Carian
Cyanogen Setapak Ke Hadapan – Menerima Suntikan Dana; Ingin Mensasarkan Pengguna Umum
September 19, 2013 Aman

Bagi mereka yang sering melakukan pelbagai perubahan pada peranti Android mereka, mungkin nama CyanogenMod bukan sesuatu yang baru. Kini, nampaknya mereka melangkah setapak kehadapan dengan menerima suntikan dana, dan ingin menjadikan Cyanogen sebagai sebuah platform ketiga, dibelakang Android dan iOS.

CyanogenMod merupakan salah satu projek sumber terbuka, dimana ia memfokuskan kepada memberikan pengalaman penggunaan Android yang lebih baik. Selain menawarkan versi terkini Android, ia juga didatangkan dengan pelbagai penambahan dan aplikasi menarik, selain membuang aplikasi yang tidak berguna dan memakan ruang daripada platform tersebut.

Cyanogen

Sejak ia diperkenalkan, ia sedia menerima sokongan komuniti yang kuat, dan kini menyokong pelbagai peranti utama dan popular. Perkara ini menjadikan Cyanogen lebih diminati, memandangkan pengeluar sendiri jarang mengemaskini peranti mereka dengan versi Android terkini.

Namun, salah satu masalah utama adalah ia tidak mesra untuk pengguna umum, dan hanya digunakan meluas oleh pengguna yang teknikal dan mengetahui pengetahuan asas IT sahaja.

Untuk mengatasinya, kini mereka mempunyai beberapa perancangan, dan salah satunya adalah untuk memudahkan pengguna untuk memasang CyanogenMod dengan hanya satu klik.

Cyanogen

Aplikasi untuk pemasangannya dijangka akan diperkenalkan dalam beberapa minggu lagi. Melaluinya, ia akan memudahkan sesiapa sahaja membuat pemasangan CyanogenMod dengan hanya satu klik, dan ketika pengenalan, ia dijangka akan menyokong beberapa peranti utama Android.

Dibawah syarikat baru, Cyanogen Inc, mereka juga turut sama mensasarkan untuk bekerjasama dengan pengeluar, untuk memperkenalkan peranti mereka sendiri.

Walaubagaimanapun, seperti biasa, fail pemasangan CM akan ditawarkan secara percuma untuk para pengguna. Cyanogen juga turut mensasarkan untuk menjadi platform ketiga dibelakang Android dan juga iOS pada masa akan datang.

Komen