Cari @ Amanz

Pada awal tahun ini, Sony memperlihatkan Sony Xperia Z, peranti tahan debu dan air Android pertama mereka. Xperia Z juga mejadi peranti pertama Sony yang menggunakan rekaan omnibalance yang kini digunakan secara meluas pada kesemua peranti keluarga Xperia daripada Sony. Xperia Z1 ialah peranti terkini keluarga Xperia dan ianya membawa beberapa penambah baikkan dari Xperia Z.

Spesifikasi Sony Xperia Z1
Cip 2.2  GHz (empat-teras) Snapdragon 800
Kamera Utama 20.4 Megapixel
Kamera Hadapan 2  Megapixel
Storan Terbina 16 Gigabyte . Sokongan kad MikroSD sehingga 64 GB
RAM 2 Gigabyte
Skrin 5″ HD Penuh
Bateri 3000 mAh

Dari segi fizikal ia masih mengekalkan rekaan ergonomik Xperia Z yang memudahkan pengendalian . Butang kuasa dan suara masih terletak di bahagian kanan peranti. Port pengecas MikroUSB dan MikroSD terletak di bahagian kiri. Pada bahagian kanan terletak slot MikroSIM.. Berbeza dengan XPeria Z, port fon kepala pada bahagian atas peranti tidak tertutup dengan pintu plastik. Pembesar suara Z1 pula terletak pada bahagian bawah dan saiznya kini lebih bersar. Secara keseluruhan kemasan Xperia Z1 adalah lebih kemas dan selesa dipegang dari Xperia Z dan Z Ultra.

Xperia Z1 juga lebih panjang berbanding Z sungguhpun kedua-duanya mempunyai skrin sebesar 5″. Ini adalah kerana bahagian bezel atas dan bawah Z1 adalah lebih besar bagi memudahkan anda memegangnya pada kedudukan lanskap. Dari segi spesifikasi Z1 dilengkapi pemproses 2.2 GHz empat teras Snapdragon 800 yang digunakan pada Z Ultra. Saiz muatan dalaman dan RAM juga serupa dengan makro-phablet Z Ultra. Perbezaan ketara hanyalah pada kamera utama yang kini membawakan sensor 20.4 Megapixel dengan teknologi G Lens. Menurut Sony, G Lens mereka akan menghasilkan imej yang setanding dengan teknologi lensa Carl Zeiss yang digunakan pada peranti Nokia.

[amanz-gallery]

Antaramuka

xperia-Z-antaramukaAntaramuka Xperia Z1 adalah serupa dengan Z Ultra cuma ia tidak menyokong antaramuka tablet apabila peranti dipegang pada kedudukan landskap. Tiada pembaharuan baru dilakukan oleh Sony untuk peranti ini.

Seperti Z Ultra, Z1 juga didatangi dengan sokongan memancarkan kandungan Youtube terus ke Playstation 3 atau Chromecast. Aplikasi Movies Unlimited Sony juga turut disertakan tetapi sekali lagi seperti Z Ultra fungsi ini tidak dapat digunakan oleh pengguna Malaysia. Kesimpulannya Z1 mempunyai kesemua kekuatan dan kelemahan fungsi yang ada pada Z Ultra. Bolehlah dikatakan kerana spesifikasi yang hampir serupa, Z1 ialah Z Ultra yang dikecilkan dan lebih mudah dipegang.

xperia-Z-kesemua-antaramuka

Kamera

Kamera 20.1 Megapixel dengan teknologi G Lens disertakan pada Z1. Menurut Sony, G Lens mampu memberikan kualiti gambar yang setanding dengan kamera mobil yang menggunakan lensa Carl Zeiss.  Lensa Z1 nyata lebih besar dari lensa yang diletakkan pada peranti Sony sebelum ini Z1. Selain pembaharuan dari segi fizikal, aplikasi kamera Z1 juga turut diberikan beberapa fungsi baru. Fungsi paling menarik pada hemat kami ialah AR Effect dimana objek 3D beranimasi muncul di dalam gambar yang diambil menggunakan teknologi Augmented Reality.

Timeshift Burst pula ialah fungsi baru dimana 61 gambar diambil dalam masa 2 saat sebelum dan selepas butang kamera ditekan bagi memastikan anda tidak ketinggalan menangkap sebarang aksi penting. Fungsi ini sebelum ini hanya kami temui pada kamera video kelas tinggi dan sudah sampai masanya ianya ada di dalam peranti pintar. Anda kemudian boleh memilih gambar yang anda ingin simpan dari 61 gambar yang diambil tadi.

Fungsi Social Live pula pula membolehkan anda melakukan rakaman video lintas langsung ke Facebook terus dari Xperia Z1. Fungsi ni pastinya berguna untuk majlis keraian dan ada saudara mara yang tidak mampu hadir.

Kami menggunakan Samsung Galaxy Note 3 untuk membezakan kualiti gambar yang diambil oleh Xperia Z1. Dari pengamatan kami gambar yang diambil oleh Xperia Z1 mempunyai warna yang lebih semulajadi berbanding Note 3. Gambar Note 3 jelas kelihatan lebih kekuningan. Gambar yang diambil menggunakan Z1 juga lebih tajam berbanding Note 3 apabila dilihat dengan lebih dekat.

Sungguhpun begitu Note 3 gambar Note 3 adalah lebih cerah apabila diambil di dalam suasana yang agak gelap. Gambar di bawa diambil kira-kira jam 6 petang dan gambar Z1 jauh lebih gelap tetapi tidak mengalami masalah overexposed sehingga awam hilang dari gambar yang diambil.

<

Secara keseluruhan kami rasakan gambar yang diambil oleh Z1 kelihatan lebih tajam mempunyai penghasilan warna yang lebih semulajadi. Namum pada tetapan auto kesemua gambar yang kami ambil menggunakan Z1 adalah agak gelap. Kami lebih sukakan gambar yang diambil oleh Note 3 kerana ianya lebih terang. Untuk gambar yang dikongsi di laman sosial kami rasakan keperincian serta kualiti gambar yang diambil menggunakan Z1 tidak akan disedari kecuali anda melihatnya pada jarak dekat.

Fungsi AR Effect adalah unik dan menarik tetapi ianya mungkin tidak akan digunakan oleh anda selepas beberapa minggu. Apa yang kami rasakan bagus ialah aplikasi kamera Z1 adalah seperti LUMIA dimana fungsi tambahan boleh dimuat turun.  Kami berharap lebih banyak lagi fungsi tambahan akan dihasilkan oleh Sony dan pihak ketiga  di masa akan datang,

Penanda Aras

Z1 dan Z Ultra mempunyai spesifikasi pemproses dan RAM yang serupa tetapi apabila ujian penanda aras dilakukan Z1 mencatat markah yang lebih tinggi. Untuk ujian Quadrant Z1 mencatatkan 20534 berbanding 19795 pada Z Ultra. Pada ujian Antutu pula Z1 mencatat 33759 berbanding 33546 pada Z Ultra.

Perbezaan diantara dua peranti ini adalah kecil dan dari pengalaman kami markah penanda aras yang tinggi tidak menjamin kelancaran melakukan tugasan. Dalam ujian Futuremark pula Z1 mencatat 17572 markah. Kali ini aneh sekali markah yang dicatatkan rendah sedikit dari Z Ultra iaitu 17599.

Sepanjang tempoh ujian kami mengalami dua masalah besar dimana skrin peranti gagal berfungsi selepas melakukan penaiktarafan sistem operasi. Hanya dengan mengembalikan kembali Z1 kepada factory setting barulah masalah ini dapat diselesaikan. Kami mendapati masalah ini juga berlaku kepada beberapa pemilik Z1 diluar sana tetapi buat masa ini kami tidak pasti sama ada peratusan yang mengalami masalah ini tinggi ataupun tidak.

xperia-z-penanda-aras
xperia-z-penanda-aras

Bateri

Dengan bateri sebesar 3000 mAh, Xperia Z1 mampu bertahan sehingga 13 jam pada penggunaan sederhana. Pada penggunaan lebih intensif kami mendapati ia mampu bertahan sehingga 9 jam. Ini adalah jangka hayat biasa majoriti telefon pintar yang ada dipasaran.  Apabila ujian Antutu dilakukan, bateri Z1 mencatat 477 markah.

xperia-Z-prestasi-bateri

xperia-Z-prestasi-bateri

Kesimpulan

Sony Xperia Z1 membawakan beberapa penambahbaikkan berbanding Xperia Z yang dikeluarkan awal tahun ini. Rekaan Z1 lebih kemas dan mesra pengguna. Pintu kalis air yang menutup port MikroUSD, kad MikroSD dan KadSIM kali ini boleh berputar dengan sepenuhnya bagi memudahkan akses. Kemasan tepi Z1 juga lebih lembut berbanding Z Ultra dan Z sebelum ini – membuatkan ianya lebih selesa dipegang.

Sony juga meletakkan semula butang kamera khas pada Z1 dan ini memudahkan pelancaran aplikasi kamera serta penggunaan peranti ketika di dalam air. Kami cuma kecewa dengan Sony yang masih menggunakan pembesar suara mono pada peranti ini.

Dari segi kemampuan Z1 mampu melakukan tugasan harian anda dengan baik. Aplikasi permainan komputer 3D dalam dimainkan dengan lancar tanpa masalah lengah masa. Markah ujian penanda arasnya juga adalah antara yang tertinggi sekarang. Kemampuan optik Z1 juga dipertingkatkan dengan sensor sebesar 20.1 Megapixel serta teknologi Lens. Fungsi AR Effect,  Timeshfit Burst dan Social Live adalah tiga fungsi unik yang kami hanya temui pada peranti ini.

Fungsi  kamera Z1 juga boleh ditambah pada masa hadapan oleh Sony bagi memberikan pengguna lebih banyak pilihan mode mengambil gambar. Dari segi kualiti gambar Z1 mengambil gambar yang tajam dengan penghasilan warna yang semulajadi. Tetapi kami sedari gambar yang diambil adalah lebih gelap berbanding peranti lain di pasaran. Masalah kegelapan ini dapat diselesaikan dengan menggunakan kemera di dalam mod manual. Sony ada mengeluarkan kemasan untuk menyelesaikan masalah ini tetapi setelah seminggu ianya dikeluarkn kami masih belum dapat melakukan kemasan ini maka ulasan ditulis bedasarkan versi aplikasi kamera lama. Kami akan cuba melakukan perbezaan kualiti gambar sebelum dan selepas kemasan dilakukan pada masa akan datang.

Kemampuan bateri 3000 mAh Z1 adalah cukup memuaskan dengan jangka hayat bateri sehingga 12 jam pada penggunaan sederhana dan sekitar 9 jam pada penggunaan berat. Kesimpulannya Z1 ialah antara peranti Android yang paling berkuasa di pasaran sekarang. Ia tidak leceh digunakan dan kesemua tugasan yang diberikan dapat dilakukan dengan lancar. Masalah yang kami hadapi cuma skrin gagal berfungsi selepas penaiktarafan sistem operasi dijalankan dan ini hanya dapat diselesaikan dengan melakukan tetapan semula peranti kepada tetapan asal kilang. Kerana kemampuan pemproses yang tinggi , kualiti kemasa yang baik serta fungsi kamera yang baik kami meletakkan Sony Xperia Z1 ditangga paling atas carta peranti Android bersaiz 5″. Tetapi jika anda sudahpun memiliki Xperia Z ataupun HTC One, anda tidak perlu melakukan pembelian baru. Peranti yang anda miliki sekarang tidak banyak jauh bezanya berbanding Z1.

PRO dan Kelebihan
  • Paparan skrin Triluminous yang cantik. Seperti Z Ultra anda boleh menggunakan mata pen yang mengalirkan elektrik sebagai stylus pada Xperia Z1 ini.
  • Kemasan yang bukan sahaja kemas dan cantik tetapi selesa dipegang tidak seperti Z Ultra yang agak tajam. Pintu penutup port pada bahagian kini berputar secara bebas dan tidak menghalang akses kepada port seperti pada Xperia Z
  • Kemampuam grafik dan pemproses yang tinggi. Antara peranti paling berkuasa di pasaran sekarang.
  • Fungi baru kamera yang unik. Kemampuan mengambil 120 gambar dalam masa 2 saat adalah mengagumkan. Fungsi AR Effect pula adalah unik walaupun adalah sebuah gimik. Social Live pula memudahkan anda melakukan liputan video secara langsung ke laman Facebook.
  • Tahan air dan debu.
KONTRA dan Kekurangan
  • Berlaku beberapa masalah kronik seperti skrin yang enggan menyala walaupun peranti masih berfungsi disamping kadang-kala masa yang diambil untuk boot-up agak lama. Kami mengalami dua masalah ini dan dari forum yang kami lawati masalah ini dialami sebahagian kecil pengguna Z1 seluruh dunia. Masih tiada jawapan rasmi dari Sony tentang masalah ini.
  • Gambar yang diambil agak gelap. Sony mengeluarkan kemasan terkini untuk fungsi kamera bagi menyelesaikan masalah ini tetapi semasa ulasan ditulis pengguna Malaysia masih belum boleh melakukan kemasan ini.
  • Xperia Z1 direka sebagai peranti menonton media di atas talian. Malangnya fungsi terbina seperti Playstation Network dan Videos Unlimited tidak disokong di Malaysia.
  • Info
  • Sony Xperia Z1 dijual pada harga RM 2399 .
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd