Carian
Ulasan : Samsung Galaxy Mega
September 28, 2013 Effi Saharudin

Pernah suatu ketika dahulu syarikat pengeluar telefon berlumba-lumba menghasilkan telefon mudah alih yang terkecil dan ternipis. Ini adalah kerana pada awal sejarah pembangunan telefon mudah alih, saiznya yang besar menyukarkan untuk ianya dibawa kemana-kemana. Obsesi terhadap saiz membawa kepada kegilaan menyatakan berapa milimeter lebih harus peranti tahun ini berbanding peranti versi tahun sebelumnya. Ikhlas kami katakan di Amanz.my ketebalan dan kepanjangan sesebuah peranti itu tidak penting berbanding fungsi-fungsi penting yang mampu dilakukannya. Tetapi sejak kebelakangan ini saiz telefon pintar yang lebih besar pula menjadi trend dikalangan pengeluar telefon.

Samsung memulakan “perang saiz” dengan mengeluarkan phablet Galaxy Note dengan saiz skrin melebihi 5″. Huawei kemudian mengeluarkan Huawei Ascend Mate dengan skrin gergasi 6.1″. Secara tak langsung sebuah pengkelasan baru peranti pintar mudah alih tercipta.  Kami tidak pasti apakah pengkelasan rasmi untuk peranti dengan skrin diantara 6-7 inci. Mini tablet? Makro Phablet? Apa yang pasti Samsung juga tidak ketinggalan mengeluarkan peranti di dalam saiz besar ini dan Galaxy Mega berskrin 6.3″ kini tiba di pasaran seluruh dunia.

Spesifikasi Samsung Galaxy Mega
Cip 1.7 GHz (dua-teras) Snapdragon 400
Kamera Utama 8 Megapixel
Kamera Hadapan 1.9  Megapixel
Storan Terbina 8/16 Gigabyte . Sokongan kad MikroSD sehingga 64 GB
RAM 1.5 Gigabyte
Skrin 6.3″ 720P
Bateri 3200 mAh

Samsung Galaxy Mega kelihatan seperti sebuah Galaxy S4. Rekaan kemasan tepi, posisi butang, bentuk kasis dan kamera memang 100% menyamai S4. Perbezaan antara dua peranti ini ialah ia mempunyai spesifikasi yang lebih rendah berbanding S4 Galaxy Mega diperkasakan pemproses 1.7 GHz Snapdragon 400 dua teras. Bukan Exynos 5 lapan teras S4. Kamera utama hanya sebesar 8 megapixel dan RAM sebesar 1.5 Gigabyte. Skrin Mega juga hanya menggunakan resolusi 720P dan bukana HD penuh.  Kapasiti bateri juga diperbesarkan sebanyak 600 mAh menjadi 3200 mAh berbanding S4.

Seperti majoriti peranti pintar Samsung yang lain, bateri Mega boleh ditanggalkan serta terdapat sokongan penambahan kapisiti muatan dalam menggunakan kad MikroSD. Kami yakin anda semua arif dengan astetik rekaan Samsung, Ianya masih sebuah peranti yang hampir keseluruhannya plastik. Kami tahu ada yang kurang gemar dengan bahan binaan pilihan Samsung ini tetapi kepada majoriti pengguna ini bukan masalah yang besar. Sungguhpun besaiz agak besar kami rasakan Galaxy Mega masih selesa dipegang. Harus kami nyatakan kami mempunyai saiz tangan yang besar jadi kepada mereka yang mempunyai saiz tangan yang kecil anda mungkin mengalami masalah untuk menggenggam peranti ini dengan selesa.

[amanz-gallery]

Antaramuka

xperia-Z-antaramukaGalaxy Mega menggunakan antaramuka Touchwiz yang sama seperti yang dilihat pada S4. Berbeza dengan S4 kali ini ia boleh berfungsi di dalam mod tablet apabila peranti digunakan pada kedudukan lanskap. Fungsi ini sudah lami kami mahukan sejak Galaxy Note muncul dipasaran beberapa tahun yang lalu. Ia memang memudahkan pengendalian peranti bersaiz besar ini. Anehnya fungsi yang sudah wujud sejak Galaxy Tab 1 dijual pada tahun 2010 tidak pula disokong Samsung Galaxy Note 3 yang mula dijual di Malaysia minggu ini. Fungsi lain yang diletakkan oleh Samsung kedalam Galaxy Mega ialah air view,  multi window , WatchOn dan smart stay. Fungsi S HealthAir View, EyeScroll, Barometer dan Termometer pula tidak disokong.

Skrin 720p Galaxy Mega memaparkan imej dengan baik. Ramai mungkin akan merungut mengapa Samsung tidak menggunakan skrin HD Penuh pada peranti ini tetapi kami boleh katakan anda sebenarnya tidak dapat membezakan langsung perbezaan resolusi pada skrin sekecil ini. Pada hemat kami jangka hayat bateri yang lebih panjang adalah lebih relevan dari skrin 1080P. Penggunaan bateri dapat dikurangkan dengan skrin dengan resolusi lebih rendah.

Antaramuka Touchwiz sering dibidas oleh majoriti pengguna Android kerana dikatakan tidak selancar Android vanilla. Kami tidak dapat mengesan masalah lengah masa semasa menggunakan Galaxy Mega. Ini pada kami adalah impresif kerana ianya sebuah peranti dua teras. Mungkin Samsung telah melakukan beberapa optimasi kepada Touchwiz kerana masalah lengah masa ada pada Galaxy S4, sebuah peranti lapan teras!

xperia-Z-kesemua-antaramuka

Kamera

Kamera 8 Megapixel yang digunakan pada Samsung Galaxy S3 digunakan pada Galaxy Mega. Jika anda ingat lagi ulasan Galaxy S3 kami, kamera 8 Megapixel ini berfungsi dengan baik dalam kebanyakkan situasi. Anda boleh memilih beberapa pra-tetapan yang telah ditetapkan oleh Samsung seperti Beauty Camera dan Action Shot. Pra-tetapan ini memudahkan pengguna yang tidak mempunyai masa untuk mengambil gambar yang terbaik untuk situasi tertentu. Majoriti pra-tetepan yang disertakan pada hemat kami tidak akan digunakan oleh pengguna tetapi inilah yang memberikan nilai tambahan Galaxy Mega berbanding pesaingnya di pasaran. Lebih baik pilihan ini diberikan dari tidak disertakan langsung seperti yang berlaku pada Alcatel One Touch Idol X

Kami membandingkan gambar yang diambil menggunakan Galaxy Mega dengan Xperia Z Ultra. Kedua-dua peranti ini mempunyai fungsi dan saiz skrin yang hampir serupa. Kesemua gambar diambil pada tetapan resolusi tertinggi setiap peranti. Ini adalah 8 MP dengan nisbah 4:3 pada Mega dan 7 MP dengan nisbah 4:3 pada Z Ultra.

Jelas kelihatan gambar yang diambil menggunakan Galaxy Mega adalag lebih terang dan lebih tajam dari Z Ultra. Warnanya juga lebih panas dan kekuningan. Gambar dari Z Ultra sedikit kebiru-biruan. Sungguhpun begitu pada watu malam sebaliknya berlaku dimana gambar Z Ultra lebih jelas. Kami tidak menggunakan flash ketika mengambil gambar pada waktu malam. Untuk mod makro pula sekali lagi Mega mengalahkan Ultra. Gambar terhasil adalah lebih tajam dan terang. Di dalam situasi bilik yang gelap dengan hanya satu sumber cahaya pula perbezaan diantara dua gambar diambil tidak berapa ketara cuma kami sedari gamabr dari Mega sebih tajam,

Seperkara lagi yang kami gemar tentang kamera Mega ialah ia didatangani dengan pelbagai fungsi tambahan dan pratetapan bagi memudahkan penggunaannya. Jadi bolehlah dikatakan dari segi kemampuan kamera Mega dengan mudah mengalahkan Ultra.

Klik gambar-gambar di bawah untuk melihat mereka pada resolusi asal 

Penanda Aras

Apabila ujian penanda aras dilakukan Samsung Galxy Mega ia mencatatkan 6852 markah pada penanda aras Quadrant dan 13699 markah pada penanda aras Antutu. Markah yang dicatatkan adalah memuaskan bagi sebuah peranti dua teras. Jika anda masih ingat minggu lalu kami melakukan ujian yang sama pada Alcatel One Touch Idol X.

