Cari @ Amanz

Salah satu perkara yang sering dilakukan oleh pengguna pada peranti pintar mereka adalah mengambil dan menyimpan nota untuk rujukan kelak. Terdapat ratusan aplikasi yang menawarkan fungsi berkenaan, dan berikut adalah antara aplikasi popular yang memfokuskan fungsi ini.

Evernote

EvernoteSeperti semua sedia maklum, Evernote merupakan salah satu aplikasi yang sedia terkenal dalam menawarkan kemudahan untuk pengambilan nota.

Evernote sedia mempunyai sokongan pada pelbagai aplikasi utama, selain membolehkan pengguna mengaksesnya melalui desktop dan juga web.

Salah satu kelebihan pada Evernote adalah selain menyokong pengambilan nota dalam bentuk audio dan juga gambar, ia juga membawakan sokongan tag – memudahkan pencarian sesuatu nota pada masa akan datang.

Evernote ditawarkan secara percuma, dan turut didatangkan dengan pilihan akaun premium yang menyertakan beberapa fungsi tambahan.

Google Keep

Google KeepGoogle menawarkan Google Keep dalam fokus untuk memudahkan pengguna mengambil nota dan menyimpannya di Google Drive. Ia menyertakan sokongan antaramuka yang ringkas, selain mana turut menyertakan sokongan audio, rakaman gambar dan juga menyimpan nota dalam bentuk checklist.

Pengguna juga turut boleh mengarkibkan nota yang tidak dikehendaki, dan mengaksesnya pada masa akan datang. Untuk membezakan sesuatu kegunaan nota juga, pengguna boleh menambah kod warna berbeza antara satu sama yang lain.

Walaubagaimanapun, Google Keep hanya untuk pengguna Android sahaja buat masa ini, dan pengguna iOS dan platform lain perlu mengaksesnya melalui web buat masa ini.

OneNote

Microsoft OneNoteBagi yang aktif menggunakan akaun Microsoft, salah satu aplikasi memfokuskan kepada penyimpanan dan pengambilan nota yang interaktif adalah OneNote.

Microsoft OneNote sedia ditawarkan untuk pengguna desktop Windows, dan ia turut sama ditawarkan untuk pengguna Android dan juga iOS. Menariknya mengenai OneNote, ia memberikan lebih banyak sokongan pemformatan untuk sesuatu dokumen, dan pada masa yang sama menjadikan sesuatu nota itu konsisten paparannya pada pelbagai jenis peranti.

Microsoft OneNote membolehkan anda melihat pelbagai jenis nota, dan untuk tujuan sync dengan peranti lain, ia menggunakan sokongan SkyDrive untuknya.

SimpleNote

SimpleNoteSimpleNote telah diambil-alih oleh pihak Automattic (pembangun WordPress) pada tahun ini, dan baru-baru ini telah memperluaskan sokongan aplikasi berkenaan dengan menambah sokongan untuk pengguna Android.

Seperti pada nama ia, SimpleNote membawakan antaramuka yang amat ringkas, dan mudah digunakan. Ia turut sama membawakan sokongan tag, memudahkan pengguna untuk mencarinya pada masa akan datang.

Salah satu ciri menarik pada SimpleNote adalah ia menyokong versioning, memudahkan pengguna untuk mencari perubahan yang dilakukan pada sesuatu nota, dan mengakses kembali sesuatu nota pada sesuatu masa dengan mudah. SimpleNote juga turut menyertakan sokongan kolaborasi untuk tujuan kerja berkumpulan.

SpringPad

SpringPadSatu lagi aplikasi pengambilan nota yang agak menarik adalah SpringPad. Seperti kebanyakkannya, SpringPad turut menyokong beberapa platform popular, termasuk pelayar web Chrome dan juga Firefox.

SpringPad membolehkan pengguna mendaftarkan akaun menggunakan akaun Facebook, Twitter, Google dan sebagainya, selain mana menawarkan kemudahan untuk membuat beberapa Notebook untuk membezakan dan mengkategorikan nota-nota anda.

Sokongan popular lain seperti tag dan pewarnaan turut disertakan pada SpringPad. Pengguna juga boleh menetapkan sesuatu nota itu sebagai umum, serta memudahkan ahli SpringPad yang lain mencari dan mengaksesnya. Pengguna sendiri boleh membuat carian nota-nota menarik yang dikongsikan ahli komuniti lain melalui aplikasi ini.


Selain aplikasi-aplikasi ini, terdapat pelbagai aplikasi lain yang memfokuskan kepada sokongan pengambilan nota.

Jadi, bagi anda, apakah aplikasi yang digemari anda untuk tujuan tersebut?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd