Persaingan pasaran peranti dengan skrin diantara 6-7″ yang kini kami kelaskan sebagai phablet makro semakin hangat. Huawei Ascend Mate, Samsung Galaxy Mega dan Sony Xperia Z ialah 3 peranti yang kini sudah boleh anda miliki dari keluarga phablet makro. Bulan hadapan Asus Fonepad Note pula dijangka memasuki pasaran. Yang manakah yang paling berbaloi dan harus anda miliki? Di atas kertas Xperia Z Ultra mempunyai kelebihan berbanding peranti-peranti yang kami senaraikan tadi. Tetapi di dalam ujian praktikal harian adakah Z Ultra akan menang mudah? Teruskan membaca ulasan ini untuk jawapannya
Spesifikasi Sony Xperia Z Ultra | |
---|---|
Cip | 2.2 GHz (empat-teras) Snapdragon 800 |
Kamera Utama | 8 Megapixel |
Kamera Hadapan | 2 Megapixel |
Storan Terbina | 16 Gigabyte . Sokongan kad MikroSD sehingga 64 GB |
RAM | 2 Gigabyte |
Skrin | 6.4″ HD Penuh |
Bateri | 3050 mAh |
Dari segi fizikal ia masih mengekalkan rekaan ergonomik Xperia Z yang memudahkan pengendalian . Butang kuasa dan suara masih terletak di bahagian kanan peranti. Port pengecas terletak di bahagian kiri manakala port kad MikroSIM serta MikroSD terletak di bahagian kanan diatas butang kuasa. Berbeza dengan XPeria Z, port fon kepala pada bahagian atas peranti tidak tertutup dengan pintu plastik. Pembesar suara Z Ultra juga diletakkan pada bahagian kanan seperti Xperia Z. Secara keseluruhan kemasan Xperia Z Ultra adalah sangat baik. Sungguhpun begitu kerana saiznya yang besar pengendalian menggunakan sebelah tangan adalah amat sukar walaupun kami mempunyai saiz tangan yang besar. Tangan juga berasa kurang selesa apabila peranti ini digenggam kerana bahagian belakangnya yang rata.
Apabila diletakkan bersebelahan Samsung Galaxy Mega, Xperia Z adalah jauh lebih besar sungguhpun perbezaan saiz skrin hanya sebanyak 0.1″. Ini adalah kerana bahagian bazel atas serta bawah Z Ultra adalah lebih besar. Kami difahamkan ini dilakukan bagi memudahkan pengguna memegang peranti pada kedudukan lanskap. Harus dinyatakan pada kedudukan lanskap penggunaan peranti ini berasa lebih selesa. Tidak berlaku masalah tertekan butang kapasitif secara tidak sengaja ketika menonton video dan menggunakan aplikasi permainan. Jelas disini Xperia Z Ultra ialah peranti yang lebih selesa digunakan di dalam kedudukan lanskap berbanding potret.
Sony ada menyatakan Z Ultra ialah peranti yang dihasilkan sebagai pemain media (media player) mudah alih. Skrin 5″ Xperia Z tidak memberikan kepuasan untuk menonton video manakala skrin 10″ Tablet Z pula terlalu besar untuk membuatkannya dibawa kemana-mana. Saiz Z Ultra dirasakan Sony adalah saiz yang paling optimum untuk sebuah pemain media mudah alih.
[amanz-gallery]
Antaramuka
Tiada perubahan besar dilakukan Sony pada antaramuka Xperia Z Ultra. Perbezaan utama ialah pada jumlah aplikasi yang boleh diletakkan pada bahagian talam pintasan. Pada majoriti peranti Android, 5 aplikasi boleh diletakkan pada talam pintasan tetapi pada Zperia Z Ultra anda boleh meletakkan 7 buah.
Di dalam talam aplikasi kini terdapat menu tambahan pada bahagian kiri skrin. Dari menu ini anda boleh menyusun aplikasi mengikut abjad, susunan pilihan anda, kekerapan penggunaan dan aplikasi yang dimuat turun. Pilihan untuk memadam aplikasi secara terus dari talam aplikasi seperti IOS juga kini disokong. Sebelum ini aplikasi hanya boleh dipadan dari menu application di dalam skrin tetapan. Pilihan memadam aplikasi secara terus begini adalah jauh lebih mesra pengguna.
Kerana saiz skrinnya yang besar, antaramuka Z Ultra juga wujud di dalam mod lanskap. Apabila skrin diputarkan sebanyak 90 darjah, kesemua ikon akan disusun semula mengikut orientasi mod tablet. Tetapi tidak seperti anatramuka tablet Xperia Tablet Z, butang kapasitif akan kekal pada bahagian tepi skrin dan tidak berubah posisi ke bahagin bawah skrin seperti gambar di bawah.
