Cari @ Amanz

Sony Cyber-shot QX

Hari ini, seperti ramai mungkin sedia maklum, salah satu perkara yang diumumkan oleh Sony di Malaysia adalah lensa-kamera mereka, Cyber-shot QX10 dan juga QX100. Berbanding dengan pengumuman telefon pintar Xperia Z1 sendiri, boleh dikatakan Cyber-shot QX10 dan juga QX100 mendapat perhatian lebih ramai pihak.

Cyber-shot QX10 dan juga QX100 hadir sebagai aksesori tambahan untuk telefon pintar berasaskan Android dan juga iPhone. Melaluinya, ia membolehkan pengguna menghubungkan ia kepada telefon pintar mereka melalui WiFi Direct, dan kemudian menggunakan Cyber-shot QX ini dalam merakamkan gambar.

Cyber-shot QX, masing-masing hadir dengan pemprosesan imej tersendiri, disamping turut dilengkapi dengan bateri yang boleh ditanggalkan, serta ruangan untuk mikro-SD untuk tujuan storan.

Untuk menggunakannya bersama-sama telefon pintar, pengguna terlebih dahulu perlu memuat-turun sebuah aplikasi yang dinamakan sebagai PlayMemories Mobile, dan kemudian menghubungkan telefon pintar ke Cyber-shot QX melalui sambungan WiFi Direct yang disediakan pada lensa-kamera tersebut.

Untuk sambungan yang lebih pantas, pengguna juga turut boleh menggunakan sokongan NFC yang didatangkan bersama-sama dengannya.

Dari segi spesifikasi, Cyber-shot QX100 membawakan sensor 20.2-megapixel dengan lensa 28-milimeter, serta kebolehan sokongan zoom sehingga 3.6x. Ia turut dilengkapi dengan sokongan Carl Zeiss, selain sokongan sensor tambahan padanya.

Sony Cyber-shot QX100

Sony Cyber-shot QX10 pula membawakan sensor 18-megapixel, dan didatangkan dengan sokongan zoom optikal sehingga 10x dan juga sokongan OIS.

Sony Cyber-shot QX10

Selain merakamkan gambar, pengguna juga turut boleh merakamkan video menggunakannya. Namun, untuk merakamkan video, pengguna terlebih dahulu perlu memastikan mempunyai sebuah kad mikro-SD dimasukkan pada lensa-kamera tersebut.

Daripada penggunaan kami sendiri, boleh dikatakan lensa-kamera ini agak menarik, apatah lagi ia boleh dihubungkan kepada pelbagai peranti Android. Cuma, kekangannya buat masa ini adalah aksesori penghubung ia ke telefon hanya pada saiz maksimum 5-inci sahaja. Namun, memandangkan ia didatangkan berasingan, dan pihak Sony sendiri mempunyai Xperia Z Ultra, maka tidak mustahil mereka hadir dengan sokongan saiz yang lebih besar tidak lama lagi.

Dari segi kualiti rakaman pula, boleh dikatakan agak baik. Namun, satu kekurangan adalah untuk melakukan fokus, pengguna perlu menggunakan skrin pada telefon pintar, dan penggunaan butang fizikal pada CyberShot QX ini tidak menyokong penggunaan seperti half-press.

Sony Mobile Malaysia dijangka menawarkan Cyber-shot QX10 dan juga Cyber-shot QX100 ini di pasaran tempatan pada bulan Oktober ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd