Cari @ Amanz

Berbeza dengan kebanyakkan acara keusahawanan dan teknologi yang selalunya dijalankan dalam medium bahasa Inggeris, beberapa hari yang lepas, bersempena dengan acara Global Entrepreneurship Summit (GES) 4 di Malaysia, salah satu acara yang telah diadakan adalah Jaringan Usahawan Nusantara Sedunia, yang mana menggunakan medium bahasa Malaysia melaluinya.

Objektif acara ini adalah untuk menjalin hubungan yang lebih erat antara usahawan serantau di mana JUNS menekankan kepelbagaian di dalam keusahawanan dengan tumpuan di berikan kepada usahasama teknologi, kreatif dan sosial yang bersifat Nusantara. Kebanyakan penceramah yang ditampilkan merupakan usahawan dari kalangan belia yang telah berjaya menempa tidak terhad pada kawasan serantau malahan popular serata dunia.

IMG_1640

Penting untuk usahawan Muslim bangkit dalam Jihad Ekonomi – Tan Sri Ali Hashim, Dewan Perdagangan Islam MalaysiaAcara yang berbentuk perkongsian ilmu ini memperlihatkan lebih daripada 200 orang usahawan di rantau Asia Tenggara hadir dan menyertainya. Ia telah dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Silmyi Sadek, iaitu penganjur acara Jaringan Usawahan Nusantara Sedunia ini, selain mana turut memperlihatkan perkongsian ilmu daripada beberapa ahli korporat dan usawahan yang lain.

Pada acara yang sama, Nadge Ariffin menekankan kepentingan untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu untuk kemajuan dan sinergi bisnes serantau. Seperti semua sedia maklum, bahasa Melayu yang digunakan sekarang adalah variasi dari bahasa Melayu di zaman kegemilangan Kesultanan Melaka. Namun, salah satu kekangan yang membuatkan ia digunakan secara meluas adalah perbezaan terma diantara satu negara dan lain di rantau ini.

Chuo Yuan Ping atau lebih dikenali dengan nama Chuo Tintoy turut mengambil pentas utama pada acara ini, bersama-sama dengan Pak Dain. Mereka berkongsi akan mengenai projek mereka iaitu Peperangan Bintang. Chuo memberitahu berkenaan seni wayang kulit yang makin pupus dan mula hilang di zaman hiburan elektronik ini. Apabila beliau berhasrat untuk menghidupkan semula seni ini dengan suntikan idea baru (iaitu melalui penceritaan Star Wars), Pak Dain, seorang Tok Dalang dalam seni wayang kulit telah menghubungi beliau menyatakan minat untuk membantu menghidupkan semula seni wayang kulit.

Pak Dain turut berkongsi perbezaan diantara beberapa jenis wayang kulit yang biasa dipersembahkan dan untuk tujuan Peperangan Bintang, wayang kulit Kelantan digunakan kerana ia mempunyai warna. Demi untuk memahami ceritera Star Wars, Pak Dain dan kumpulannya terpaksa menonton Star Wars, dan mereka tidak pernah menonton cerita tersebut sehinggalah Chuo muncul dengan idea ini. Mereka berhasrat untuk mengumpul sebanyak RM300,000 untuk perbelanjaan bagi menampilkan persembahan ini pada acara tahunan perjumpaan peminat Star Wars pada tahun hadapan – 2014.

Acara Jaringan Usahwawan Nusantara Sedunia ini juga turut memfokuskan kepada beberapa perkara termasuk pendaftaran syarikat dan sebagainya. Namun, salah satu perkara yang difokuskan adalah pemasaran mengikut trend SoLoMo – Sosial, Lokasi, dan Mobile.

Nik Hanif dari Innergia Group turut menekankan yang mana walaupun anda merupakan bos, ia merupakan salah satu kemestian untuk bekerja bermula dari bawah, sekaligus mendalami pelbagai urusan bisnes harian.

Hasnul Hadi yang gah dengan Rhythm & Hues Malaysia turut sama berkongsi pengalamannya bekerja di dalam syarikat efek kesan khas yang popular. Bagi mereka yang berkecimpung didalam industri kreatif pastinya mengetahui mengenai syarikat ini yang telah menghasilkan efek kesan khas untuk filem hebat seperti The Golden Compass & Life of Pi turut mengalami masalah muflis. Pengarah Life of Pi iaitu Ang Lee juga mengatakan yang peristiwa ini sesuatu yang sukar diterima dan berharap Rhythm & Hues dapat menyelesaikan masalah ini. Hasnul Hadi mengatakan yang mereka (Rhythm Hues Malaysia) sekarang beroperasi sebagai entiti berasingan. Beliau turut mengatakan perkara itu (cabaran mengendalikan syarikat kesan khas) satu yang normal malahan memberikan kesan kepada pelbagai syarikat, termasuk Pixar di Canada terpaksa ditutup baru-baru ini.

Ellynita Lamin dari Social Entreprise Alliance Malaysia turut tidak ketinggalan dalam bercerita mengenai projek beliau. Beliau telah bergiat didalam industri keusahawanan yang menitikberatkan faedah sosial terhadap masyarakat setempat. Kegiatan usahawan sebegini penting untuk membantu masyarakat di sekitar dan salah satu kawasan yang menjadi tumpuan mereka adalah Acheh. Sehingga sekarang, mereka telah melawat Acheh selepas beberapa ketika untuk melihat pertumbuhan ekonomi di kawasan yang dilanda tsunami.

Encik Ritakamal Sadiman yang kini menyandang jawatan Naib Presiden dalam MyNEF berkongsi mengenai peranan persatuan tersebut – iaitu untuk membantu syarikat bumiputera untuk mendapatkan projek serta mengembangkan bisnes kecil ke tahap seterusnya. MyNEF turut mempunyai banyak program untuk membantu usahawan tempatan dalam memperkasakan pasukan dan menggandakan keuntungan syarikat. Bagi usahawan tempatan yang berminat dengan program dan manfaat yang dibawakan oleh MyNEF, mereka perlu mendaftar sebagai ahli MyNEF terlebih dahulu dan menikmati beberapa kelebihan yang dibawakan olehnya.

Penaja acara ini iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) diwakili oleh Encik Othman Omar turut mengambil pentas utama, dan berkongsi mengenai program BizClub dibawah PKNS. Program ini merupakan satu platform untuk usahawan dan menyediakan ekosistem yang baik untuk syarikat yang baru bermula. Terdapat penyediaan dari segi latihan, program mentor dan juga pemasaran produk dan servis. Para usahawan juga diseru akan keperluan untuk melihat seluruh aspek bisnes seperti kewangan, aliran tunai, dan keuntungan syarikat. Pusat Bizpoint akan dibuka di Seksyen 7, Shah Alam, bermula November ini.

IMG_1656

Acara ini ditamatkan dengan pratonton wayang kulit Perperangan Bintang oleh Chuo Tintoy dan Pak Dain. Perperangan Bintang merupakan adaptasi karya Star Wars yang dilihat menyuntik kelainan kepada seni persembahan wayang kulit. Turut bersama untuk acara penutup ialah Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar. Didalam ucapan penutupnya, beliau menekankan kepentingan pembangunan usahawan muda dalam memangkin pertumbuhan ekonomi dan berkemungkinan program sebegini akan disambung pada tahun akan datang. Malah, menurut Silmyi, perancangan untuk JUNS 2014 sudah pun dimulakan hasil dari sambutan baik JUNS 2013.

Advertorial oleh Brand Geeks Inc.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd