Cari @ Amanz

OS X Mavericks

Keindahan Mavericks dikecapi dengan hasil pemodenan California dalam menongkah arus zaman. Indahnya Mavericks turut diserikan pada sistem operasi Apple yang kini ditampilkan dengan perubahan signifikan menjadikan ia salah satu sistem operasi OS X terbaik sehingga hari ini. OS X kini tidak lagi tampil menggunakan nama yang berasaskan harimau seperti sebelum ini dan mula mengambil nama tempat menarik di sekitar California sebagai nama utama versi OS X.

Apple memilih Mavericks kerana indah alam semula jadinya selain ketinggian ombaknya yang menjadi destinasi idaman para peluncur di serata dunia. Sekiranya ini diterjemahkan dalam bahasa misi Apple, syarikat gergasi ini ingin membawa ‘aura’ yang dikecapi Mavericks ke dalam versi OS X mereka. Nama Mavericks dilihat mempunyai nilai tersendiri di dalamnya dan kini hanya terletak pada Apple sahaja yang menentukan sejauh mana OS X 10.9 ini beroperasi. Mampukah OS X 10.9 mencerminkan imej yang dibawa Mavericks ini? Ikuti ulasan penulis di bawah.

Pemasangan

Sama seperti Mountain Lion, penaik tarafan ke Mavericks turut diedarkan melalui App Store. Cuma apa yang membezakannya dengan Mountain Lion, penaik tarafan ke sistem operasi versi baru tidak lagi dikenakan bayaran $19.99 USD seperti sebelum ini dan Mavericks boleh didapati secara percuma tanpa sebarang caj tambahan. Selepas memuat turun fail pemasangan Mavericks sebesar 5.29GB, ia mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk proses pemasangan pada Macbook White Early 2009 yang menampilkan spesifikasi Intel Core 2 Duo 2.0GHz dengan muatan memori RAM sebanyak 4GB dan cakera keras SATA 120GB.

Selepas proses pemasangan, pengguna akan dibawa ke paparan desktop yang kelihatan sudah biasa dilihat pada sebelum ini melainkan latar belakang sahaja yang menampilkan perubahan. Seperti namanya, Mavericks membawakan latar belakang desktop berasaskan ombak dengan elemen warna hijau sebagai teras utama.

OS X Mavericks

Aplikasi dan Fungsi

Calendar
Mavericks - CalendarAplikasi Calendar kini tidak lagi hadir dengan paparan kulit dan helaian kertas skeumorphism malah digantikan dengan paparan ringkas serta minimalist seperti antara muka Google Calendar. Kini anda boleh meletakkan nota dan orang yang anda akan ajak ke sesuatu acara terus melalui Week atau Month view. Anda juga boleh membuat klik pada sesuatu acara pada kalendar dan mengemas kini data daripada Facebook Events sekiranya anda telah log masuk akaun Facebook anda pada menu tetapan jaringan sosial dalam OS X Mavericks.

Notes dan Contacts
Aplikasi Notes dan Contacts juga turut menerima perubahan antara muka seperti Calendar yang mana tidak lagi menggunakan antara muka berasakan skeumorphism. Contacts kini kelihatan lebih seperti aplikasi e-mail dengan paparan kolum yang menampilkan senarai nama pada sebelah kiri dan maklumat tentang sesuatu kenalan pada bahagian utama dan tidak lagi menggunakan antara muka berasaskan buku seperti sebelum ini. Notes juga turut menampilkan antara muka minimalist berbanding sebelum ini menggunakan elemen kertas kuning realistik sebagai tunjang utama antara muka. Melalui Notes pada Mavericks, ia hadir dengan dua kolum yang menempatkan senarai nota pada bahagian sidebar dan paparan utama yang membolehkan pengguna menulis padanya.

