Pada perkhidmatan awan berasaskan web Apple, iaitu iCloud, mereka sedia menawarkan beberapa aplikasi melaluinya, dan terkini mereka turut sama menambah akses kepada aplikasi iWork versi iCloud dalam bentuk beta untuk semua pengguna Apple.
Sebelum ini, perkhidmatan tersebut telah sedia diuji untuk para pembangun, dan kini penggunaannya diperluaskan kepada pengguna umum. Bagi pengguna Apple yang mengakses perkhidmatan iCloud.com, anda kini akan dipaparkan dengan tiga ikon baru yang dilabelkan beta, iaitu Pages, Numbers dan juga Keynote.
Memandangkan aplikasi iWork sendiri ditawarkan secara berbayar, maka mungkin Apple menawarkannya untuk umum secara percuma untuk masa yang terhad.
Daripada penggunaan kami sendiri secara ringkas, ia kelihatan agak mengambil masa yang lama untuk mengakses aplikasi berasaskan web tersebut sendiri, selain mana membuka sebuah pop-up khas yang kelihatan agak kurang menarik untuk tujuan penyuntingan dokumen – jikalau dibandingkan dengan Google Docs, mahupun Office 365.
Apa pun, bagi pengguna Apple, anda boleh mencubanya iWork pada iCloud hari ini dalam bentuk beta, sebelum pelancaran rasminya dilakukan tidak lama lagi.