Ketika pengenalan, Galaxy Gear hanya serasi dengan Galaxy Note 3 dan juga Galaxy Note 10.1 sahaja, dan pihak Samsung telah sedia mengatakan ia akan menyokong lebih banyak peranti dari masa ke semasa.
Kini, melalui pengumuman rasmi pihak Samsung, gergasi elektronik dari Korea Selatan tersebut mengatakan Galaxy Gear akan boleh digunakan bersama-sama Galaxy S4, Galaxy S3 dan juga Galaxy Note 2 selepas sebuah kemaskini ke Android 4.3 Jelly Bean. Kemaskini ini bakal diperkenalkan secara berperingkat, bermula dari bulan Oktober ini.
Selain peranti tersebut, Samsung juga turut mengatakan yang mana Galaxy S4 Mini, S4 Active, Mega 5.8, Mega 6.3 dan juga S4 Zoom turut sama akan menerima kemaskini untuk menyokong Galaxy Gear ini. Kemaskini ini dijangka akan diperkenalkan bermula penghujung Oktober ini.
Galaxy Gear merupakan jam tangan pintar daripada Samsung, membolehkan pengguna untuk menerima notifikasi dari pelbagai aplikasi, menerima panggilan suara, melihat SMS yang diterima, selain mana turut menggunakan pelbagai sensor terbina padanya, termasuk sebuah kamera untuk tujuan rakaman gambar.
Di Malaysia, Galaxy Gear ditawarkan pada harga RM999.