Pada minggu lepas, pihak Apple telah menjadi yang terawal memperkenalkan sokongan cip pemprosesan 64-bit pada telefon pintar iPhone 5S milik mereka. Sejak daripada itu, pelbagai perkara diperdebat berkenaan dengan kegunaannya.
Untuk makluman, cip pemprosesan Apple A7 menggunakan architecture ARMv8. Secara kasarnya, dengan beralih ke cip 64-bit, ia akan membolehkan aplikasi berjalan dengan lebih pantas, disamping menjimatkan penggunaan tenaga untuknya. Ia juga sekaligus memberikan kesan yang positif kepada grafik, terutamanya untuk aplikasi berbentuk permainan.
Ramai yang sedia mempersoalkan penggunaan pemprosesan 64-bit, memandangkan secara teori, sistem 32-bit boleh menyokong sehingga 4GB RAM. Namun, untuk sistem perkomputeran mudah-alih, penggunaan RAM yang tinggi dikatakan tidak begitu sesuai, memandangkan ia akan menggunakan tenaga bateri yang lebih.
Pada masa yang sama, ia juga akan memerlukan pembangun untuk mengoptimasikan aplikasi mereka untuk 64-bit, memandangkan aplikasi 32-bit sedia ada mungkin tidak dapat menggunakan fungsi 64-bit sepenuhnya. Selain itu, salah satu perkara yang menjadi tanda tanya adalah berkenaan dengan saiz fail aplikasi berkenaan, kerana pada masa kini, kebiasaanya, perisian 64-bit bersaiz lebih besar berbanding 32-bit.
Ia turut dikatakan, untuk pembangun, aplikasi berbentuk permainan dan dengan tenaga pemprosesan tinggi sahaja yang akan mendapat kelebihan menggunakan cip 64-bit, sementara yang lain akan masih kekal membawakan prestasi seperti biasa.
Penggunaan sistem 64-bit juga tidak bergantung sepenuhnya kepada hardware tetapi turut sama perlu dilengkapi dengan penggunaan sistem operasi dan perisian yang diperlukan.
Sebelum ini, ramai mensasarkan untuk melihat sistem mudah-alih berasaskan 64-bit pada tahun 2014, dan kini, mungkin kita akan melihat sokongan untuknya hadir dengan lebih pantas.
Jadi, apa kata anda berkenaan dengan sistem 64-bit pada tablet dan telefon pintar?
Rujukan : ExtremeTech, Mashable, Time.