Kerana ianya sebuah produk buatan Sony, Xperia Z Ultra didatangi dengan beberapa sokong dari ekosistem ekslusif Sony. Sebagai contoh ia mampu mengakses Playstation Mobile, Movies Unlimited, Play Memories dan pasaran muzik Sony Walkman. Malangnya tidak kesemua perkhidmatan ini boleh diakses oleh pengguna tempatan. Playstation Mobile sebagai contoh hanya boleh diakses sekiranya anda mempunyai akaun Playstation Network Amerika Utara. Play Memories ialah khidmat penyimpanan gambar awanan Sony. Apabila gambar dimuat naik anda boleh mengaksesnya melalui televisyen pintar Sony Bravia, peranti Android Sony, kamera pintar Sony dan juga Playstation. Buat masa ini storan sehingga 5 Gigabyte diberi percuma kepada pemilik yang berdaftar dengan Sony.
Movies Unlimited pula langsung tidak boleh diakses kerana ia melakukan sekatan menerusi I.P pengguna. Begitu juga dengan Walkman. Sekiranya anda peminat tegar Sony dan memerlukan perkhidmatan yang kami nyatakan di atas anda bernasib malang kerana ianya terhalang.
Sungguhpun begitu ada beberapa lagi fungsi tambahan yang boleh digunakan. Sebagai contoh sekiranya anda mempunyai sebuah Playstation 3, video dari aplikasi Youtube dapat dimainkan terus ke televisyen anda menerusi PS3. Pada aplikasi Youtube Xperia Z Ultra sudah terdapat butang “casting” yang sebelum ini hanya kami lihat pada peranti yang sudah memuat turun aplikasi Chromecast.
Selain daripada itu aplikasi Movies Z Ultra boleh memainkan video yang dikongsi pada rangkaian WiFi rumah anda secara terus tanpa memerlukan aplikasi pihak ketiga. Anda hanya perlu menetapkan folder yang ingin dikongsi pada komputer anda dan ianya akan dapat diakses oleh Z Ultra selagi ianya berkongsi rangkaian WiFi yang sama.
Kamera
Setakat ini kami memuji spesifikasi pemproses dan kemasan peranti Sony ini. Tetapi buku lali Achilles Xperia Z Ultra terletak pada kameranya. Kamera utama peranti ini dilabelkan sebagai 8 Megapixel pada kotak dan laman rasmi Sony. Malangnya apabila skrin tetapan kamera diakses, kami mendapati resolusi tertinggi gambar boleh diambil ialah 7 Megapixel. Pada resolusi ini gambar hanya boleh diambil pada nisbah 4:3 . Gambar bernisbah 16:9 yang kini adalah standard majoriti peranti pintar hanya boleh diambil pada resolusi 5 Megapixel. Hasilnya ialah kualiti gambar yang tidak setanding dengan spesifikasi peranti yang dikelaskan sebagai kelas tinggi. Gambar yang diambil mempunyai tona kebiruan dan tidak cukup tajam. Ianya juga sedikit gelap. Yang menambahkan kekurangan kemampuan optik Z Ultra ialah ianya juga tidak didatangi dengan flash. Kualiti gambar yang diambil pada waktu malam lebih terang berbanding yang diambil menggunakan Galaxy Mega. Kami menggunakan gambar yang diambil menggunakan Galaxy Mega sebagai perbandingan kerana kedua-dua peranti ini adalah di dalam pengkelasan yang sama dengan saiz yang tidak banyak jauh bezanya.
Penanda Aras
Apabila ujian penanda aras dilakukan Z Ultra ia mencatatkan 19795 markah pada penanda aras Quadrant dan 33546 markah pada penanda aras Antutu. Markah yang dicatatkan peranti ini ialah markah tertinggi yang pernah kami lihat pada peranti yang pernah kami ulas. Galaxy Mega yang kami ulas minggu lalu hanya mampu mencatatkan1/3 markah Z Ultra iaitu 6850 untuk Quadrant dan 13699 untuk Antutu. Jelas sekali dari segi kemampuan permprosesan Z Ultra dengan mudah mengalahkan Galaxy Mega.
Pada ujian grafik Futuremark pula, Z Ultra mencatatkan 17599 markah. Galaxy Mega hanya mampu mencatatkan 4420 markah.
Xperia Z Ultra ialah peranti yang dinantikan peminat aplikasi permainan komputer yang mahukan peranti Android kerana kemampuannya yang tinggi. Tambah menarik skrin yang besar memudahkan kawalan kerana jari pada skrin tidak menghalang grafik yang dipaparkan.
