Salah satu peranti yang dinantikan ramai peminat Android dan juga Google adalah Moto X. Kini kelihatan pihak Motorola telah pun mula menghantar jemputan kepada para media antarabangsa, dan bakal mengadakan pelancaran rasmi telefon pintar berkenaan pada 1 Ogos (waktu Malaysia 2 Ogos) kelak.
Mengikut beberapa spesifikasi awal yang tertiris, peranti ini dikatakan akan menyertakan skrin bersaiz 4.5-inci, selain dijana menggunakan cip pemprosesan dwi-teras dan juga memori sebanyak 2GB RAM. Seperti beberapa telefon pintar Motorola sebelum ini, Moto X juga dijangka akan menggunakan antaramuka Android yang tidak diubah-suai secara menyeluruh seperti beberapa pengeluar lain.
Moto X telah diperlihatkan dalam beberapa gambar sebelum ini, selain sebuah video yang turut memperlihatkan ia akan menyertakan sokongan untuk mendengar sepanjang masa, membolehkan anda mengaktifkan peranti dengan hanya menggunakan suara tanpa perlu menekan sebarang butang.
Apa pun, sama-sama kita nantikan awal Ogos ini untuk melihat apakah yang akan dibawakan oleh pihak Motorola.