Dengan menampilkan perubahan antara muka pada dalaman aplikasi, Apple dilihat masih tidak mengubah reka bentuk ikon yang hadir bersama aplikasi-aplikasi ini. Ikon Notes masih lagi menggunakan buku nota kuning realistik apatah lagi ikon Calendar dan Contacts yang masih tidak menerima perubahan sejak bertahun lamanya. Aplikasi-aplikasi yang kini telah menerima perubahan antara muka seharusnya juga menerima perubahan ikon pada aplikasi dan hasilnya, Mavericks masih kelihatan tidak diberikan identiti tersendiri.
Aplikasi teras juga tidak banyak berubah di dalam Mavericks. Aplikasi Mail dan Messages dilihat tidak dihadirkan sebarang perubahan dan pembaharuan malah merupakan aplikasi yang sama seperti yang ada di Mountain Lion. Ini sepatutnya tidak berlaku kepada Mavericks memandangkan Mavericks merupakan sistem operasi ‘major’ di dalam versi OS X.

iBooks
iBooks antara salah satu aplikasi baru yang turut hadir bersama Mavericks. Aplikasi ini sudah sedia hadir pada platform iOS dan nampaknya Apple turut tidak ketinggalan untuk membawanya pada platform desktop. Melalui iBooks, pengguna boleh menjadikan ia sebagai hub untuk buku digital dengan beberapa kelebihan yang tersedia padanya seperti kebolehan sync antara peranti. Walau bagaimanapun, fungsi App Store di dalam iBooks masih lagi dilihat tidak lagi hadir secara sepenuhnya untuk pengguna tempatan. Untuk menjadikan iBooks lebih berguna buat masa ini, fungsi import pada iBooks membolehkan anda membawa masuk file .epub dan .pdf ke dalam iBooks tanpa sebarang masalah.

OS X Mavericks - iBooksAnda juga boleh menggunakan trackpad untuk mengawal halaman pada iBooks dan seiring dengan rekaan minimal yang dibawa oleh Apple, iBooks juga tidak lagi membawakan animasi selakan kertas skeumorphism pada iBooks untuk OS X Mavericks. Melalui trackpad juga anda boleh mengawal zoom pada halaman buku selain turut didatangkan bersama beberapa kawalan seperti mengubah warna tema dan kawalan mengubah jenis dan saiz font. Walaupun ia hadir dengan kebolehan yang serupa sama seperti aplikasi iOS, ia masih tidak dapat membawakan keseronokan ketika membaca menggunakan iBooks pada iPad. Secara peribadi, membaca buku elektronik pada paparan komputer dilihat agak tidak efisien malah menjadikan buku yang dibaca suatu alat untuk melelapkan mata.

OS X Mavericks - Maps

Maps
Selain aplikasi iBooks yang dilihat satu aplikasi yang kurang berkesan pada Mavericks, aplikasi Maps juga bakal menerima reaksi yang sama. Saya sendiri tidak pasti sama ada aplikasi ini berguna untuk anda memandang aplikasi Apple Maps sudah sedia terkenal dengan kelemahan sistem pemetaan yang kurang tepat pada sebelum ini. Jika dibandingkan dengan maps.google.com, ia masih tidak memberi sebarang kelebihan malah masih sukar untuk membuatkan pengguna beralih menggunakan Apple Maps ini.

Namun begitu, aplikasi Maps yang dibina di dalam Mavericks masih dikira agak baik dari segi pengalaman pengguna. Rekaan antara mukanya juga kemas dan mudah untuk digunakan bagi pengguna biasa. Ia juga turut didatangkan dengan kebolehan sync yang membolehkan anda menghantar senarai tempat dan navigasi ke peranti iOS anda. Cuma saya kira aplikasi Maps di dalam desktop dilihat agak tidak perlu buat masa ini memandangkan maps.google.com dilihat masih menjadi keutamaan sebagai rujukan untuk navigasi dan alat pemetaan.

