Galaxy Gear telah diperkatakan beberapa kali sebelum ini, namun tiada sebarang gambar yang diperlihatkan. Kini, beberapa hari sebelum pengumumannya, beberapa gambar tertiris, memperlihatkan bagaimanakah jam tangan ini akan kelihatan kelak.
Gambar dan info terbaru ini hadir daripada VentureBeat, mengatakan Samsung sedia menawarkan prototaip jam tangan pintar mereka kepada beberapa pembangun, supaya mereka boleh menyediakan aplikasi khas untuknya. Apa pun, versi akhir kelak dijangka tidak jauh berbeza dengan apa yang diperlihatkan.
Galaxy Gear ini dijangka akan menyertakan skrin bersaiz sekitar 3-inci, dan menyertakan sokongan Bluetooth untuk dihubungkan kepada peranti keluarga Galaxy daripada Samsung. Ia juga mungkin menyokong peranti Android yang lain seperti beberapa jam tangan pintar yang terdapat dipasaran hari ini.
Daripada apa yang dikatakan, jam tangan pintar ini akan menyertakan sokongan S-Voice untuk kawalan suara, didatangkan dengan beberapa aplikasi Android terbina termasuk untuk sokongan sosial dan juga kesihatan. Galaxy Gear juga menyertakan sebuah kamera terbina 4-megapixel, selain mana membolehkan pengguna mengakses aplikasi dan sebagainya melalui penggunaan fungsi swipe.
Sokongan lain seperti akses internet, WiFi dan sebagainya turut didatangkan pada jam tangan pintar ini.
Namun, salah satu perkara yang agak mengejutkan adalah dimana jam tangan pintar ini dikatakan hanya menyertakan masa bertahan bateri 10 jam sahaja. Ia boleh dikatakan berkali-kali lebih rendah berbanding beberapa jam tangan pintar lain di pasaran, sekaligus akan menjadi salah satu kekangan untuk pengguna memilihnya.
Apa pun, sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi pihak Samsung berkaitan dengan jam tangan pintar ini dalam beberapa hari lagi.