Pada Google I/O yang lepas, pihak Google telah memperkenalkan sebuah fungsi baru pada Google+, dinamakan sebagai Auto Awesome. Hari ini, fungsi tersebut dikemaskini dengan beberapa sokongan baru.
Bagi yang tidak menggunakan Google+, Auto Awesome merupakan salah satu fungsi pada laman sosial Google yang membolehkan pelbagai gambar yang dirakamkan dan dimuat-naik ditambah baik kualiti, serta dioptimasikan untuk paparan pengguna.
Hari ini, Google menambah sokongan baru pada fungsi tersebut, dimana antaranya adalah Action dan juga Eraser.
Melalui sokongan Action, ia membolehkan pengguna untuk menambah beberapa gambar berbentuk gerakan dan menyatukannya dalam satu gambar. Sementara untuk Eraser pula, ia membolehkan beberapa gambar dibandingkan dan membuang objek yang menganggu pada gambar tersebut.
Kedua-dua fungsi ini sedia ditawarkan beberapa pengeluar peranti melalui sokongan kamera mereka, dan kini Google juga turut mengintegrasikannya pada perkhidmatan Google+ Photos.