Carian
Uber Akan Hadir Ke Kuala Lumpur
October 8, 2013 Aman

Tahun ini nampaknya beberapa syarikat internet popular memasuki pasaran tempatan, dimana kini nampaknya pihak Uber turut sama akan hadir dan menawarkan perkhidmatan mereka untuk pengguna di Malaysia. Namun, tarikh pengenalan rasminya masih tidak diketahui lagi.

Bagi yang tidak mengenali Uber, ia merupakan salah satu perkhidmatan yang menghubungkan pengguna dengan pemandu kereta mewah dan teksi, sekaligus memudahkan pengguna untuk tiba disesuatu destinasi dengan baik.

Ia menyediakan perkhidmatan melalui aplikasi khas, membolehkan pengguna melihat kedudukan semasa kenderaan, membuat tempahan, dan sebagainya. Berbeza dengan penggunaan teksi biasa, pembayaran dilakukan terus melalui Uber, dan bukannya kepada seseorang pemandu. Daripada apa yang diketahui, caj yang dikenakan adalah hampir 50% ke 75% lebih mahal berbanding teksi biasa, memandangkan jenis kenderaan yang digunakan adalah berbeza.

Buat masa ini, tarikh pasti berkenaan bilakah Uber akan diperkenalkan di Malaysia masih tidak diketahui. Namun, menariknya, mereka dilihat memfokuskan kepada pasaran tempatan, dan kedua-dua notis pencarian kerja Uber (GM & Community Manager), memfokuskan kepada mereka yang fasih berbahasa Malaysia. Sebuah akaun Twitter khas, dengan nama pengguna @Uber_KL juga dilihat telah mula digunakan.

Di rantau Asia Tenggara sahaja, buat masa ini, pihak uber sedia menawarkan perkhidmatan mereka di Singapura.

Di Malaysia, antara perkhidmatan yang menawarkan tempahan teksi biasa melalui aplikasi adalah MyTeksi dan juga TaxiMonger. Mungkinkah Uber dengan fokus kereta mewah akan menarik lebih ramai pengguna menggunakannya?

Komen