Mungkinkah Lebih Ramai Pembangun Membangunkan Aplikasi Untuk Samsung?

Mungkinkah Lebih Ramai Pembangun Membangunkan Aplikasi Untuk Samsung?

Diterbitkan pada Okt 29, 2013 oleh .

Samsung sedia terkenal dalam arena pengeluaran peranti elektronik, daripada telefon pintar hinggalah kepada televisyen, mesin basuh, penghawa dingin dan sebagainya. Selain dalam arena pengeluaran peranti, kini Samsung juga telah mula memfokuskan kepada arena perisian dan aplikasi.

Melalui acara Samsung Developer Conference yang diadakan hari ini, pihak Samsung berkongsi beberapa perkara, termasuk melancarkan SDK terbaru mereka dengan sokongan kepada multiscreen dalam usaha memudahkan pembangun hadir dengan aplikasi yang dioptimasikan dari skrin peranti mudah-alih ke skrin televisyen.

Samsung SDC 2013

Perkara ini sekaligus memudahkan pembangun dalam hadir dengan aplikasi yang dihubungkan ke pelbagai peranti dari saiz skrin berbeza.

Apa yang dapat dilihat daripada acara ini juga adalah dimana Samsung ingin pembangun hadir dengan aplikasi yang lebih dioptimasikan untuk peranti mereka. Beberapa aplikasi dipertontonkan pada acara ini, termasuk salah satunya adalah aplikasi Twitter untuk tablet yang khusus untuk Galaxy Note 10.1 2014 buat masa ini.

Samsung SDC 2013

Samsung SDC 2013

Pada acara yang sama, pihak Samsung juga turut berkongsi beberapa perkhidmatan sedia ada daripada mereka, dan salah satunya adalah Samsung AdHub yang membolehkan pembangun mengintegrasikan iklan dengan mudah pada aplikasi mereka dan menjana wang melaluinya. Samsung juga turut dilihat berkongsi mengenai API untuk ChatOn dan juga Samsung Wallet pada acara sama.

Pelbagai perkembangan ini memperlihatkan Samsung ingin menarik lebih ramai pembangun untuk platform mereka, sekaligus akan menguntungkan pengguna peranti Samsung. Menurut Samsung, pada tahun lepas sahaja lebih 250 juta peranti telah terjual dan sebanyak 2 televisyen pintar dijual mereka setiap saat.

Samsung SDC 2013

Dengan Samsung melangkah ke arena perisian dan aplikasi dengan lebih serius kini, mungkinkah kita akan melihat ia bersaing dengan lebih sihat dengan Apple? Apakah lebih ramai pembangun akan turut memfokuskan pembangunan aplikasi yang menggunakan SDK daripada Samsung?


TIPS & ULASAN