Cari @ Amanz

Selepas pengumuman Surface Pro 2.0 dan juga Surface 2, pasukan disebalik Surface telah mengambil masa menjawab beberapa pertanyaan popular di laman terkemuka Reddit.

Daripada persoalan yang diajukan para pengguna, salah satu soalan popular adalah sokongan aksesori baru yang diperkenalkan.

Menjawabnya, pihak Surface mengatakan yang mana aksesori baru seperti Power Cover dan juga Surface Docking akan berfungsi tanpa masalah pada Surface Pro generasi pertama, tetapi tidak boleh digunakan pada Surface RT.

Aksesori asal dan sedia ada seperti pen digital dan juga pengecas bateri juga boleh digunakan pada Surface Pro 2, dan begitu juga sebaliknya.

Pihak Surface juga turut mengatakan yang mana bahagian pengecas telah diberikan nafas baru, dan kini pengguna boleh melihat nyalaan LED daripada pelbagai sudut, selain memudahkan ia dihubungkan kepada Surface.

Selain itu, bagi mereka yang inginkan versi LTE, pihak Surface mengatakan ia akan hadir pada awal tahun 2014 kelak, sekaligus bersesuaian dengan mereka yang sering bekerja dan memerlukan akses internet kemana sahaja mereka pergi.

Surface Pro 2 dan juga Surface 2 dilihat memfokuskan kepada sokongan masa bertahan bateri yang lebih lama, disamping turut membawakan beberapa kemaskini, termasuk pada bahagian kickstand, serta meningkatkan lagi prestasi dan sokongan grafik padanya.

Buat masa ini, masih tiada sebarang tarikh rasmi berkenaan bilakah Surface 2 dan Surface Pro 2 akan hadir ke pasaran Malaysia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd