Cari @ Amanz

DiGiDiGi dilaporkan berminat untuk mengambil-alih spektrum telekomunikasi dalam terus mengukuhkan kedudukan dan memperluaskan perkhidmatan mereka di Malaysia. Daripada apa yang dikongsikan penganalisa, DiGi dikatakan berminat untuk mendapatkan spektrum dengan frekuensi rendah, seperti 900Mhz.

Dengan lebih ramai yang memfokuskan kepada frekuensi 1800MHz untuk tawaran internet berkelajuan tinggi LTE, maka sebahagian daripada cara untuk mengurangkan penggunaannya adalah dengan memindahkan pelanggan 2G kepada frekuensi 900MHz.

Memandangkan ia agak sukar untuk mendapatkannya, kerana ia lebih banyak dimiliki oleh Celcom dan juga Maxis, maka DiGi dikatakan mungkin akan berminat mendapatkan spektrum WiMAX pada 2300MHz.

Beberapa syarikat sedia mempunyai spektrum WiMAX, termasuk antaranya adalah Packet One Networks (P1), REDtone, AsiaSpace dan juga YTL. Untuk makluman, P1 sebelum ini telah diura-ura ingin mencari pembeli untuk syarikat mereka, ataupun syarikat yang ingin bekerjasama secara strategik dengan mereka.

Ia tidak diketahui lagi sama ada pihak DiGi akan mengumumkan pengambil-alihan dalam masa terdekat ataupun sebaliknya.

Daripada komen DiGi, mereka mengatakan sedang melihat pelbagai cara untuk menambah-baik portfolio spektrum mereka, dan seperti biasa akan mengambil pelbagai penilaian dalam melaksanakannya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd