Cip | Snapdragon 1.5GHz Dwi-Teras |
Kamera Utama | 8.7MP PureView |
Kamera Hadapan | 1.2 Megapixel |
Storan | 16 GB terbina, 7GB Skydrive |
Memori | 1GB RAM |
Skrin | 4.5-inci (1280×768 pixel) |
Bateri | 2000 mAh |
Nokia Lumia 925 boleh dikatakan sebagai kemaskini kepada keluarga Lumia 920 sebelum ini, dimana bersama-sama dengannya, bukan sahaja ia membawakan peningkatan pada spesifikasi, tetapi pada masa yang sama turut menyertakan fungsi-fungsi baru melalui Windows Phone, selain kualiti binaan yang berbeza.
Sekiranya anda pernah memegang Lumia 920, mungkin sedia ketahui yang mana peranti tersebut sedikit berat dan tebal berbanding beberapa peranti lain di pasaran pada hari ini. Berbeza dengannya, Lumia 925 membawakan rekaan berasaskan metal, yang mana pada masa yang sama membawakan binaan yang sedikit nipis dan juga lebih ringan. Lumia 925 juga turut sama tampak lebih selesa untuk dipegang dan dikendalikan pada tangan.
Lumia 925 sedia hadir dengan kemaskini Amber daripada Nokia, dimana melaluinya ia menyertakan beberapa fungsi khas. Salah satunya adalah sokongan tap dua kali pada skrin untuk menghidupkan peranti. Perkara ini boleh dilihat sebagai memudahkan pengguna, tanpa perlu tekan pada butang fizikal di sebelah kanan peranti setiap kali ingin melihat skrin utama.
Disamping itu, pihak Nokia turut memberikan fokus terhadap bahagian kamera. Lumia 925 menyertakan kamera 8.7-megapixel yang didatangkan dengan sokongan penstabilan imej optikal (OIS). Kamera pada bahagian belakangnya agak tertimbul sedikit berbanding pada Lumia 920 yang lebih mendatar. Kamera hadapan 1.2-megapixel turut disertakan untuk membolehkan pengguna membuat panggilan video.
Untuk menambah baik sokongan kamera, Nokia turut menyertakan sebuah aplikasi khas dinamakan sebagai Nokia Smart Camera. Melaluinya, ia merakamkan sehingga 10 gambar pada satu klik, dan seterusnya pengguna boleh membuat perubahan dengan memilih rakaman terbaik, menyuntingnya menjadi Action Shot dan beberapa perkara lain.
Dan bercakap mengenai Nokia, semestinya salah satu perkara menarik melalui peranti mereka adalah sokongan navigasi. HERE Maps disertakan dan turut didatangkan dengan sokongan offline, untuk memudahkan pengguna menggunakannya ketika bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain, dan merancang perjalanan mereka dengan lebih baik.
Untuk tujuan pengecasan tanpa wayar, pengguna perlu mendapatkan aksesori berasingan – kerangka luar khas – yang mana akan dijual secara berasingan untuk peranti ini.
Di Malaysia, Lumia 925 akan dijual pada harga RM1799 dan akan ditawarkan dalam warna putih, kelabu dan juga hitam.