Reminders dan Games Center
OS X MavericksAplikasi Reminders dan Games Center masih lagi mengekalkan rekabentuk yang sama malah aplikasi yang sama seperti yang terdapat pada Mountain Lion. Ia tidak berubah dari segi kawalan dan antara muka dan masih lagi mengekalkan elemen skeumorphism. Ia menjadikan seolah-olah memberi gambaran Mavericks sebuah suatu sistem operasi yang tidak siap pada pandangan penulis dan sepatutnya Apple mengemaskini aplikasi ini seperti mana yang dilakukan pada aplikasi Notes, Contacts, dan Calendar. Yang lebih menghairankan, aplikasi Reminders telah diberi pembaharuan pada iOS 7, sama seperti Games Center yang telah diberi nafas baru pada ikon serta antara muka dan premis ini meninggalkan tanda tanya ‘kenapa’ dan ‘mengapa’ Mavericks tidak dihadirkan perkara yang sedemikian rupa.

Sync
Bercakap mengenai sync, OS X Mavericks dilihat cukup sempurna menjalankan fungsi ini dan saya tidak mempunyai sebarang masalah mengenainya. Melalui Mavericks, ia membolehkan anda sync beberapa maklumat seperti Contacts dan Calendar melalui iCloud dan sekiranya anda menggunakan pelayan sync seperti Google, proses untuk mengaktifkan fungsi sync ini dilihat sangat mudah dengan hanya membuat log masuk akaun Google anda pada tetapan sync di dalam Mavericks. Sama seperti OS X sebelum ini, ia juga menampilkan protokol sync CardDAV dan CalDAV yang membolehkan anda menambah tetapan sync Contacts dan Calendar sekiranya tetapan sync yang sedia ada tidak menepati pilihan anda.

Safari
Bersama-sama Mavericks, Apple turut menambah baik aplikasi pelayar web Safari. Safari kini dilihat berfungsi dengan lebih pantas, lebih ringan, dan lebih responsif hasil daripada optimasi kelajuan JavaScript dan pengurusan memori yang lebih baik di dalam Mavericks. Sama seperti Google Chrome, setiap laman web yang dibuka melalui tab ataupun dalam window baru kini menjalankan system process yang tersendiri untuk memastikan sesi pelayaran tidak terkandas (crash) apabila salah satu laman web atau plug-in dilihat tidak beberapa responsif.

Melalui Safari, Apple juga turut menambah baik sokongan jaringan sosial bersama-sama dengannya. Sekiranya anda telah mengaktifkan tetapan sosial seperti LinkedIn dan Twitter pada Mavericks, Safari akan membawakan kemaskini pada halaman Shared Links yang terletak pada bahagian sidebar Safari, menempatkan senarai laman web yang telah dikongsi oleh rakan-rakan anda melalui kedua-dua laman sosial tersebut. Integrasi laman sosial ini sangat menarik apabila pengguna tidak mempunyai sebarang idea untuk membuka laman web yang menarik untuk dibuka dan fungsi ini dilihat sangat membantu bagi mengatasi masalah ini.

iCloud Keychain
Satu fungsi yang dikira menarik di dalam Mavericks adalah kehadiran fungsi pengurusan kata laluan, iCloud Keychain. Melaluinya, iCloud Keychain, anda boleh menyimpan kata laluan dan nombor kad kredit pengguna di dalam OS X dan seterusnya menghadirkan maklumat yang berkaitan dengannya pada peranti iOS melalui fungsi sync. Pengguna perlu menyediakan 4-digit PIN keselamatan, nombor telefon dan kemudian iCloud Keychain akan menyenaraikan kata laluan 256-bit AES yang telah di-encrypt secara selamat ketika kali pertama mengaktifkan fungsi ini. Sekiranya anda bersetuju dengan kata laluan yang diberi, iCloud Keychain akan menyimpan kata laluan tersebut secara automatik dan akan sync ke semua peranti iOS anda. iCloud Keychain turut melakukan perkara yang sama sekiranya anda menyimpan maklumat berkaitan dengan kad kredit.

