iPhone 5S baru sahaja diperlihatkan kepada umum pagi tadi dengan pengesan cap jari terbina pada butang home. Inovasi terkini dari Apple ini sudah tentunya meninggikan tahap keselamatan peranti milik anda dari diakses oleh orang lain. Samsung nampaknya tidak mahu mengalah dan hari ini kami difahamkan Samsung Galaxy S V akan mempunyai sistem pengimbas DNA terbina.
Gambar lukisan permohonan paten yang menunjukkan sistem pengimbas DNA tertiris ke tangan kami pagi tadi. Dari apa yang kami lihat sistem pengimbas DNA Samsung Galaxy S V diletakkan pada kawasan mikrofon peranti ini. Untuk melakukan unlocking anda perlu menghembus nafas secara terus ke arah mikrofon. Pengimbas kemudian akan membaca molekul udara hebusan nafas tersebut dan melakukan pengenalan DNA secara terus.
Kami juga difahamkan ini adalah antara satu sebab mengapa Samsung tiba-tiba mengumumkan kelapan-lapan teras pemproses Exynos 5 Octa mereka kini dapat berfungsi sekaligus. Sistem pengimbas DNA ini memerlukann kuasa pemprosesan yang tinggi untuk melakukan pengesanan DNA secara segera.
Kami cuba menghubungi wakil Samsung di Malaysia tetapi mereka enggan menidakkan maupun mengesahkan maklumat yang kami terima ini. Tetapi mereka ada mengatakan teknologi pengimbasan DNA sememangnya jauh lebih bagus dari mengesan cap jari yang sedia ada.
Sekiranya ura-ura ini benar ianya pasti membuatkan Samsung Galaxy S V menjadi peranti paling hebat di pasaran apabila ianya dipasarkan kelak. Galaxy S 4 mempunyai pengesan cahaya, suhu, tekanan dan kelembapan udara. Jadi adalah tidak mengejutkan jika Samsung menambah fungsi mengimbas DNA untuk peranti utama mereka. Dengan bantuan beberapa aplikasi tidak mustahil anda boleh melakukan ujian paterniti dari bilik anda tanpa perlu pergi ke hospital untuk memastikan anak anda benar-benar anak anda. Hanya suruh anak anda menghembus nafas pada Samsung Galaxy S V dan status mereka dapat ditentukan.