Apple hari ini mengemaskini halaman iMac di Apple Store, sekaligus mula menawarkan iMac baru dengan beberapa kemaskini, termasuk salah satunya adalah penggunaan cip pemprosesan Intel generasi ke-4.
iMac baru kini hadir dengan versi asas menggunakan cip pemprosesan Intel Core i5 2.7GHz, selain mana turut didatangkan dengan beberapa pilihan – sehingga Intel Core i5 3.4GHz.
Dari segi sokongan grafik, ia dilengkapi dengan Intel Iris Pro, selain mana pilihan dengan NVIDIA GeForce GT turut disediakan. Apple juga turut sama mengemaskini sokongan rangkaian dengan memperkenalkan sokongan 802.11ac.
Di Malaysia, versi asas hadir pada harga RM4299, yang mana turut membawakan ruangan storan sebesar 1TB dan juga memori 8GB bersama-sama dengannya. Bagi pengguna yang berminat, mungkin boleh merujuk halaman rasmi Apple Store Malaysia untuk maklumat lanjut berkaitan dengannya.