Namun begitu, iCloud Keychain masih tidak lagi menepati standard seperti mana aplikasi pihak ketiga seperti aplikasi 1Password yang membolehkan anda menggunakannya bukan sahaja pada Safari malah boleh digunakan juga pada Google Chrome. Kelemahan iCloud Keychain adalah anda tidak boleh menggunakannya di luar aplikasi dan peranti Apple dan sekiranya anda menggunakan peranti Android, anda perlu memasukkan kata laluan 256-bit AES satu per satu ketika membuat log masuk sesuatu akaun. Ini sangat tidak efisien sekiranya anda menggunakan peranti bukan keluaran Apple dan dari sudut positif, fungsi ini sememangnya dapat memudahkan anda sekiranya anda menggunakan peranti Apple sahaja malah menjimatkan anda daripada menggunakan servis 1Password yang dikenakan caj sebanyak $49.99 USD untuk setiap pembelian aplikasi.

OS X - FinderFinder
Fungsi Finder kini mempunyai sistem pengurusan fail seperti Gmail dan Evernote yang mana kini anda boleh meletakkan tag untuk menjadikan fail disusun atur mengikut tag yang anda telah tetapkan. Terdapat enam pilihan warna dan anda juga boleh menggunakan label anda sendiri termasuk teks dan emoji untuk digunakan pada tag.

Finder juga kini menyokong sokongan tab yang berfungsi lebih kurang sama seperti yang digunakan pada pelayar web. Fungsi ini membolehkan anda membuka sesuatu direktori tanpa perlu membuka window baru. Sama seperti Safari, pengguna boleh menggunakan Command-T untuk membuka tab baru atau dengan membuat klik-kanan pada file dan pilih Open in New Tab terus dari Finder.

Notifikasi
Sekiranya penaik-tarafan ke Mavericks hanya untuk penambah baikan sistem notifikasi OS X, ia dilihat masih lagi berbaloi dengan file sebesar 5.29GB untuk proses pemasangan. Pengguna kini boleh berinteraksi dengan notifikasi yang mana anda kini boleh membuat klik pada notifikasi Messages untuk membalas mesej atau memadam e-mel tanpa perlu membuka aplikasi utama.

Notifikasi OS X kini lebih tepat dan lebih pantas, walaupun ia tidak seperti aplikasi Growl yang boleh diubah kawalannya. Sekiranya anda tidak mahu sebarang notifikasi mengganggu anda, Mavericks kini juga didatangkan dengan fungsi Do Not Disturb yang mana membolehkan anda menyahaktifkan sebarang notifikasi seperti e-mel daripada muncul pada paparan Mavericks.

Sokongan Multi-Paparan
Secara peribadi, OS X tidak pernah bagus ketika dijalankan pada multi-paparan sebelum ini. Sekiranya anda menggunakan aplikasi ketika dalam skrin penuh, monitor yang satu lagi akan menjadi tidak berguna sepenuhnya. Dengan Mavericks, sokongan ini dilihat telah ditambah baik yang mana anda boleh menjalankan aplikasi skrin penuh dalam setiap paparan yang sepatutnya fungsi ini perlu berada buat sekian lama dalam OS X.

Setiap menu bar kini telah pun berada pada setiap skrin, dock juga boleh digerakkan kepada paparan lain mengikut kesukaan anda dan fungsi Expose hanya akan memaparkan aplikasi yang berjalan mengikut paparan yang terlibat sahaja. Tambahan lagi, fungsi AirPlay juga kini membolehkan Apple TV menjadi paparan tanpa wayar kedua berbanding sebelum ini yang hanya menjalankan fungsi mirror dengan resolusi terhad.

