Cari @ Amanz

Hari ini, Perdana Menteri kita telah pun mengumumkan Belanjawan 2014, memperlihatkan beberapa pengumuman berkaitan dengan arena ICT dan teknologi turut mendapat perhatian ramai.

Bajet 2014

Melalui Belanjawan 2014 yang diumumkan, ia dilihat kerajaan akan mula melaksanakan fasa kedua untuk projek jalur-lebar berkelajuan tinggi (HSBB) yang mana akan memperluaskan liputan rangkaian internet ke lebih banyak bandar-bandar utama di Malaysia.

Untuk tujuan fasa kedua HSBB ini, sebanyak RM1.8 bilion diperuntukkan oleh kerajaan. Kelajuan internet dijangka akan mencapai 10Mbps. Untuk luar bandar pula, kelajuan internet dijangka akan dipertingkatkan kepada antara 4Mbps ke 10Mbps.

Selain daripada itu, Perdana Menteri juga turut mengumumkan yang mana sebanyak lebih 1000 pemancar telekomunikasi akan dibina sekitar Malaysia dalam usaha untuk meningkatkan liputan internet di luar bandar. Untuk tujuan ini, sebanyak RM1.5 bilion diperuntukkan.

Bagi meningkatkan capaian internet di Sabah dan Sarawak pula, kabel internet bawah-tanah baru akan dipasang, dan menawarkan internet berkelajuan tinggi di negeri-negeri berkenaan. Pemasangan kabel internet bawah tanah ini dijangka akan diselesaikan dalam masa tiga tahun.

Dengan perlaksanaan pelbagai perkara ini, pengguna internet di Malaysia dijangka akan meningkat kepada 25 juta orang menjelang tahun 2015, berbanding hanya 18 juta pada tahun 2012.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd