Ulasan Headphone – Roccat Kave 5.1

Ulasan Headphone – Roccat Kave 5.1

Diterbitkan pada Ogos 14, 2013 oleh .

Saban hari semakin banyak peranti yang dikhususkan buat para pemain permainan komputer. Ini kerana dikalangan pengguna komputer, pemain permainan komputer memerlukan peranti yang membolehkan mereka untuk bermain dengan selesa disamping menambah pengalaman terhadap permainan itu sendiri. Baru-baru ini pihak Play Interactive Malaysia memberikan kami peluang untuk menggunakan Roccat Kave, sebuah headphone dengan kebolehan memainkan surround sound 5.1

Bentuk Fizikal

Kebanyakan headphone yang dikhususkan untuk kegunaan permainan komputer kebiasannya mempunyai saiz yang besar kerana menyertakan pembesar suara yang khusus. Headphone Roccat menyertakan 3 pembesar suara pada kedua belah corong dan salah satunya boleh menjana gegaran yang terhasil sewaktu pengguna bermain permainan komputer. Mikrofon yang disediakan boleh ditanggalkan dan memudahkan pengguna sekiranya tidak digunakan.

Meskipun headphone ini bersaiz besar, ia boleh dilipat sekaligus boleh menjimatkan ruang. Span yang disediakan pada kedua belah corong besar dan dikatakan dapat menangkis suara disekeliling pengguna. Terdapat juga span dibahagian atas headphone yang memberikan keselesaan kepada pengguna semasa bermain.

Headphone ini turut menyertakan panel kawalan suara yang berasingan, membolehkan pengguna mengawal tahap suara keseluruhan, dan juga tahap suara tersentu iaitu kawalan Center, Front, Rear, dan Sub. Menerusi panel tersebut, pengguna juga boleh mematikan suara dan mengawal mikrofon dengan sentuhan butang tersedia. Headphone ini mempunyai 4 jek suara dan satu soket USB. Menurut Roccat, pemprosesan suara dihasilkan oleh kad bunyi pada komputer pengguna dan USB tersebut adalah untuk sokongan kuasa headphone tersebut.

 Fungsi 5.1 Surround Sound – Gimik atau Keperluan ?

Kami telah mencuba menggunakan headphone ini di dalam dua keadaan, iaitu semasa bermain permainan komputer dan juga semasa menonton video. Melalui ujian Dolby Surround Sound 5.1, kami mendapati headphone ini berfungsi dengan baik dan mampu memainkan bunyi di dalam format tersebut. Untuk permainan komputer, kami telah memainkan Counter-Strike:GO yang mampu menyokong format bunyi 5.1.

Sepanjang permainan yang selalunya mengambil masa sejam, ia agak selesa digunakan dan kami mendapati bunyi yang terhasil menunjukkan perbezaan ketara berbanding headphone stereo. Seperti yang disebutkan oleh Roccat, pemain berupaya mendengar posisi pemain lain seolah-olah berada di alam nyata. Ini membolehkan pemain mengagak tindakan seterusnya dengan cepat. Fungsi surround sound sangat membantu didalam permainan sebegini.

Headphone ini juga mampu menjana gegaran namun memerlukan sedikit konfigurasi pada kawalan suara. Sekiranya pembaca pernah mencuba Panasonic Shockwave, iaitu pemain kaset dengan headphone yang mampu menggegar mengikut tahap Bass sesuatu lagu, Roccat Kave memerlukan sedikit perubahan pada panel kawalan suaranya. Sedikit anomali iaitu bunyi sengit kadangkala wujud hasil dari pengubahan kawalan suara.

Kesimpulan

ROCCAT KaveKelebihan

  • Headphone 5.1 yang boleh membantu semasa bermain First Person Shooter.
  • Boleh dilipat dan ditanggalkan mikrofon untuk dibawa dengan mudah.
  • Tiada perisian tambahan diperlukan.

Kekurangan

  • Memerlukan satu tambahan sokongan USB untuk kuasa.
  • Fungsi gegaran memerlukan pengguna memanipulasi kawalan tertentu.
  • Bunyi sengit mungkin timbul sekiranya headphone beroperasi pada tahap suara yang maksimum.

Pada harga RM369, headphone ini dilihat agak berbaloi oleh mereka yang menitik-beratkan fungsi surround sound semasa bermain. Panel kawalan suara yang mampu mengubah tahap suara berlainan juga boleh memberikan perbezaan semasa menggunakannya.

Penafian : Seperti bau dan rasa, pengalaman pendengaran setiap manusia berbeza. Anda disyorkan untuk mencubanya terlebih dahulu sebelum membeli.


TIPS & ULASAN