Nokia Malaysia hari ini secara rasminya telah memperkenalkan telefon pintar terbaru mereka dengan kamera 41-megapixel, iaitu Nokia Lumia 1020. Di Malaysia, ia akan mula dijual bermula 25 September di Malaysia.
Seperti semua sedia maklum, Nokia Lumia 1020 dijana menggunakan Windows Phone 8, didatangkan dengan skrin bersaiz 4.5-inci, cip dwi-teras 1.5GHz, dan bateri berkapasiti 2000mAh.
Nokia Lumia 1020 memfokuskan kepada teknologi pengimejan dan kamera, dimana ia menyertakan sokongan sensor 41-megapixel, sokongan penstabilan imej, serta Xenon Flash. Lensa Carl-Zeiss turut disertakan, membolehkan rakaman gambar lebih jelas. Berbeza dengan PureView 808 sebelum ini, ia dikatakan sensor pada Lumia 1020 lebih sensitif.
Menurut Nokia, kamera kini telah menjadi salah satu faktor utama, apatah lagi dengan lebih 1 bilion gambar dikongsi pengguna setiap hari. Dengan teknologi pengimejan Nokia, ia membolehkan gambar dirakamkan pada kualiti yang amat baik, tidak kira pada sebarang keadaan cahaya.
Nokia Lumia 1020 akan ditawarkan pada harga RM2499, hadir dalam pilihan warna hitam, putih dan juga kuning. Ia boleh didapati daripada para pengedar tempatan bermula 25 September kelak. Camera Grip bernilai RM299 ditawarkan bersama-sama dengan pembelian Lumia 1020.
Celcom dikatakan akan menawarkan peranti ini bersama-sama pakej mereka.