Pada HTC One Max, salah satu sokongan yang disertakan bersama adalah sokongan pengimbas cap jari yang diletakkan pada bahagian belakang, dibawah kamera. Melaluinya, buat masa ini, ia menawarkan sokongan sekuriti, disamping membolehkan pengguna untuk membuat akses pantas ke sesuatu aplikasi menggunakannya.
Melalui pengimbas cap jari berkenaan, para pengguna akan terlebih dahulu diminta untuk mengimbas satu jari, kemudian ia akan digunakan untuk nyah-kunci peranti anda daripada lockscreen. Seperti biasa, pengguna juga boleh menetapkan kata laluan sekiranya ia gagal.
Pengimbas cap jari pada HTC One Max juga dilihat boleh menyokong sehingga 3 jari berbeza, membolehkan pengguna menetapkan sesuatu jari untuk fungsi yang berbeza.
Buat masa ini, sokongan pengimbas cap jari berkenaan tidak diintegrasikan secara menyeluruh memandangkan Android dilihat tidak menyertakan sebuah API khas untuknya. Mungkin dengan lebih banyak peranti yang hadir dengan sokongan pengimbas cap jari kelak, kita akan dapat melihat ia diintegrasikan dan digunakan dengan lebih baik pada sesuatu peranti.
Jadi, apa kata anda berkenaan dengan sokongan pengimbas cap jari pada HTC One Max ini?