Seperti dinantikan ramai, selain berkongsi beberapa perkara berkaitan iOS 7, pihak Apple juga turut sama memperkenalkan telefon pintar versi bajet mereka, yang dikenali sebagai iPhone 5C.
iPhone 5C akan ditawarkan dalam lima pilihan warna, iaitu hijau, putih, biru, merah dan juga kuning, selain mana ia juga diselarikan dengan gambar latar yang sama dengan warna kerangka pilihan.
iPhone 5C dilengkapi dengan skrin bersaiz 4-inci dengan paparan Retina. Ia juga turut menggunakan cip pemprosesan A6 yang direka oleh Apple, membawakan sokongan prestasi dan juga grafik baik, disamping efisyen dalam penggunaan kuasa.
Dari segi kamera pula, iPhone 5C dilengkapi dengan kamera 8-megapixel, disamping membawakan kamera hadapan dengan sokongan FaceTime HD.
iPhone 5C ini akan ditawarkan bersama-sama telefon pintar iPhone 5S bermula 20 September ini. Namun, tarikh pelancaran rasmi untuk pasaran tempatan masih tidak diketahui buat masa ini.