Google telah sedia bekerjasama dengan beberapa pengeluar dalam memperkenalkan Chromebook, dan terkini mereka bersama-sama dengan pihak HP memperkenalkan HP Chromebook 11. Komputer riba ini membawakan rekaan yang amat nipis, dan ringan, sekaligus memudahkan pengguna untuk membawanya ke mana-mana.
Salah satu perkara menarik untuk komputer riba ini adalah dimana ia menggunakan port pengecasan berasaskan mikro-USB, memudahkan pengguna untuk mencari pengecasnya, serta boleh menggunakan pengecas yang sama dengan beberapa telefon pintar dan tablet di pasaran pada hari ini.
Ciri-ciri lain termasuklah sokongan speaker pada bahagian bawah papan kekunci, sekaligus menawarkan kualiti bunyi yang baik berbanding beberapa komputer riba yang lain.
HP Chromebook 11 ini juga dikatakan membawakan beberapa elemen seumpama Chromebook Pixel, dan harganya adalah $279 (~RM892). Ia tidak lagi diketahui sama ada komputer riba berasaskan ChromeOS ini akan memasuki pasaran tempatan ataupun sebaliknya.