Carian
MDeC Merasmikan Program ICON 3 – Pendaftaran Akan Dimulakan Pada 1 September
July 25, 2013 Ikhwan Nazri

Hari ini, Multimedia Development Corporation (MDeC) telah pun secara rasminya melancarkan program ICON3, sekaligus membawakan program yang telah dimulakan sejak tahun 2009 buat kali ketiga.

MDeC ICON 3

Program ICON daripada MDeC ini memfokuskan dalam usaha menyemarakkan lagi para pembangun tempatan untuk hadir dengan aplikasi-aplikasi tersendiri. Ia telah dimulakan sejak tahun 2009, dan menyaksikan lebih 307 aplikasi telah dibangunkan sejak daripada 2011, yang mana terdiri daripada aplikasi berbayar dan juga percuma.

Daripada perkongsian pihak MDeC, seramai 278 pembangun dilaporkan telah dilatih dibawah program ini untuk platform iOS, Android dan juga BlackBerry. Pada masa yang sama, aplikasi yang dibangunkan untuk Windows Phone dan juga Windows 8 turut meningkat dari hari ke hari.

Program ini bertujuan untuk melahirkan lebih ramai pembangun aplikasi tempatan disamping membantu syarikat tempatan yang mempunyai idea membangunkan aplikasi. Pengarah program ini, Tan Tze Meng, berkongsi dimana mereka mencari 400+ pembangun aplikasi untuk ICONapps, dan sebanyak 20+ syarikat dicari untuk program ICONdap.

Program ICON3 ini juga menyaksikan lebih banyak rakan kerjasama strategik antara MDeC dengan pihak swasta yang lain seperti Nokia Malaysia, Celcom, DiGi, UTM, UMK dan banyak lagi untuk menyokong keseluruhan program ini. Pendaftaran untuk program ICON3 ini bakal dimulakan pada 1 September kelak.

Komen