Cari @ Amanz

Lanjutan daripada pengumuman pihak SKMM sebelum ini, kini mereka telah membuka kembali permohonan dan pendaftaran untuk Pakej Komunikasi Belia. Tetapi berbeza dengan sebelumnya, kali ini pendaftaran hanya boleh dilakukan melalui wakil penjual yang dilantik oleh syarikat telekomunikasi sahaja.

Melalui Pakej Komunikasi Belia ini, ia memberikan pilihan untuk pengguna mendapatkan rebat dan potongan harga sebanyak RM200 untuk pembelian telefon pintar 3G.

Pendaftaran Pakej Komunikasi Belia telah ditutup oleh pihak SKMM sebelum ini kerana telah mencapai angka 1.5 juta permohonan yang telah ditetapkan. Namun, disebabkan ramai yang masih tidak menebusnya, maka baki angka tersebut kini dibuka kembali untuk pemohon yang lain. Buat masa ini, syarikat telekomunikasi seperti Maxis, Celcom, DiGi dan sebagainya masih tidak mengeluarkan sebarang senarai wakil rasmi mereka untuk tujuan pendaftaran Pakej Komunikasi Belia ini.

Seperti biasa, permohonan yang telah tamat tempoh sah boleh memohon semula mulai hari ini (3 September) melalui wakil penjual syarikat telekomunikasi. Satu lagi perbezaan dengan sebelum ini adalah dimana setiap permohonan yang lulus perlulah ditebus dalam masa dua minggu dari tarikh kelulusan.

Pakej Komunikasi Belia merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam menawarkan telefon pintar 3G pada potongan RM200, sekaligus membolehkan lebih ramai mengakses dan menikmati gaya hidup digital.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd