Alcatel sudah menceburi bidang penghasilan telefon mudah alih sejak 1997 dengan Alcatel H800. Apa yang anda mungkin tidak sedari ialah Alcatel boleh mengesan semula susur galur sejarahnya kembali kepada Elisha Gray, pencipta telefon yang terlambat memfailkan paten telefon ciptaan beliau pada tahun 1867. Seperti Elisha Gray, kemasukan Alcatel kedalam arena telefon pintar juga agak terlambat berbanding pengeluar peranti pintar yang lain. Adakah One Touch Idol X mampu memberikan persaingan kepada HTC One, Galaxy S4, Xperia Z1 dan iPhone 5? Teruskan membaca untuk mendapat jawapannya.
Spesifikasi Alcatel Idol X | |
---|---|
Cip | 1.5GHz (empat-teras) Cortex A7 |
Kamera Utama | 13.1 Megapixel |
Kamera Hadapan | 2 Megapixel |
Storan Terbina | 16 Gigabyte . Tiada sokongan kas SD |
RAM | 2 Gigabyte |
Skrin | 5″ HD Penuh |
Bateri | 2000 mAh |
Alcatel One Touch Idol X ialah sebuah lagi peranti 5″ dengan skrin HD penuh yang kini memenuhi pasaran. Dari segi rupa fizikal peranti ini tidak jauh berbeza dari HTC One. Bahagian belakang peranti diperbuat daripada bahan polikarbonat. Bahagian belakang ini lembut dan selesa dipegang. Tekstur seakan getah memudahkan genggaman disamping mengurangkan kebarangkalian ianya tergelincir dari pegangangan anda ketika digunakan. Ia menggunakan bukan kapasitif sepenuhnya pada bahagian hadapan.
Butang kuasa terletak pada bahagian atas sementara butang suara dibahagian kiri. One Touch Idol X ialah sebuah peranti dwi-SIM dan sebuah slot SIM diletakkan di kiri dan kanan kasis peranti. Apa yang menarik ialah pintu penutup untuk slot SIM Idol X dilengkapi magnet. Ini memastikan pintu slot tertutup rapat dan tidak mudah terbuka. Seperkara lagi yang perlu kami nyatakan di sini ialah Idol X tidak menyokong penambahan muatan dalaman dan baterinya tidak boleh dibuka.
Sebuah pembesar suara terletak pada bahagian belakang peranti. Bunyi yang dipancarakn ketika melakukan panggilan telefon secara hands free dan menonton video Youtube adalah cukup memuaskan.
Secara keseluruhan One Touch Idol X mempunyai kualiti binaan dan spesifikasi yang baik bagi sebuah peranti yang dijual pada harga mampu milik. Kekurangan yang kami temui ialah tiada sokongan kad mikro SD. Muatan dalaman peranti ini terhad kepada hanya 16 Gigabyte dan kepada pengguna tegar kapasiti memori ini mungkin tidak cukup besar.
[amanz-gallery]
Antaramuka
Alcatel menggunakan antaramuka rekaan mereka sendiri yang nampak minimalis. Rekaan ikon yang minimalis ini menarik pada pandangan kami. Umum diketahui trend menggunakan antaramuka yang lebih “rata” semakin diminiati pengguna. Antaramuka Idol X adalah agak mirip rekaan yang ada pada IOS7 dan Sense 5. Ini bukanlah sesuatu yang boleh dianggap negatif.
Seperti Emotion UI yang digunakan oleh Huawei, Alacatel tidak menyertakan talam aplikasi. Kesemua aplikasi yang dimuat turun akan terus diletakkan pada paparan utama skrin. Ikon aplikasi-aplikasi ini kemudiannya boleh dikumpulkan kedalam failnya tersendiri mengikut keperluan pengguna. Sistem pengurusan aplikasi seumpaman IOS ini kurang kami gemari kerana kami tidak suka “menyemakkan” skrin paparan utama kami dengan pelbagai ikon dan fail.
Sistem pengurusan aplikasi Idol X mungkin mempunyai sedikit kelemahan tetapi kami cukup gemar dengan papan kekunci peranti ini. Adalah mudah untuk melakukan tetapan bahasa, pilihan kamus dan jenis papan kekunci yang mahu digunakan. Menu tetapan papan kekunci dan fungsi pengenalan suara boleh diakses dengan satu setuhan butang. Ini berbeza berbanding papan kekunci Android yang biasa kami lihat.
Alcatel One Touch Idol X juga mempunyai fungsi unik yang diberi nama Ultimate Saver. Fungsi ini boleh diaktifkan apabila kuasa bateri berkurangan kepada 15%. Ultimate Saver secara automatik akan mengubah Idol X menjadi sebuah telefon biasa dimana anda hanya boleh mengakses fungsi telefon, SMS, kalendar dan senarai nombor yang disimpan di dalam peranti. Kecerahan skrin juga dikurangkan secara drastik. Kami berjaya memanjangkan hayat telefon selama 3 jam di dalam mod Ultimate Saver dengan hanya 15% kapasiti bateri. Fungsi ini sememangnya berguna ketika situasi kecemasan dimana anda tidak memerlukan fungsi internet ataupun menggunakan aplikasi pada Idol X.
Kamera
Peranti ini dilengkapi kamera utama 13.1 Megapixel dan kamera hadapan 2 Megapixel. Kualiti gambar yang diambil kurang memuaskan kerana agak kusam dan tidak cukup tajam. Kualiti gambar yang diambil dalam keadaan gelap juga mengalami masalah yang sama. Dari contoh gambar di bawah anda boleh melihat masalah softening dan blooming yang sangat ketara. Seperkara lagi aplikasi kamera peranti ini juga terlalu minimalis. Tiada pilihan untuk mengawal parameter kamera secara manual. Resolusi gambar juga tidak boleh diubah dan kekal pada saiz 13.1 Megapixel. Selain itu ia juga tidak mempunyai filter terbina ataupun fungsi tambahan seperti Action Shot yang ada pada Galaxt S4 dan HTC One. Kami tidak menggunakan aplikasi default kamera peranti ini kerana pilihan yang terlalu sedikit menggunakan aplikasi pihak ketiga yang memberikan lebih banyak kebebasan untuk mengawal parameter yang ada. Sila klik gambar di bawa untuk melihatnya dalam resolusi asal.
Penanda Aras
Apabila ujaan penanda aras dilakukan One Touch Idol X mencatatkan 5762 markah pada penanda aras Quadrant dan 14675 markah pada penanda aras Antutu. Markah yang dicatatkan adalah agak rendah berbanding HTC One dan Xperia Z. Sepanjang tempoh penggunaan kami menyedari terdapat sedikit masalah sela masa. Kelancaran tatalan juga tidak sepantas dua peranti yang baru kami sebutkan tadi. Tetapi sekiranya anda hanya menggunakan telefon pintar anda sebagai alat untuk melakukan panggilan telefon, melayan laman media sosial atau melayari internet One Touch Idol X dapat melakukan kesemua fungsi di atas tanpa masalah yang besar.
Kami tidak menemui masalah peranti berhenti dari berfungsi atau reboot secara tiba-tiba seperti beberapa peranti yang pernah kami ulas sebelum ini. Masalah kecil yang kami temui ialah beberapa aplikasi yang tidak berfungsi dengan baik di dalam One Touch Idol X. Sebagai contoh ketika menggunakan aplikasi Instagram, pratonton kesan gambar tidak dipaparkan dengan betul. Kerap kali skrin hanya memaparkan kotak hitam atau kesan gambar yang berlainan dari yang sepatutnya.
Bateri
Ketahanan bateri One Touch Idol X adalah agak mengecewakan. Kami mendapati 16.5% bateri akan digunakan setiap jam dalam penggunaan berat. Ini bermakna bateri peranti ini hanya dapat bertahan selama 6 jam sebelum perlu dicas semula. Dalam penggunaan paling ringan pula kami berjaya memanjangkan hayat bateri sehingga 23 jam.
Prestasi ketahanan bateri peranti ini memang sudah kami agak kerana ia hanya dilengkapi bateri sebesar 2000 mAh. Hampir kesemua peranti empat teras dengan skrin HD penuh dilengkapi bateri yang lebih besar dari bateri Idol X.
Mungkin atas sebab inilah Alacatel meletakkan fungsi Ultimate Saver yang kami ada sebut pada awal ulasan ini. Penggunaan bateri serta merta berkurangan apabila mod ini diaktifkan. Malangnya peranti pintar anda hanya mampu berfungsi sebagai peranti kurang pintar di dalam mod ini.
Kesimpulan
Alcatel One Touch Idol X ialah sebuah peranti yang beharga agak murah dengan prestasi yang sederhana. Ia mampu melakukan tugasan biasa seperti melayar laman web, melakukan kemasan laman sosial dan bermain permainan kompuer tanpa masalah besar. Dari segi binaan ia mempunyai kemasan yang elok serta selesa untuk dipegang. Permukaan belakang Idol X yang bergetah memastikan peranti ini tidak mudah tergelincir ketika digunakan. Kami tidak menemui masalah yang serius sepanjang tempoh ulasan. Kami hanya menyedari kelancaran tatalan skrin peranti ini tidak sebaik peranti empat teras yang lain. Terdapat juga masalah ketika menggunakan Instagram dimana aplikasi tidak berfungsi dengan sempurna.
Dari segi optik terdapat kelemahan dari segi kualiti gambar. Ianya tidak setajam gambar yang diambil oleh pesaing. Aplikasi kamera juga agak mengecewakan kerana pilihan tetapan yang terlalu minimalis. Tiada sokongan merubah resolusi gambar yang ingin diambil dan tiada juga sokongan filter terbina. Fungsi time lapse dan membuang objek dari gambar yang diambil juga tiada.
Jangka hayat bateri juga mengecewakan kerana hanya mampu bertahan selama 6 jam sebelum perlu dicas dalam penggunaan berat. Sungguhpun begitu fungsi Ultimate Saver mampu memanjangkan hayat bateri apabila diaktifkan tetapi majoriti fungsi peranti ini akan dinyahaktifkan.
Bolehlah dikatakan Alcatel One Touch Idol X sebuah peranti yang bukan disasarkan kepada pengguna tegar. Pada harga saranan RM 1099, Idol X pada hemat kami masih memberikan nilai kepada wang yang anda belanjakan untuk membelinya. Ia mungkin bukan peranti terhebat di pasaran tetapi jika anda memerlukan peranti yang mudah digunakan, dengan antaramuka yang menarik serta kemampuan melakukan kebanyakkan tugasan dengan mudah ini mungkin peranti yang anda boleh letakkan dalam senari pembelian.
PRO dan Kelebihan
- Paparan skrin yang jelas dan cantik.
- Antaramuka minimalistik yang menarik.
- Fungsi Ultimate Saver memanjangkan hayat peranti anda dengan hanya membenarkan penggunaan telefon paling asas apabila kapasiti bateri berkurangan kepada 15%
- Rekaan badan yang selesa dipegang terutamanya pada bahagian belakang yang bergetah. Ini mengurangkan kebarangkalian ianya tergelincir dari genggaman.
- Harga yang mampu milik iaitu RM1099
KONTRA dan Kekurangan
- Markah penanda aras yang rendah berbanding peranti empat teras yang lain seperti HTC One dan Sony Xperia Z.
- Kapasiti bateri yang kecil iaitu hanya 2000 mAh.
- Kamera tidak mengambil gambar yang cukup memuaskan di dalam persekitaran yang agak gelap
- Ketiadaan talam aplikasi dan sokongan kad Mikro SD.
- Alcatel One Touch Idol X dijual pada harga RM 1099 .