Untuk ujian Quadarant, Mega mempunyai markah yang lebih tinggi berbanding Idol X (5760)  yang merupakan sebuah peranti empat teras. Bagi menguji kemampuan grafik pula kami melakukan ujian Futuremark dan Galaxy Mega mengumpul 4420 markah. Dari gambar di bawah anda boleh melihat kemampuan grafik Galaxy Mega hampir setanding dengan Galaxy SIII. Kami tidak menemui sebarang masalah besar sepanjang tempoh ulasan dilakukan. Harus dinyatakan peranti hanya mengalami masalah reboot secara tiba-tiba sebanyak 2 kali sepanjang 3 minggu tempoh ujian.

xperia-z-penanda-aras

xperia-z-penanda-aras

Bateri

Kapasiti bateri Mega adalah besar dengan 3200 mAh. Pada penggunaan ringan ia mempu bertahan selama 34 jam tetapi pada penggunaan berat ia mampu bertahan selama 7-8 jam. Ini bermakna Mega mempunyai ketahanan bateri yang setanding dengan majoriti peranti di pasaran sekarang. Kami juga melakukan ujian bateri Antutu dan ia mengumpul 831 markah. Kami tidak pernah menggunakan penanda aras bateri ini sebelum ini jadi perbandingan dengan peranti lain tidak dapat dilakukan. Tetapi markah ini akan dijadikan rujukan untuk ulasan peranti lain di masa hadapan.

xperia-Z-prestasi-bateri

xperia-Z-prestasi-bateri

Kesimpulan

Sejak kebelakangan ini Samsung mengeluarkan terlalu banyak peranti sehingga majoriti pengguna mengalami masalah membezakan produk dan memilih peranti manakah yang sesuai dengan gaya hidup mereka. Galaxy Mega dihasilkan bagi bersaing dengan Huawei Ascend Mate dan juga Xperia Z Ultra. Dari segi spesifikasi Mega terletak ditengah-tengan dua peranti ini.

Dari segi kemampuan melakukan tugasan harian Mega melakukannya tanpa mengalami masalah besar. Skrin besarnya memaparkan gambar yang terang serta mempunyai kelajuan tatalan yang lancar sungguhpun bukan pada resolusi HD Penuh. Fungsi eksklusif Samsung seperti smart stay , multi window dan air view memberi nilai tambahan kepada  Mega kerana ianya tidak wujud pada peranti pesaing. Ketahanan bateri pula setanding dengan peranti-peranti lain.

Kemampuan kamera Mega juga lebih baik dan sekali lagi beberapa fungsi tambahan Samsung membuatkannya lebih mesra pengguna berbanding pesaing. Kelemahan Mega masih dari segi kemasannya yang masih plastik sedangkan pesaing nenggunakan rekaan kaca dan aluminium. Di akhir hari anda harus memilih diantara kualiti kemasan ataupun kemampuan peranti itu sebelum memilih yang mana lebih anda minati.  Pada harga saranan RM1599 kami rasakan Samsung Galaxy Mega memang berbaloi untuk dimiliki oleh mereka yang mahukan peranti bersaiz phablet macro/tablet mini dengan harga yang tidak terlaku merobek-kocek sehingga terpaksa makan mee segera selama 6 purnama.

PRO dan Kelebihan
  • Skrin besar yang terang dan cantik sesuai untuk mereka yang gemar bermain permainan komputer dan menonton video pada peranti mudah alih
  • Kelajuan tatalan yang lancar untuk sebuah peranti dengan spesifikasi yang tidak mempunyai spesifikasi tinggi.
  • Fungsi tambahan eksklusif Samsung membezakan Mega dari pesaing lain di pasaran dan kesemua fungsi yang disertakan adalah berguna untuk pengguna.
  • Boleh berfungsi di dalam mod tablet.
KONTRA dan Kekurangan
  • Saiz yang agak besar mungkin sedikit sukar untuk digenggam
  • Masih ada beberapa aplikasi yang belum dioptimasikan seperti Instagram.
  • Rekaan masih plastik
  • Samsung Galaxy Mega dijual pada harga RM 1599 .
Komen