi baru pula, HTC Butterfly S kini menyertakan sokongan NFC, membolehkan pengguna untuk menghantar dan menerima fail dengan mudah, disamping turut didatangkan dengan ruangan storan berasaskan mikro-SD. HTC Butterfly S turut mengintegrasikan sokongan Infrared, membolehkan pengguna mengawal televisyen menggunakannya.

Dari pengamatan kami juga, peranti HTC Butterfly S dilihat membawakan paparan yang lebih cantik dan cerah berbanding versi sebelumnya.

Penutup

HTC Buttefly S boleh dikatakan antara peranti Android yang terbaik pada tahun ini, apatah lagi menyertakan pelbagai fungsi seumpama HTC One, dan pada masa yang sama menyertakan masa penggunaan bateri dan juga cip pemprosesan yang lebih berkuasa.

Dari segi berat pula, ia lebih 20 gram berat berbanding versi sebelumnya. Namun, berat sebegini mungkin tidak memberikan sebarang impak, apatah lagi sukar untuk dibezakan setelah digunakan untuk seketika. HTC mengatakan versi antarabangsa akan hadir dengan sokongan 3G, manakala versi 4G LTE akan hadir untuk beberapa pasaran terpilih sahaja.

Dengan mengetahui kesemua ini, salah satu faktor utama yang menjadi tanda tanya adalah berkenaan dengan harga jualannya kelak. Mungkin kita akan mendengar pengumuman berkaitan harga jualannya di Malaysia dalam dua tiga bulan lagi, sekaligus mungkin menjadi penentu untuk para peminat tempatan untuk mendapatkannya.

Komen