Carian
Kod Android 4.3 Memperlihatkan Sokongan 4K Akan Hadir Tidak Lama Lagi
July 27, 2013 Aman

Paparan 1080p (HD penuh) pada telefon pintar dan tablet yang mula hadir akhir-akhir ini sedia menawarkan paparan yang amat jelas untuk para pengguna, terutamanya pada saiz skrin yang kecil. Namun, ia tidak menghentikan sokongan 4K hadir pada platform Android yang semakin hari digunakan pada bukan sahaja telefon pintar dan tablet, tetapi pada pelbagai peranti yang lain.

Dengan Android 4.3 yang diumumkan sebelum ini, beberapa fungsi baru mula ditemui satu per satu, dan kini pembangun mendapati Android 4.3 menyertakan sokongan XXXHDPI yang membolehkan peranti dengan kadar DPI sehingga 640. Seperti semua sedia maklum, Android bukan sahaja terhad kepada tablet dan juga telefon pintar, tetapi beberapa peranti khas turut hadir untuk digunakan pada televisyen dan sebagainya. Dengan sokongan ini, ia sekaligus membolehkan video berdefinisi tinggi dimainkan melaluinya dengan paparan yang amat jelas.

Pihak Google sendiri tidak menyentuh secara penuh berkenaan sokongan tersebut pada acara yang lepas. Berkemungkinan kerana ia masih pada peringkat awal, ataupun mungkin juga pihak Google mempunyai perancangan mereka tersendiri. Apa pun, ia boleh dikatakan sebagai salah satu perkembangan yang menarik, dan mungkin kita akan mendengar lebih mengenainya dalam masa terdekat.

Komen