OS X Mavericks - Multi-Paparan

Prestasi dan Kompatibiliti
Senarai Mac yang menyokong OS X Mavericks
iMac (Pertengahan 2007 dan ke atas)
Macbook (Lewat 2008 Aluminum atau awal 2009 dan ke atas)
Macbook Pro (Pertengahan/Lewat 2007 dan ke atas)
Macbook Air (Lewat 2008 dan ke atas)
Mac mini (Awal 2009 dan ke atas)
Mac Pro (Awal 2008 dan ke atas)
Xserve (Awal 2009)

Agak sukar sebenarnya untuk menentukan kepantasan sesuatu sistem operasi, tapi secara keseluruhannya Mavericks terasa lebih lancar berbanding Mountain Lion. Walaupun Macbook yang digunakan ketika ini merupakan sebuah Macbook lama, ia terasa pantas ketika melakukan tugasan dan amat jarang sekali menerima sebarang “slow down” secara tiba-tiba, tidak seperti Mountain Lion. Membangunkan Macbook daripada mod “sleep” juga agak lancar dan dari segi masa penggunaan bateri juga dilihat ada penambah-baikan berbanding menggunakan Mountain Lion sebelum ini.

Dari segi kompatibiliti, aplikasi yang boleh dijalankan pada Mountain Lion tidak menjadi masalah pada Mavericks malah aplikasi dapat dijalankan dengan lebih responsif lagi. Saya tidak mempunyai sebarang masalah mengenai kompatibiliti aplikasi. Apa yang saya mula risau pada mulanya adalah ketika Apple mengumumkan senarai model komputer Mac yang menyokong pemasangan Mavericks. Saya mula risau adakah Macbook Early 2009 saya akan menyokong Mavericks atau akan bersama Mountain Lion buat selamanya?

Melalui kenyataan rasmi daripada Apple, Mavericks menyokong sebarang peranti Mac yang dapat menjalankan Mountain Lion. Sekiranya Mac anda menggunakan Mountain Lion, tidak menjadi masalah untuk mengemaskini ke Mavericks, malah sangat disyorkan untuk mengemaskininya ke sistem operasi versi baru ini. Sekiranya anda tidak menggunakan Mountain Lion dan menggunakan model peranti Mac yang disenaraikan, anda diperlukan untuk menaik taraf ke OS X Snow Leopard 10.6.8 terlebih dahulu sebelum menaik taraf ke Mavericks.

Macbook

Konklusi

Mavericks yang sedia sinonim dengan kecantikannya di California tidak mampu diilustrasikan serinya ke dalam versi OS X terbaru ini. OS X Mavericks masih kelihatan lebih kurang sama seperti OS X sebelum ini malah ada sesetengah fungsi tidak diberi sebarang pembaharuan dari segi fungsi baik dari segi antaramuka. Ia kelihatan tiada sebarang perubahan yang besar dilakukan pada antaramuka Mavericks dan cuma ada sedikit penambah-baikan pada aplikasi asas yang kini tampil dengan antaramuka minimalis tanpa elemen skeumorphism.

Namun begitu, prestasi dan perkara di belakang tabir pada Mavericks tidak seharusnya dipandang enteng kerana ia didatangkan dengan Timer Coalescing yang dapat menjadikan peranti Mac beroperasi lebih pantas berbanding sebelum ini. Beberapa aplikasi iOS seperti iBooks dan Maps kini turut didatangkan bersama Mavericks yang mungkin dapat membantu anda sekiranya iPad atau iPhone anda kehabisan bateri. Dari segi penjimatan pula Mavericks turut menampilkan pengurusan memori yang lebih baik dan ia dilihat dapat membantu untuk membawa jangka penggunaan bateri yang lebih lama.

Bagi pengguna yang layak menggunakan Mavericks, anda sangat disyorkan menaik taraf ke sistem operasi ini. Tiada sebarang sebab kenapa anda tidak menaik taraf ke Mavericks kerana ia ditawarkan secara percuma dan Mavericks akan menambahkan lagi kelajuan selain didatangkan dengan pembaharuan dan penambahbaikan pada keseluruhan sistem operasi.

OS X Mavericks

  • Info
  • Nukilan Arib Ismail untuk Amanz. Ikuti beliau di Twitter.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd