Pencarian aplikasi Android yang dioptimasikan untuk paparan tablet boleh dikatakan agak sukar. Dan kini Google dilihat ingin mengubahnya, dan akan memperkenalkan beberapa perubahan pada Google Play Store tidak lama lagi, yang mana memberikan fokus untuk aplikasi yang dioptimasikan untuk tablet.
Perkara ini boleh dikatakan sebagai penambah-baikkan untuk sokongan “Designed for Tablets” yang diperkenalkan oleh Google sebelum ini.
Melalui kemaskini yang bakal diperkenalkan pada 21 November kelak, pihak Google bakal turut membolehkan pengguna tablet melihat aplikasi popular untuk tablet pada bahagian Top Paid, Top Free dan sebagainya.
Selain daripada itu, aplikasi yang tidak menepati ciri-ciri tablet, akan dilabelkan sebagai “Designed for Phones”, memudahkan lagi pengguna mengetahui sama ada aplikasi berkenaan dioptimasikan untuk tablet ataupun tidak.
Perkara ini juga mungkin akan memberikan titik tolak untuk lebih banyak aplikasi Android yang dioptimasikan untuk tablet hadir di PlayStore. Beberapa nama besar telah pun mula mengoptimasikan aplikasi mereka untuk tablet, dan salah satu yang terkini adalah Twitter.