Bateri
Xperia Z Ultra dilengkapi bateri sebesar 3050 mAh. Pada penggunaan ringan ia mempu bertahan selama hampir 23 jam tetapi pada penggunaan berat ia mampu bertahan selama 6-7 jam. Jangka hayat bateri Ultra adalah hampir setanding dengan Mega sungguhpun berkapasiti lebih kecil, skrin lebih besar dan pemproses yang lebih berkuasa. Jangka hayat bateri Ultra adalah setanding dengan kemampuan bateri peranti lain di pasaran. Apabila ujian penanda aras Antutu dilakukan ia mampu mengutip 447 markah. Ini adalah lebih kurang separuh dari 831 markah yang dicatatkan oleh Galaxy Mega.
Kesimpulan
Sony Xperia Z Ultra ialah antara peranti yang paling cantik serta kemas binaanya di pasaran. Dengan skrin sebesar 6.4″ ianya juga merupakan telefon pintar terbesar yang boleh anda miliki. Ianya dihasilkan oleh Sony sebagai pemain media mudah alih bagi mereka yang merasakan Tablet Z adalah terlalu besar manakala Xperia Z pula terlalu kecil. Dari segi spesifikasi ianya adalah peranti terbaik yang pernah kami ulas di Amanz.my. Ia dengan mudah memintas markah tertinggi yang kami lihat pada HTC One sebelum ini. Kerana ianya sebuah peranti Sony, Z Ultra disertakan dengan perkhidmatan ekslusif daripada Sony, Malangnya tidak kesemua perkhidmatan ini disokong di Malaysia. Seperti kami nyatakan perkhidmatan Movies Unlimited yang membolehkan pemilik memuat turun filem dari Sony tidak boleh diakses oleh pengguna Malaysia. Sungguhpun begitu sokongan memaparkan video dari aplikasi Youtube terus ke TV melalui konsol Playstation 3 boleh dilakukan dengan mudah. Terdapat juga sokongan menonton video yang dikongsi di dalam rangkaian WiFi milik anda. Dari pengalaman kami fungsi ini tidak disokong secara native pada peranti Android lain dipasaran. Jika anda mempunyai banyak barangan keluaran Sony, Z Ultra dengan mudah dapat mengakses media yang disimpan di dalam ekosistem Sony.
Kelemahan utama Z Ultra ialah kemampuan kamera yang kurang memuaskan. Kualiti gambar yang tidak tajam serta resolusi kamera yang rendah. Ketiadaan fungsi flash juga mengecewakan. Saiznya yang besar juga menyukarkan untuk ianya digunakan menggunakan sebelah tangan. Kerana saiznya yang besar juga adalah canggung untuk menggunakannya sebagai sebuah telefon kerana anda kelihatan seperti bercakap menggunakan sebuah talam.
Sony Xperia Z Ultra ialah sebuah peranti yang kami boleh sarankan kepada mereka yang mahu menggunakannya sebagai pemain media dan mereka yang platform permainan komputer mudah alih. Ianya juga harus dimiliki bagi mereka yang sudahpun memliki peranti elektronik Sony yang lain. Harga jualan peranti ini bermula dari RM 2299 dan adalah agak mahal. Jika anda peminat peranti Sony anda mungkin sudah memiliki Z Ultra ditangan anda,. Tetapi jika tidak mampu memiliki peranti ini Samsung Galaxy Mega adalah peranti yang kami rasakan lebih berbaloi dimilki. Dari segi nilai untuk wang dibelanjakan kami rasakan Mega adalah pilihan yang lebih baik. Siapa sangka peranti yang lebih murah dengan spesifikasi rendah a
PRO dan Kelebihan
- Paparan skrin Triluminos memaparkan imej yang terang serta hidup. Tiada lagi masalah skrin yang sedikit kusam seperti yang dialami Xperia Z.
- Kemasan yang kemas dan cantik. Terasa seperti sebuah peranti premium
- Kemampuam grafik dan pemproses yang tinggi. Ianya peranti yang dihasilkan khas untuk aplikasi permainan komputer.
- Fungsi media server membolehkan kandungan peranti dikongsi peranti pintar lain Sony seperti Playstation 3.
- Tahan air dan debu.
KONTRA dan Kekurangan
- Saiz yang terlalu besar menyukarkan untuk ianya digenggam dengan selesa. Ianya juga sukar untuk dibawa di dalam seluar ataupun digunakan sebelah tangan. Tambahan lagi kerana saiznya yang besar ia agak canggung untuk digunakan sebagai telefon. Kelihatan seperti anda bercakap menggunakan talam.
- Kemampuan kamera yang agak lemah. Hanya mempunyai kamera 7 Megapixel. Ketiadaan flash juga agak mengecewakan.
- Xperia Z Ultra direka sebagai peranti menonton media di atas talian. Malangnya fungsi terbina seperti Playstation Network dan Videos Unlimited tidak disokong di Malaysia.
- Sony Xperia Z Ultra dijual pada harga RM 2299 .