Hari ini, pihak Microsoft secara rasminya telah pun memperkenalkan tablet berasaskan Windows mereka yang terkini, iaitu Surface Pro 2.0. Seperti versi sebelum ini, ia mengekalkan saiz skrin 10.6-inci, dan menjalankan sistem operasi Windows penuh.
Disasarkan untuk golongan profesional
Menurut Microsoft, kini skrinnya memaparkan warna dengan lebih baik, disamping ia turut dilengkapi dengan teknologi speaker daripada pihak Dolby. Dari segi prestasi pula, Microsoft mengatakan prestasi tablet ini lebih pantas berbanding 95% komputer riba pada tahun 2013 ini.
Bersama-sama peningkatan prestasi, Surface Pro 2 juga turut membawakan prestasi grafik sehingga 50% berbanding sebelumnya. Prestasi keseluruhan Surface Pro 2 ini turut dikatakan dipertingkatkan sehingga 20% berbanding generasi sebelumnya. Pihak Microsoft turut memberikan perhatian kepada bahagian kickstand, dimana kini ia lebih sesuai untuk digunakan walaupun pada atas riba.
Dengan dilengkapi cip Intel Haswell, selain membawakan peningkatan prestasi dan juga grafik, ia juga memberikan kesan positif kepada bateri. Menurut Microsoft, Surface Pro 2 membawakan prestasi bateri lebih 75% baik berbanding sebelumnya.
Bersama-sama dengan pengenalan Surface Pro 2, pihak Microsoft juga turut sama memperkenalkan papan kekunci boleh tanggal yang serba baru, dinamakan Power Cover. Ia dikatakan membawakan tambahan bateri 30wh kepada pengguna dengan menggunakannya.
Selain itu, aksesori lain yang turut diperkenalkan adalah Surface Docking Station, membawakan beberapa penambahan, termasuk kebolehan untuk menghubungkan ia ke skrin lain.
Dan melengkapkan pilihan papan kekunci boleh tanggal adalah Type Cover 2, dimana hadir dalam empat pilihan warna – merah jambu, biru, ungu dan juga black. Type Cover 2 turut sama hadir dengan sokongan backlit padanya.
Secara keseluruhannya, selain daripada aksesori seperti Power Cover dan juga Type Cover 2, Surface Pro 2 turut sama membawakan prestasi yang lebih baik, masa penggunaan yang lebih lama, dan juga sokongan kickstand yang sesuai untuk pelbagai kegunaan.