Bagi yang mengikuti pelbagai pengumuman berkaitan Android pada Google I/O dan beberapa acara berkaitan lain, mungkin sedia mengenali akan Hugo Barra. Hari ini, selepas hampir 5 setengah tahun bekerja di Google, beliau mengumumkan akan meninggalkannya dan menyertai Xiaomi Global.
Melalui perkongsian beliau di Google+, Hugo Barra akan menyertai pasukan Xiaomi Global sebagai timbalan presiden, dan akan membantu syarikat China tersebut untuk memperluaskan produk dan perniagaan mereka ke seluruh dunia.
Pengumuman ini mungkin agak mengejutkan para peminat Android. Siapakah yang bakal menggantikan beliau di Google masih tidak diketahui lagi. Buat masa ini, Sundar Pichai menguruskan Android dan juga Chrome OS.
Pada awal tahun ini juga, kita lihat Andy Rubin meninggalkan Android dan menyertai Google X.