Pada awal minggu ini, kami sedia maklumkan yang mana pihak Celcom akan hadir dengan portal ebuku mereka, dinamakan Bachabooku. Kini, selain hanya memfokuskan kepada buku digital, kelihatan pihak Celcom juga turut sama akan hadir dengan pasar dalam-talian dinamakan sebagai “Buzzaar”.
Buzzaar dikatakan akan menawarkan produk-produk keluaran usahawan tempatan kepada umum melaluinya. Daripada apa yang kami lihat melalui laman Buzzaar pada hari ini, ia kelihatan seperti dijana melalui Shopify.
Perkhidmatan tersebut kelihatan masih belum dibuka kepada umum buat masa ini, tetapi beberapa halaman web berkenaan boleh dilihat melalui Google Cache.
Memandangkan ia dijana menggunakan Shopify buat masa ini, ia kelihatan hanya menyokong pembayaran melalui PayPal, dan juga kad kredit sahaja buat masa ini. Daripada halaman FAQ, kelihatan pihak Celcom mengatakan Buzzaar akan menyokong pembayaran melalui bank tempatan menjelang November kelak.
Bagi kami sendiri, mungkin pihak Celcom perlu memfokuskan kepada dua perkara, dimana salah satunya adalah penjenamaan mereka yang kelihatan agak sukar untuk diingati pengguna tempatan, disamping mungkin boleh membangunkan platform sendiri dan mengintegrasikan sokongan pembayaran tempatan, termasuk pembayaran melalui Celcom sendiri.
Pada halaman utama Buzzaar, ia diperlihatkan yang mana Celcom akan melancarkannya secara rasmi pada 1 September kelak.
Apa pun, sama-sama kita nantikan apakah yang bakal dibawakan oleh gergasi telekomunikasi berkenaan untuk pengguna dan penjual di Malaysia melalui Buzzaar.