Cari @ Amanz

Tetikus merupakan peranti yang paling penting didalam permainan komputer untuk kategori permainan aksi dan lebih penting daripada papan kekunci. Ini kerana dengan tetikus ianya menjadi mudah untuk pemain mensasarkan musuh, memilih askar dan karekter justeru pemilihan tetikus khusus untuk permainan merupakan satu aspek utama buat para pemain.

Sebelum ini kami telah mengulas berkenaan peranti khusus buat pemain permainan komputer iaitu headphone Roccat Kave 5.1, dan kali ini, kami telah berpeluang untuk mencuba sebuah tetikus baru keluaran Roccat iaitu Kone Pure Orange.

[amanz-gallery]

Bentuk Fizikal

Tetikus yang digunakan oleh kami ini berwarna jingga dan mempunyai label Inferno Orange. Untuk siri Kone Pure ini, terdapat 4 warna disertakan iaitu Hellfire Red, Inferno Orange, Polar Blue dan Phantom White. Tetikus yang boleh dikatakan didalam kelas pertengahan ini mempunyai 4 butang tambahan disamping 2 butang biasa (kiri dan kanan) beserta kombinasi butang dan roda tetikus. Namun begitu, roda tetikus ini tidak boleh diklik kearah kanan dan kiri, berbeza dengan tetikus lain pada tahap harga yang sama.

Logo Roccat yang terdapat pada tetikus ini merupakan paparan berlampu yang boleh diubah mengikut kesukaan pengguna. Lampu tersebut boleh diubah sama ada dari segi kerlipan, atau untuk memaparkan mod tertentu yang boleh disunting pengguna. Dibahagian bawah terdapat sensor laser dengan DPI maksimum setinggi 8200 DPI.

IMG_1430

Kemasan wayar dan palam USB tetikus ini harus dipuji kerana ia didatangkan dalam wayar yang disulam yang mengurangkan risiko ketegangan/kepatahan wayar.

Fungsi Khusus

Tetikus ini mampu beroperasi dengan fungsi asas termasuklah pengubahan DPI meskipun tanpa menggunakan aplikasi khusus dari Roccat. Namun sekiranya pengguna ingin menetapkan mod tertentu termasuklah menukar warna logo Roccat pada tetikus tersebut, aplikasi tersebut perlu dimuat turun dari laman web Roccat.

Dengan aplikasi tersebut, banyak tetapan tambahan yang boleh dilakukan pada tetikus ini. Selain dari penetapan warna logo Roccat, terdapat juga tetapan yang membolehkan kombinasi berbeza untuk permainan berbeza.

Pada ruang cengkam ibu jari disebelah kiri tetikus, butang di belakang merupakan butang [+]. Penggunaannya bagaikan kekunci ‘shift’ dimana sekiranya anda menekan nombor “1” menggunaan butang kiri di tetikus anda pada keadaan asal, apabila ibu jari menekan butang [+] dan jari telunjuk menekan butang kiri, ia akan menghasilkan arahan yang berlainan.

IMG_1422

Kepersisan dan Kejituan Semasa Bermain

Penulis telah mencuba tetikus ini untuk kegunaan harian dan juga untuk bermain dua permainan: Counter-Strike:GO dan Left 4 Dead 2. Setiap permainan mengambil masa sekitar 50 minit. Sepanjang permainan, tetikus ini bergerak dengan lancar dan tiada sebarang lengah masa yang berlaku. Bentuknya yang ergonomik meyakinkan cengkaman sepanjang permainan. Meskipun tetikus ini tidak boleh diubah keberatannya, penulis boleh katakan saiz dan beratnya adalah seimbang.

Sekiranya anda seorang yang menitikberatkan tatalan bersenggat, tetikus ini membawakan roda tatalan yang dipanggil Titan Wheel dan merupakan tatalan bersenggat dan bukan tatalan tanpa henti. Tatalan sebegini penting sekiranya anda seorang yang suka memilih senjata melalui kawalan tatalan.

Kesimpulan

Kelebihan

  • Tetikus khusus untuk permainan komputer yang kecil dan sesuai untuk pasaran Malaysia.
  • Kemasan pada wayar membuatkan tetikus ini lebih lasak serta mempunyai bentuk yang ergonomik
  • Penggunaan kombinasi butang [+] yang menjimatkan butang dan dilihat membawa kelainan.

Kekurangan

  • Harga yang agak premium untuk tetikus yang tidak boleh ditukar keberatannya.
  • Butang roda tatalan tidah boleh diklik pada kiri dan kanan.
  • Pengguna perlu membiasakan untuk menekan butang [+] untuk kombinasi tertentu.

Pada harga RM299 oleh Play Interactive Malaysia, ianya boleh dikatakan tetikus yang premium. Meskipun hanya mempunyai 7 butang, namun dengan kombinasi butang [+], ia boleh dikatakan mempunyai 15 butang. Butang yang banyak juga memungkinkan kesalahan dalam bermain jadi penggunaan butang [+] boleh dikatakan satu kelainan.

Penafian: seperti bau dan rasa, ulasan berdasarkan gerak-geri/teknik/kebolehan penulis adalah tertakluk kepada personaliti dan kebolehan penulis itu sendiri. Anda dinasihatkan supaya mencubanya terlebih dahulu sebelum melakukan pembelian.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd